Bab 8

1.7K 20 0
                                    

SEPANJANG perjalanan pulang dari majlis makan malam itu, Hakim lebih selesa berdiam diri. Tidak banyak yang dibualkannya. Cuma sekali-sekala apabila trafik agak lapang, dia melirik dan bertanya soalan-soalan berkaitan kerjaya serta matlamat Puteri.

Sebaik sahaja tiba di kondominium Puteri, Hakim nampaknya menunjukkan minat untuk mengenali Puteri secara lebih mendalam. Kalau dahulu Hakim jarang bertanya soalan-soalan peribadi, kini banyak pula soalannya. Cemas Puteri dibuatnya.

Dia benar-benar tidak bersedia. Tambahan pula Hakim bukan jenis tetamu yang boleh duduk diam. Bibir sentiasa mengajukan pertanyaan, kaki asyik melangkah dan tangannya pula tidak jemu menyentuh itu dan ini, terutama sekali bingkai-bingkai gambar yang menghiasi setiap pelosok rumah Puteri.

Ketika melangkah ke kamar tidurnya, nasib baik Puteri sempat mencapai sebuah bingkai kecil gambar lamanya yang diambil bersama Nanu enam tahun lalu. Satu-satunya gambar yang kalau diteliti oleh Hakim pasti gawat jadinya.

Puteri tidak menyangka Hakim akan bertindak sebegitu gentleman dengan mengiringinya sehingga ke muka pintu rumah.

Dia cuba menolak tetapi Hakim tetap beria-ia. Katanya dia hanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh setiap lelaki budiman. Saja ajak-ajak ayam, dia mempelawa Hakim masuk untuk minum kopi, tetapi siapa sangka Hakim mengangguk sudi! Pada saat itu debar di hati Puteri bagaikan irama rancak sebuah pancaragam.

"It's a very nice place," puji Hakim. Suara ceria yang membuat Puteri tersentak sehingga sudu di tangan hampir terpelanting.

Kehadiran Hakim di situ sahaja sudah cukup membuatkan dia kelam-kabut sehingga berapa camca gula dan berapa banyak serbuk kopi yang perlu dimasukkan pun dia boleh terlupa, inikan pula apabila Hakim muncul di dapur tatkala dia sedang beroperasi. Mengurut dada, Puteri berpaling ke arah Hakim yang sedang menyandar di muka pintu. Dia memaksa senyum lalu teko diletakkannya ke atas dulang.

"Thanks," balas Puteri. Dia memang berusaha supaya tempat itu kelihatan menarik dan selesa. Banyak yang sudah dibelanjakannya, tetapi syukur setakat itu dia belum pernah berhutang hanya sekadar untuk mencantikkan rumah. Yang penting perut mesti diisi dahulu.

"Milik sendiri?" tanya Hakim sambil mendekati Puteri.

"Hutang bank. Dua puluh tahun lagi baru boleh langsai," balas Puteri. Dia tersenyum segan.

Impiannya untuk memiliki rumah sendiri selain daripada Rumah Tunas Harapan kini sudah terlaksana. Memang mahal, tetapi tiada jalan pintas dalam merealisasikan semua itu melainkan bekerja keras. Bukannya tidak ada orang yang sukarela menawarkan secara percuma, cuma dia yang tidak mahu termakan budi. Takut nanti tergadai pula body.

Lagipun berusaha sendiri adalah lebih bermakna dan memberikan kepuasan jitu. Walaupun terpaksa bersusah, dia bangga atas pencapaian diri.

"Biar I bawa!" pinta Hakim pantas tatkala Puteri cuba mengangkat dulang yang baru disiapkannya.

Melihat Puteri membuat kerja dapur dalam keadaan tubuh masih bersarung gaun sendat serta selendang merah yang masih berlilit di bahunya, membuatkan Hakim merasa tidak selesa. Rimas. Nanti tersilap langkah, entah cawan ke mana dan kopi pula ke mana!

Tidak sempat menghalang, kedua-dua tangan Hakim sudah pun mencapai dulang tersebut. Tatkala hujung jari-jemari saling bertemu, Puteri panik lalu segera melepaskan genggaman pada bingkai dulang bagai tersentuh bara api. Pipinya berubah merah dan matanya terbuntang memandang Hakim. Jantung melantun kencang.

"Don't worry, I dah biasa buat semua ni," kata Hakim apabila Puteri bagaikan terkejut dengan tindakannya itu.

"Di office memang I bos you, tapi di rumah I tetap manusia biasa," sambung Hakim lagi sambil tersenyum tenang.

Selamat Tinggal SayangWhere stories live. Discover now