Jebat ku Tuah mu

79 2 0
                                    

Jebat ku dan Tuah mu
Kedua-duanya pahlawan terkemuka
Masyhur nama serata Nusantara
Sama ampuh sama bijaksana

Dua saudara bersumpah setia
Hanya mati meleraikan sumpah
Dua laksamana berbeza pandangan
Kata dikotakan janji ditunaikan

Demi titah sang pemerintah
Kesetiaan Tuah mu berpaling tadah
Bukankah Tuah mu seharusnya gundah
Tatkala Jebatnya bunuh dititah

Kata Jebat ku
Raja adil raja ku sembah
Raja zalim raja ku sanggah
Namun Tuah mu setia melulu
Mendaulatkan raja yang bejat nafsu
Semua yang menentangnya
dianggap seteru
Tanpa usul periksa terlebih dahulu

Di zaman modenisasi ini
Biarlah aku mewarisi Jebat
Darahnya semerbak sewangi jebat
Biarpun tubuh dimamah kezaliman
Darah segar penegak keadilan

Dan Tuah mu sekadar tuah
Sempurna segala tapi rela menghambakan diri kepada pemerintah yang tak sedar diri

Aku takkan menjadi Tuah
Biarlah aku jadi Jebat penderhaka
Jikalau itu sahaja jalan keluarnya
Untuk aku membela rakyat jelata

Dan kau bolehlah terus-terusan
Menjadi Tuah hamba yang setia
Susuk pujaan sekalian manusia
Atas kelebihan dan kesetiaan

Tuah kau berpaksikan kesetiaan
Jebat ku berpaksikan keadilan
Dan hingga hari ini Tuah mu masih dipagut persoalan
Kata Tuah
Akukah yang benar atau Jebat kah yang benar?

Biarkan masa dan sejarah menentukan
Adakah kesetiaan Tuah mu bernilai
Atau keadilan Jebat ku berbayar
Dengan terkorbannya seorang Jebat
Di tangan tangan seorang Tuah

Namun Jebat ku lebih rela
Mati di tangan saudara
Daripada mati di tangan raja
Apatah lagi raja itu
yang telah disanggah

Biarkan Jebat ini
membalut lukanya sendiri
Daripada membuang harga diri
Menghambakan diri pada yang menzalimi

Sehingga kini,
Tuah mu hanya bertuah
Tapi darah Jebat ku
yang semerbak harumnya

Si Jebat telah mati
Si Tuah menghilangkan diri
Giliran kita jadi pengganti
Apakah tragedi bakal berulang kembali?

Maka Jebat itu akulah
Yang rela terbuang
demi kebenaran

#berahipuisi
Edyoungster
22:42
220216

#berahipuisi Where stories live. Discover now