Bab 3

9.2K 368 74
                                    

Cari cari si aku cari,
Cari damping malam berseri,
Mari mari pintaku mari,
Mari mari jelmakan diri.

Aku lagi bang wingo wingo,
Jin setan kang tak utusi,
Jin setan kang tak utusi,
Dadyo sebarang,
Wojo lelayu sebet.

Pukul 11.00 malam.

Terketar-ketar tangan Sapuan mengalirkan darah kambing dara atas ayam hitam yang ditambat. Pukul 12 ni, dia harus ke rumah si tua hari tu. Janji tak boleh ingkar.

Perlahan motosikal Sapuan memecah sunyi malam. Sapuan tak sedap hati. Lain macam sejuk malam ni. Tak pernah seumur hidup dia lalu jalan ni tengah-tengah malam sorang-sorang.

Bau wangi berselang bau hanyir menemani perjalanan Sapuan. Berdiri bulu tengkuk. Dah la depan tu tanah perkuburan. Hmm.. cerita seram memang gini. Cliché. Mesti ada scene kubur.

Nak bertambah cliché, moto Sapuan pulak buat hal. Mati betul-betul kat kawasan kubur tu. Peluh jantan mengalir deras. Moto tak mau hidup.

Huu.. Huu.. Huu..

Bunyi apa pulak dah..

Huu.. Huu.. Huu

Bunyi seakan siulan. Tapi, angin yang lebih bunyi tak ada. Macam orang tak reti bersiul.

Dari jauh kelihatan sekujur tubuh. Lebih kurang 15 meter. Terbaring. Sapuan hairan kerana dari tadi jalan memang kosong. Maklumlah jalan kampung. Mana ada kereta ulang-alik seperti dibandar.

Sambil tangan membetulkan moto, ekor mata Sapuan sibuk melirik ke arah tubuh misteri itu. Tersentak Sapuan bila melihat tubuh itu seakan bergerak. Kemudian, mengeliat. Badannya jelas meliang-liuk seperti lagak orang digeletek.

Berderau darah oi.. Siapa nak tahan kena uji macam ni. Dah kenapa pulak dia pusing macam tu? Dah kenapa dia bergolek tu? Lahai syaitan.. Jangan kacau aku la..

Fikir Sapuan cuma satu, pecut!

Sapuan ambil beg berisi ayam dara, lalu.. BERDESUP! Lari tak cukup tanah. Seakan atlet balapan negara, Sapuan memecut tak tengok kiri kanan. Tiba-tiba langkah kaki Sapuan terasa berat. Seakan ada yang memeluk pinggang. Tetapi pelukan itu semakin longgar. Semakin turun. Hingga paras lutut lalu..

KEDEBUK !

Sapuan terpijak kain pelikatnya sendiri. Sujud tepat ke tanah. Sengal lutut sampai ke pinggang. Sakit hanya Tuhan yang tahu. Baru sekarang nak ingat Tuhan. Manusia.

Sapuan betulkan semula kain pelikatnya. Menyapu debu tanah. Lututnya bercalar. Terhencut-hencut Sapuan berjalan. Lebih kurang 30 minit menapak, akhirnya sampai lah si Sapuan. Tergesa-gesa menaiki tangga, sebelah kaki Sapuan tersalah langkah, lalu ter.. hmm.. azab sungguh. Kali ini celah kelengkang menjadi mangsa.

Mengesot Sapuan berjumpa si tua. Dihulurnya plastik berisi ayam. Si tua menahan ketawa. Nak gelak, kesian. Tak gelak, lawak!

"Maaf ya nak? 'Dia' lapar. Udah lama nggak makan. Itu yang dikejarnya kamu tadi tu." Si tua hanya senyum melihat Sapuan menahan sakit.

"Bagus. Kau laksanakan sama seperti perjanjian kita. Nah, sekarang aku mau bagitau sama kamu, pantang larang buat kamu dan isteri ketika mengandung nanti. Jangan coba kau ingkar, petakanya nanti, kamu yang kena. Tegas si tua sambil melurut janggutnya.

Sapuan mendengar penuh teliti. Setiap patah kata si tua buat Sapuan tak senang duduk. Rasa takut diselangi rasa menyesal. Dia tahu sudah terlambat untuk kembali..

Janji darah sudah demeterai!

********************************************************

Sapuan tak boleh tidur. Kejap-kejap menghadap kanan lepas itu kiri, kanan balik. Matanya segar-bugar. Jam di dinding pukul 2.40 pagi. Hanya kedengaran bunyi cengkerik. Sesekali
dahan pokok menyentuh kaca tingkap menghasilkan bunyi seakan makhluk hodoh berkuku panjang meleret kukunya.

Gulp. Sapuan cuak. Badan terasa panas. Keringat mula mengalir dibahagian dahi. Seakan ada udara panas sedang menghembus ke arahnya.

"Bodohnye la aku pegi bayang macam-macam." Timbul rasa menyesal dalam hati Sapuan.

Hari ini, sudah 4 bulan sejak berjumpa dengan si tua. Mengikut perkiraan dalam perjanjian, bulan ini adalah bulan dimana dia harus beri 'persembahan' atas ucapan terima kasih kepada Bawean.

*Oreng Pote-Bawean -- Mengikut kepercayaan orang Jawa, makhluk halus ini berbadan manusia dan putih pucat seperti mayat*

Antara syarat yang harus dipatuhi Sapuan, sepanjang Asmah mengandung, Sapuan tak dibenarkan tidur sekali. Sudah la si Sapuan ni guruh pun takut, kena pulak tidur kat ruang tamu selama 9 bulan. Memang tiap-tiap malam la berkelip-kelip mata susah nak tidur.

Minggu ni adalah minggu terakhir bagi malam keliwon. Minggu yang sepatutnya si Sapuan melunaskan 'hutang'. Sapuan asyik berdegil mahu menangguh walau sudah ditegur oleh Asmah. Bagi Sapuan, bukan si hantu tu tahu pun tengok kalendar.

Tap. Tap. Tap. Diam.

Tap. Tap. Tap. Diam.

Ah! Siapa pulak potong kuku malam buta macam ni? Seingat Sapuan, Asmah hanya dibenarkan potong kuku pada minggu pertama setiap bulan. Ish! Lupa ke apa bini aku ni? Tak boleh jadi ni.

Sapuan bangun. Melangkah ke arah bilik tidur. Niatnya ingin menegur Asmah agar berhenti memotong kuku, tapi terbantut. Sampai sahaja di depan pintu bilik yang tertutup itu, Sapuan teringat janjinya yang tak boleh tidur bersama dan melihat isterinya selepas pukul 1 pagi. Tambahan pula, bunyi itu bukan datang dari bilik, tapi dari dapur!

Rasa ingin tahu Sapuan buat kakinya melangkah ke arah dapur walau hatinya berkata jangan. Bunyi kuku dipotong semakin kuat. Takkan ada pencuri masuk, semata nak potong kuku? Kau dah kenapa?

Sampai di dapur, Sapuan melihat makhluk bertubuh sangat kurus, mencangkung, giginya menggigit kuku panjangnya yang buat Sapuan tahu siapa sebenarnya yang sedang potong kuku. Air liur kuning meleleh-leleh dari celah mulutnya. Dari gayanya, nampak seperti lapar. Lapar yang amat sangat.

Sapuan jatuh terduduk. Terlampau terkejut. Lutut menggigil. Kaki terasa dipaku ke tanah. Makhluk itu mengalih perhatiannya ke arah Sapuan. Senyum. Fikirnya, Sapuan akan sediakan 'hadiah' buatnya malam ini.

Senyuman makhluk itu berubah menjadi marah. Matanya terbeliak. Dengusan nafasnya sangat kuat. Dia marah melihat Sapuan mengesot ke belakang seperti mahu lari. Tangan Sapuan kosong, jadi dia tahu malam ini dia harus berlapar lagi.

Dia merangkak perlahan-lahan. Tangannya kurus panjang mengatur langkah satu-persatu bergerak perlahan.

"Biar aku merangkak slow-slow. Baru dramatik. Biar dia lagi takut. Padahal aku memang tak boleh gerak laju-laju. Lapar sangat. Konfem gastrik ni. Jahanam punya manusia." Hati kecil makhluk itu berbisik.

Airmata Sapuan mengalir. Takut bercampur menyesal. Tapi dia tahu, sudah terlambat. Makhluk itu terus merangkak naik ke atas badan Sapuan. Makhluk itu meletak kukunya di atas jantung Sapuan yang berdegup kencang.

"Setiap malam aku datang tengok kau. Herr." Makhluk itu bersuara. Pertama kali si Sapuan bertentang mata dengan makhluk sebegini.

"AKU MAHU HABUAN AKU!" Makhluk itu menjerit dan mengilai. Dia merangkak ke arah bilik tidur. Meninggalkan Sapuan yang masih tidak cukup nafas. Baginya, Sapuan memang tak guna.

Yang berguna cuma anak dalam kandungan itu. Kerana dalam perjanjian ini, JANIN SULUNG DISEKSA MATI !

SIHIRWhere stories live. Discover now