Bab 2

2.2K 43 1
                                    

Kaki diayun menuju ke taman universiti dengan buku dan laptop di tangan. Terpandangkan satu meja, Fara terus berjalan menuju ke situ. Dia terus duduk dan laptopnya dibuka. Fail assignment terus dibuka dan buku rujukan yang dibawanya turut dibuka.

"Haih, cepatlah habis semua ni," bebelnya perlahan. Mata masih leka memandang skrin laptop dan sesekali menoleh buku rujukan di atas meja.

"Okey, seems everythings is in order, bolehlah e-mel dah dekat Prof.," bisiknya lagi. Papan kekunci laptop ditekan-tekan untuk menaip sesuatu. Selesai, dia tersenyum. Merasa lega, dia buangkan pandangan ke hadapan. Tiba-tiba dia ternampak Razlan dan Melissa sedang berjalan beriringan keluar dari bangunan asrama. Mata terus tidak berkalih memandang mereka dan perlahan-lahan keluhan dilepaskan bersama riak kecewa.

"Haih!"

Tersedar akan sesuatu, jam di tangan dikerling dan dia terus terkocoh-kocoh bangun untuk pergi dari situ. Ya Allah, macam mana dia boleh terlupa yang dia ada kelas di makmal sekarang, bebelnya kepada diri sendiri. Langkah terus diayun laju.

Selesai kelas di makmal, Fara terus bergegas balik ke bilik untuk berehat. Masuk sahaja ke dalam bilik, beg sandangnya terus dicampakkan ke atas katil dan dia turut berbaring. Perlahan-lahan nafas dihela untuk melepaskan lelah. Baru sahaja dia ingin memejamkan mata, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu melompat ke tubuhnya. Sepantas kilat Fara buka mata dan dia terus terjun dari katil sambil menjerit.

Fara usap dada yang masih berdegup kencang. Apabila keadaannya sedikit tenang, dengusan keras dilepaskan. Tidak menunggu, dia terus bangun. Dengan wajah bengis, beg sandangnya dicapai dan dia terus keluar dari bilik. Kaki diayun laju menuju ke kafe universiti dengan perasaan yang menyinga. Dia pasti Razlan dan kuncu-kuncunya berada di situ dan dia juga pasti itu semua kerja mereka.

Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam kafe, mata liar memandang sekeliling. Apabila terpandangkan orang yang dicari, langkahnya diayun semakin laju. Berdiri sahaja di meja mereka bertiga, beg sandangnya dihempas kuat ke atas meja.

Razlan, Shafiq dan Osman tersentak. Fara dipandang tidak berkelip.

"Woi! Gila ke?" marah Razlan sambil urut dada.

"Nasib baik aku tak mati!" bentaknya.

"Siapa letak katak dalam beg aku?" lantang Fara bersuara. Mata mencerlung memandang Razlan dan kawan-kawannya silih berganti.

Razlan, Shafiq dan Osman berpandangan sesama sendiri.

"Jangan tak mengaku. Kita baru habis kelas dekat lab tadi. So, mesti salah sorang daripada kau orang yang buat kerja tu, kan?" marah Fara lagi.

Razlan, Shafiq dan Osman tidak menjawab. Hanya jari mereka sahaja ditudingkan sesama sendiri.

"Kau orang ingat kelakarlah letak katak dalam beg aku?" Suara Fara semakin meninggi. Ketiga-tiga lelaki itu dijeling semakin tajam.

Razlan tersengih.

"Kelakar jugalah," balasnya selamba.

Fara mendengus.

"Apa masalah kau, hah?" Keras dia bertanya sambil merenung Razlan.

Razlan berdiri.

"Apa masalah kau?" Dia bertanya kembali.

"Kau yang kenakan aku selalu!" Jari ditekankan ke dada Razlan agak kasar.

Razlan mendengus dan tangan Fara ditolak keras.

Sesal Separuh NyawaWhere stories live. Discover now