Bab 15

2.9K 37 9
                                    

PUTERI rasa disayangi. Dunia terasa berseri. Walaupun wajah Hakim tidak ditatapnya hampir seminggu, namun bahang kebahagiaan yang Hakim tinggalkan masih terasa sehingga pada saat itu. Dia tidak mampu melupakan detik-detik indah yang dikecapinya bersama Hakim.

Belaian Hakim telah memberikannya satu kepuasan yang tidak terhingga. Setiap detik begitu nyata bagaikan baru sahaja sesaat berlalu. Dunianya kini terasa jauh lebih indah daripada sebelumnya. Dia bagai berbuai di awang- awangan. Bahagia!

Setelah dua minggu menjauhkan diri dari segala kesibukan urusan syarikat, pada pagi itu pintu kaca pejabat ditolaknya dengan penuh ceria. Dia muncul dengan penampilan seanggun hari-hari biasa. Cuma pakaian yang disarung ke tubuhnya hari itu adalah salah satu daripada koleksi pakaian terbarunya - seluar panjang sendat berwarna merah bata dengan blaus tanpa lengan berkolar dalam warna yang sama.

Gaya rambut juga fesyen terkini dengan potongan layer di paras bahu yang diwarnakan sedikit kecoklatan. Senyuman manisnya pula sentiasa mekar di bibir. Segala-galanya demi Hakim. Kalau penampilannya yang dahulu tidak cukup hebat untuk menarik perhatian Hakim, dia rela berubah walaupun terpaksa berhabis-habisan setaraf Tengku Aida.

Penasihat imej yang ditemuinya agak terkejut apabila Puteri mengatakan bahawa dia memerlukan penampilan yang lebih menarik sedangkan kata wanita itu Puteri sudah pun memiliki imej serta perawakan yang cukup menarik. Tetapi kerana Hakim, Puteri tetap beria-ia inginkan sedikit perubahan. Kalau bukan dari segi fizikal, yang perlu diubah ialah bahasa tubuhnya.

Dalam pada melangkah ke bilik pejabatnya, dia dikerumuni oleh rakan-rakan sekerja yang sibuk bertanya khabar dan yang dahagakan cerita terkini. Tidak kurang juga yang mengusik bahawa wajahnya tampak berseri-seri bagaikan pengantin baru di bulan madu.

Cuma Kakak Ana seorang sahaja walaupun melemparkan senyuman gembira tetapi tetap bersahaja. Tenang dan relaks. Manakala Tengku Aida pula asyik melirik tajam lagak orang tidak berpuas hati. Puas memerli sedangkan tiada tindak balas daripada Puteri, akhirnya dia bergegas meninggalkan pejabat dengan wajah masam mencuka.

Puteri tidak kisah terhadap apa pun jua andaian yang dibuat. Yang penting dia bahagia dan dia nekad menundukkan kedegilan Hakim. Langkah pertama ialah melayangkan e-mel yang kandungannya lain daripada yang lain buat Hakim.

I am back. Amat-amat rindu pada you...

Sudi temankan I malam ni?

Biar Hakim terkejut, namun dia serius menyahut cabaran. Enam bulan walaupun tidak lama, tetapi kalau digunakan dengan cara bijak pasti akan membuahkan hasil. Sudah sampai ke tahap itu, dia tidak mungkin berundur. Tengku Aida ataupun mana-mana perempuan harus melangkah mayatnya terlebih dahulu sebelum mendapatkan Hakim! Dia tidak akan membiarkan miliknya dirampas orang.

Seharian Puteri menjadi pengunjung setia kotak e-melnya. Jawapan daripada Hakim amat dinanti-nanti. Malangnya matahari sudah meninggi sedangkan jawapan yang ditunggu masih tidak kunjung datang. Tiada walau satu pun mesej terkini daripada Hakimpro@hotmail.com. Tiada juga panggilan telefon.

Penantian Puteri mula diselubungi kehampaan. Kata Kakak Ana, Hakim dan Encik Rashid ada urusan penting dan hanya akan kembali ke pejabat pada waktu petang.

Tengah hari merangkak ke petang, namun kelibat Hakim tidak juga kelihatan. Puteri mula tidak tentu arah. Rindu tiba-tiba sahaja menggigit perasaan.

Dia jadi tidak sabar untuk menatap wajah Hakim. Akhirnya dia rela menunggu sehingga ke senja. Tidak mengapa walaupun terpaksa menjadi penghuni tunggal di pejabat yang sunyi sepi. Ketika kakitangan pejabat seorang demi seorang mula bersurai, dia masih sibuk menatap bermacam-macam dokumen sambil terus sabar menunggu.

Selamat Tinggal SayangWhere stories live. Discover now