Part 2

47 0 0
                                    

Tadabbur ayat

Daripada huraian di atas, kita dapat mengambil pengajaran-pengajaran penting untuk dijadikan pegangan dalam pembinaan diri sendiri dan orang lain:

1- Ikhlas demi redha Allah

Niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat redha Allah hanya dapat dicapai apabila melaksanakan syariah Islam dan melaksanakan dakwah. Sebagaimana hadis, "Sesungguhnya setiap perbuatan dikira pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa-apa yang dia niatkan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2- Bermula dengan diri sendiri

Allah menyebut, "peliharalah dirimu" terlebih dahulu baru setelah itu dikatakan "keluargamu".

Mujahid mengatakan bahawa kita diwajibkan bertakwa kepada Allah terlebih dahulu, kemudian setelah itu kita berpesan kepada keluarga kita untuk bertakwa kepada Allah.

3- Ilmu sebelum amal

Berdasarkan kisah pertanyaan Umar, untuk melarang dan memerintahkan orang lain berdasarkan syariat, maka kita wajib terlebih dahulu memahaminya. Ini juga menjadi salah satu hal yang menguatkan pentingnya usaha menuntut ilmu.

4- Takwa sebagai asas

Menurut suatu riwayat, Sayidina Umar al-Khattab bertanya kepada Ubay bin Ka'ab tentang makna takwa. Maka Ubay bin Ka'ab bertanya semula, "Pernahkah engkau menempuh jalan yang penuh dengan duri?"

Umar menjawab, "Ya,aku pernah."

Ubay bin Ka'ab bertanya lagi, "Kemudian, apa yang tuan lakukan?"

Umar menjawab, "Aku akan berjalan dengan penuh berhati-hati dan berusaha agar tidak terkena duri."

Ubay bin Ka'ab berkata, "Itulah takwa."

Indahnya pengertian ini digambarkan oleh Ibn Mu'taz melalui rangkap syairnya,

"Lepaskanlah semua dosa, baik yang kecil mahupun yang besar, itulah namanya takwa.

Berlakulah seperti orang yang berjalan di atas jalan yang beronak duri, selalu waspada menghindari duri-duri yang dilihatnya.

Dan jangan sekali-kali meremehkan sesuatu yang kecil, sesungguhnya bukit itu terdiri atas batu-batu kerikil yang kecil-kecil."

Maksud beliau, takwa diumpamakan sebagai kawasan tinggi yang jika ingin dicapai mestilah mengharungi jalan berliku penuh dengan bahaya.

5- Sabar sebagai bekalan

Apabila kita menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan ini pastinya akan menghadapi cabaran. Maka Allah mengingatkan: "Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu mengerjakannya." (Taha 20:132)

Melakukan amal soleh seperti solat sebenarnya menagih daripada kita usaha untuk melawan nafsu. Maka dengan sebab itu diperlukan ketahanan dan kesabaran. Amal soleh seperti yang dinukilkan oleh al-Baghawi dalam Tafsirnya berdasarkan pandangan daripada Sayidina Muadz ialah paduan empat perkara iaitu niat, disertai ilmu, kesabaran dan diperkukuhkan oleh ikhlas kepadaNya.

Semoga Allah mengurniai kita keikhlasan, kesabaran dan idea yang menyebabkan tarbiah ini dapat dilakukan dengan hikmah.

Teks UsrahWhere stories live. Discover now