Bab 11

3.7K 81 0
                                    

BERKALI-KALI Merah mengutuk diri sendiri semasa dia berada di pondok teksi tidak jauh dari kondo. Entah dah berapa banyak air liurnya habis disebabkan bebelannya yang diselang-seli dengan omelan kecil. Menekur kembali mesej yang Andhika hantar kepadanya serta balasan mesejnya kepada lelaki itu buat dia rasa nak ketuk kuat-kuat kepala sendiri.

Kerana persetujuannya la dia terpacak seorang diri di sini sambil menanti Andhika sampai. Kalau dia tolak saja tadi, dah tentu dia sedap bergolek di atas katil. Dan kalau dia tolak, mungkin saja dia tak perlu nak tanggung rasa yang libang-libu saat ini.

Merah mundar-mandir sambil menggaru-garu kepalanya. Sesekali dia menjeling-jeling ke arah jalan menanti ketibaan Andhika. Tadi cakap dalam masa lima belas minit dia akan sampai tapi sekarang dah lebih setengah jam tak nampak batang hidung. Penat betul menunggu orang dan jadi tiang bendera kat sini.

Pin! Pin!

Hon yang datangnya dari sebuah kereta BMW berwarna biru gelap secara mendadak mengejutkan Merah sehingga secara spontan dia mengurut dada sambil memejam mata. Sesaat dia terdengar namanya dilaung dari dalam kereta sesudah tingkap kereta itu diturunkan separuh.

"Merah, jom!"

Dek rasa terkejut yang masih belum hilang, Merah langsung terkaku memerhati Andhika di hadapannya sehinggakan Andhika terpaksa keluar dari kereta dan menjemput Merah masuk dengan membukakan pintu kereta untuknya.

"Masuklah," pelawa Andhika dengan senyuman manisnya tapi Merah pula ralit memerhati wajah dan penampilan Andhika yang lain macam. Dengan pakaian berjenama serta jaket kulit yang tersarung di tubuh membuatkan pesona Andhika cukup menyerlah. Apatah lagi rambutnya dipacakkan dan diletak entah berapa kati gel malah wangian Giorgio Armani yang harum semerbak mencuit deria bau Merah.

Menarik dan cukup menggoda sehinggakan Merah hampir terlupa yang berdiri di depannya ini ialah bosnya, Andhika Azim.

"Berapa lama awak nak merenung saya macam tu?" Suara garau Andhika mematikan lamunan Merah.

"Masuklah. Atau awak nak tercegat dan tengok saya sampai awak jatuh cinta?" usik Andhika tak agak-agak dengan senyuman sengetnya.

"Atau awak nak saya dukung awak masuk ke dalam?"

"Encik Andhika berani ke nak dukung saya?" cabar Merah berani. Geram betul dengan bosnya ini. Nak bergurau tak kena tempat betul.

"Sini." Hampir saja lagi tangan Merah mahu dicapai, lebih dulu dia menepis dan menyeringai.

"Encik Andhika jangan macam-macam, ya? Jangan sampai muka Encik Andhika lebam saya kerjakan nanti!" Penumbuk ditayang ke depan. Peduli apa kalau Andhika nak terasa. Kalau lelaki di depannya ini melebih, dia tak akan teragak-agak untuk menaikkan tangannya demi mempertahankan dirinya.

"Saya gurau aje. Jom la, masuk. Dah lewat dah ni!" Jam ditilik sekilas.

"Diam aje?" tegur Andhika ketika kereta berada di jalanan lebih kurang sepuluh minit kemudian.

"Tak ada apa nak cakap."

"Kalau awak marah pasal tadi tu, saya minta maaf. Saya cuma nak bergurau."

"Sebenarnya sejak tadi lagi saya duk fikir apa tujuan Encik Andhika ajak saya keluar malam ni. Kita nak ke mana sebenarnya?" Kata-kata Andhika, Merah balas dengan pertanyaan yang sememangnya membuat dia tertanya-tanya sejak tadi. Dah berkali-kali rasanya dia tanya tapi sampai sekarang Andhika tak jawab-jawab.

"Kejap lagi kita sampai ke sana, awak akan tahu."

Merah langsung menyilangkan kedua-dua belah tangannya dan merapatkan ke dada. Seolah-olah protes dengan Andhika. Sakit hati pula bercakap dengan encik bos yang seorang ini.

Tolong Bagi Hati AwakWhere stories live. Discover now