Bab 1

14.2K 168 0
                                    

LANGKAH Merah semakin laju menuju ke sebuah stesen bas tidak jauh di hadapannya. Makin dia mendekat, makin dia nak cepat. Mulut comelnya ikut membebel-bebel dan mengomel-ngomel sejak tadi. Habis diselaknya lengan baju kurung yang tersarung di tubuh setelah menghempaskan duduknya di atas kerusi di stesen bas.

Puas melepas perasaan seorang diri, baru dia tahu berhenti. Penat tiba-tiba bila asyik melepas rasa. Geram! Nasib baik tak ada sesiapa di sini, kalau tidak mesti orang kata dia sewel.

Tudung bawal yang dikenakan di kepala dibetul-betulkan. Wajahnya yang mula rasa membahang dikipas-kipas dengan tangan sebelum melepaskan lelah dan mengah. Mengah kerana dia baru saja selesai membuat acara larian pecut setelah dia keluar dari sebuah syarikat pengiklanan semata-mata untuk menghadiri temuduga.

"Huh, geram betul aku! Kalau aku jumpa pak cik botak tu kat luar, memang aku starlight kepala dia biar sampai berlubang!" Amarah Merah berhamburan entah untuk kali keberapa.

Mengingati semula tragedi tadi buat hatinya panas membahang. Semuanya bermula sebaik sahaja dia melangkah masuk ke bilik temuduga.

"Merah binti Abdullah?" Soalan si lelaki penemuduga seraya bangkit mendekati Merah yang sudah awal-awal dipersilakan duduk membuatkan Merah mengangguk. Seketika, dia melabuhkan duduknya di atas meja betul-betul di hadapan Merah sambil mencuit hujung tudung Merah.

"Nama awak cantik, muka awak juga cantik. Boleh cari makan kalau jadi model ataupun pelakon tapi sayang, kain atas kepala awak ni dah selindung kecantikan awak." Ssenyuman senget terukir membuatkan Merah terkedu.

"Saya berminat untuk tawarkan awak satu jawatan istimewa dengan gaji lumayan," sambungnya lagi.

"Errr... Tapi encik, saya datang untuk temuduga jawatan Eksekutif Pemasaran."

"Saya rasa jawatan tu tak sesuai dengan awak. Sebab itu saya nak tawarkan awak jawatan yang lebih tinggi daripada itu. Bukan setakat itu saja tapi saya akan sediakan keperluan dan kemudahan lain termasuklah rumah, kereta, pakej percutian dan sebagainya. Kalau saya minta awak tanggalkan tudung ni, boleh?" Entah apa yang merasuk Merah, sepantas kilat dia bangkit bila lelaki ini sudah melebih-lebih dengan cuba menyelak tudungnya. Tangan lelaki itu dipulas kuat sambil menjegilkan mata.

"Saya datang sini untuk temuduga jawatan Eksekutif Pemasaran, bukannya nak temuduga jadi pelacur kelas atasan sampai saya kena buang apa yang sepatutnya menjadi penutup aurat saya."

Terjerit-jerit si lelaki tadi sambil cuba meminta Merah melepaskan tangannya namun semakin kuat dia menjerit, semakin kuat Merah memulas tangannya.

"Sakit ke?" soal Merah sinis.

"Sakitlah. Lepaskan tangan aku!"

Merah tarik senyuman mengejek.

"Encik yang budiman, dengar baik-baik apa saya nak cakap, ya? Saya lebih rela jadi penganggur terhormat daripada bekerja satu bumbung dengan orang yang hanya tahu nak mengambil kesempatan ke atas perempuan. Sepatutnya, lelaki macam encik ni jadi seorang pelindung kepada wanita dan bukannya jadi perosak kaum Hawa." Dalam masa yang sama Merah kilaskan tangan si lelaki ke belakang dengan sekuat hati sebelum menolak tubuhnya sehingga tersembam ke atas lantai.

"Kurang ajar!" cemuh si lelaki cuba untuk bangun tapi Merah sudah bersedia untuk angkat kaki. Tombol pintu ditarik tapi masih lagi berani berdiri di muka pintu lalu merenung lelaki itu.

"Kau yang kurang ajar! Dasar jantan miang!" Sepantas kilat Merah berlari keluar meninggalkan pejabat itu untuk menyelamatkan diri sebelum apa-apa perkara buruk terjadi.

Ya Allah, apa nak jadilah dengan manusia zaman sekarang? Pantang ada peluang, semuanya nak dibuat sesuka hati. Kalaulah ada sepuluh syarikat yang ada penemuduga seperti lelaki tadi, mahunya aku tak kerja sampai ke tua. Asyik nak menggatal saja. Dah macam tak ada benda lain nak dibuat. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Tak padan dengan tua, muka berkedut, kepala botak, perut pun buncit. Tak sedar diri betul! Nasib baik aku tak terajang saja perut buncit dia tu biar sampai masuk hospital. Kalau tak masuk hospital, masuk kubur terus! Huh!

Merah tersentak bila terdengar bunyi hon dari sebuah teksi yang baru berhenti betul-betul di hadapannya. Lama dia merenung sebelum tingkap teksi tadi diturunkan. Seorang lelaki separuh umur menjerit-jerit memanggilnya, siap buat lambaian dan menggamitnya agar Merah menaiki teksinya. Tapi Merah terus gelengkan kepala. Ingatannya pada si penemuduga gatal tadi buat dia rasa cuak.

"Nak ke mana, dik?"

"Tak ke mana-mana."

"Tak nak naik teksi abang ke? Cakap saja nak ke mana, abang boleh hantarkan."

Merah tayang muka meloya. Abang? Heh, pak cik oi... Awak tu dah separuh abad dah. Tak payah nak berabang-abang sangatlah! bebel Merah dalam hati. Makin kerap dia jumpa orang lelaki, makin dia panas hati. Hisyh, apsal entah dalam dunia ni, lelaki kalau pandang perempuan mesti nak menggatal. Dah tak ada lelaki budiman dalam dunia ni ke? Dah pupus agaknya?

"Tak apalah pak cik, saya tunggu ayah saya. Kejap lagi dia datang," bohong Merah. Senang cerita. Ini kalau dia jawab betul-betul, mahunya panjang berjela lagi ayat yang keluar dari mulut pemandu teksi ni.

"Eh, tadi cakap tak ke mana-mana? Macam mana pula boleh nak tunggu ayah? Jomlah! Abang janji abang tak caj mahal-mahal. Harga berpatutan!" teriaknya lagi, cuba memancing.

Merah mengecilkan mata. Nak saja dia cabut kasutnya dan baling ke arah pemandu teksi yang tak faham bahasa ini. Dah terdesak sangat ke apa nak orang naik teksi dia? Orang cakap tak nak tu maknanya tak naklah. Nak cakap guna bahasa apa untuk buat dia faham? Bahasa Zimbabwe? Bahasa Eskimo? Atau bahasa Tarzan? Jerit bagi satu dunia dengar?

Baru nak bangkit, matanya terpandang ke arah seorang wanita tua yang baru saja tiba ke situ dan serta-merta atas kepalanya muncul mentol sedang menyala-nyala dengan terangnya. Tanpa fikir panjang, buru-buru dia mendekati wanita tersebut dan memimpinnya ke arah teksi tadi.

"Pak cik, tolong hantarkan mak cik ni ke destinasi. Tak caj mahal-mahal, kan?" Merah menyengih. Pintu teksi dah bertutup rapat selepas wanita tadi duduk di atas kerusi belakang. Merah sempat tersenyum dan buat lambaian ala-ala ratu kebaya kepada lelaki pemandu teksi sebelum mengetuk dua kali buntut teksi sebagai isyarat meminta teksi itu berlalu.

"Manusia... Manusia..." Merah gelengkan kepala setelah kelibat teksi menghilang.

"Apa aku nak buat ni? Nak tercongok sampai malam kat sini ke?" Wajahnya diraup sekali dua sambil melepas nafas berat. Semerta tekaknya dipegang.

"Hauslah pula," ujar Merah dan sudahnya dia membuat keputusan untuk membeli air bagi menghilangkan dahaganya.

Elok membeli sebungkus ais kosong, Merah mengatur langkah melewati lorong-lorong kecil di belakang kedai.

Hampir terjerit dibuatnya bila dengan tiba-tiba saja ada seorang lelaki datang ke arahnya dalam keadaan tak terurus dan seperti berkhayal. Orang mabuk mungkin.

Buru-buru dia atur langkah keluar dari situ dan mempercepatkan langkahnya. Terbayang-bayang rumahnya yang tidak berapa jauh dari situ. Cadangnya, sesampai saja di rumah, dia mahu melepaskan segala lelahnya dengan tidur. Mungkin itu adalah terapi paling baik buat masa ini. Lagipun, dia tak ada selera untuk menjamah makanan. Seleranya dah mati agaknya bila macam-macam perkara terpaksa dia hadap dalam masa satu hari.

Macam-macam yang terpaksa dia fikirkan. Di mana mahu mencari kerja, macam mana nak teruskan kelangsungan hidup di ibu kota yang kosnya sangat tinggi, bagaimana mahu melangsaikan hutang-piutangnya. Kalau fikir, sampai tahun depan agaknya takkan habis.

Flat tempat tinggalnya sudah nampak di depan mata. Sempat lagi dia menegur jiran-jiran yang sedang bersidai di tepi tembok ketika dia memanjat anak tangga sebelum membelok masuk ke koridor menuju ke rumahnya. Ais kosong yang masih bersisa segera dihabiskan sebelum mencampakkannya ke dalam tong sampah berdekatan.

Sesampai saja di tingkat tiga yang menempatkan rumah sewanya, Merah termengah-mengah melepas lelah.

"Ya Allah, akhirnya!" sorak Merah.

Tolong Bagi Hati AwakWhere stories live. Discover now