Bab 3

5.8K 108 1
                                    

"PAK CIK MEON... Tunggu kejap, pak cik!" jerit Tsania lantang. Termengah-mengah mereka mengejar Pak Cik Meon sehingga ke hadapan pintu balai polis. Pak Cik Meon yang ketika itu sedang membelek telefon bimbitnya terus berpaling, kemudian sengaja menayang satu senyuman sinis kepada kedua-dua gadis itu.

"Hah, ada apa lagi?"

"Pak cik... Kami minta tolong sangat-sangat dengan pak cik. Tolonglah tarik balik kes ni... Kami tak nak Kak Merah ditahan," rayu Tsania sambil merapatkan kedua-dua belah tangannya memohon simpati.

Pak Cik Meon mencebik.

"Kau dah gila nak suruh aku tarik balik kes ni? Siapa suruh dia cari pasal? Ni, lebam kat muka aku ni siapa yang nak bertanggungjawab? Perut aku ni... Sampai sekarang tak hilang sakit lagi, tahu tak? Memang patutlah Si Merah tu kat dalam, biar ada akal sikit!" balas Pak Cik Meon geram.

"Pak Cik Meon... Tolonglah... Kali ni saya rayu sangat-sangat pada pak cik. Kalau pak cik nak saya sujud kat kaki pak cik pun, saya sanggup asalkan pak cik tarik balik kes dakwaan tu... Lepaskan Kak Merah. Saya janji yang saya akan bayar semua duit sewa rumah yang tertunggak tu," ujar Imanina nekad. Dia sudah melutut dan cuba menyentuh kaki Pak Cik Meon namun Pak Cik Meon berundur ke belakang.

"Sudah, kau jangan mengarut. Aku tak akan sesekali tarik balik kes ni!" Keras sekali suara Pak Cik Meon.

"Pak cik, tolonglah kami, pak cik... Saya rayu pada pak cik jangan buat kami begini... Janganlah kejam begini pada kami. Kami dah tak ada sesiapa di dunia ni, saya cuma rayu ihsan pak cik aje. Saya tahu pak cik baik orangnya..." ucap Imanina lagi sengaja menggunakan ayat-ayat sedih dengan harapan orang tua itu berlembut hati namun dia menjadi hampa apabila sekali lagi Pak Cik Meon membuka mulut tak ada insuransnya.

"Dah memang nasib kau orang jadi anak yatim. Sudahlah, tak kuasa aku mahu layan kau berdua. Buang masa aku aje!" Seraya berkata begitu, Pak Cik Meon segera meninggalkan pekarangan balai polis tanpa menghiraukan lagi kedua-dua gadis yang sedang merayu itu.

Panggilan dan rayuan Imanina dan Tsania dia buat tak peduli. Lantaklah! Padan muka kau orang! Siapa suruh cari pasal? Nak tunjuk samseng sangat. Sekarang kau rasa sendiri akibatnya mencari pasal dengan aku! Cemuhan Pak Cik Meon bergema-gema dalam hatinya.

Imanina hampir saja melurut jatuh ke tanah selepas gagal merayu Pak Cik Meon menarik balik laporan. Hati dihenyak perasaan sedih yang bukan kepalang. Entah apa yang akan jadi nanti dia tidak tahu. Seakan dunianya makin gelap dan tak ada cahaya langsung. Dah macam seorang pelayar yang tersesat di lautan luas bila Merah kena tahan.

Selama ini, mereka bertiga. Kini tinggal mereka berdua saja. Selama ini Merah yang menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap mereka bertiga. Merah yang menjadi tonggak dalam kehidupan mereka selama ini. Jadi, kalau tak ada Merah, dia rasa yang dia bagaikan seekor burung tanpa sayap.

"Nina, sabarlah. Jangan macam ni." Tsania sempat paut bahu Imanina sebelum tubuh gadis itu dipeluk erat.

"Nia nak orang sabar macam mana? Nia nampak kan macam mana Pak Cik Meon buat kita? Nia dengar kan apa yang Pak Cik Meon cakap tadi? Orang tak tahu nak buat apa dah sekarang ni. Mana kita nak cari duit ikat jamin untuk bebaskan Kak Merah?"

"Duit dalam akaun kau ada baki lagi?" soal Tsania perlahan. Wajah Imanina yang masih nampak serba tak kena ditatap cermat. Imanina menggeleng.

"Tak ada. Semuanya dah habis beli barang dapur."

Tsania gigit bibir. Kalau dah Imanina kata duit dalam akaunnya sudah habis dan duitnya sendiri cuma berbaki beberapa puluh ringgit saja, bagaimana caranya nak menyelamatkan Merah dari dalam tahanan?

Tolong Bagi Hati AwakWhere stories live. Discover now