SUDU di dalam cawan kopinya dimain-mainkan sambil mengacau baki kopi. Sejak tadi lagi fikirannya melayang-layang teringat pada Adrian. Semalam, Adrian membawanya ke sebuah rumah perlindungan untuk mangsa-mangsa dera dan remaja yang terlibat dengan masalah sosial. Menghabiskan masa berjam-jam di sana membuatkan dia tersedar yang selama ini dia terlalu bersangka yang tidak-tidak pada Adrian.
Setelah dia siasat dan jadi ala-ala CSI ketika di rumah perlindungan tersebut semalam, baru dia tahu yang rumah tersebut ditubuhkan oleh Adrian serta beberapa orang teman-temannya sejak beberapa tahun dulu.
Menurut pengurus rumah perlindungan tersebut pula, Adrian merupakan salah seorang penaja untuk beberapa orang remaja di sana. Malah, Adrian juga sering turun padang membantu golongan gelandangan serta mangsa-mangsa bencana alam di seluruh negara dan pernah terlibat dengan misi bantuan kemanusiaan di Gaza beberapa tahun sudah.
Mengucap panjang bila dia dapat tahu hal tersebut. Selama ini dia bersangka yang tidak-tidak pada lelaki itu sedangkan Adrian ialah manusia yang memang berhati mulia. Cukup mulia sehingga sanggup melakukan kebajikan tanpa meminta walau sesen dan antaranya ialah memberi Merah dan adik-adiknya tempat tinggal secara percuma. Bila fikir-fikir semula, dia termalu sendiri.
"Merah, masuk bilik saya sekejap." Lamunan Merah terhenti bila suara Andhika bergendang di telinga melalui interkom.
Isy, Encik Andhika ni buat terkejut ajelah! Baru nak layan perasaan, tahu-tahu aje dah kena panggil. Nak apa pula bos ni? Baru aje kejap tadi masuk bilik dia update jadual, sekarang dah panggil semula. Nak minta adjust jadual pula ke? Atau nak cakap yang dia nak keluar dan tangguhkan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan sekejap lagi?
Air kopi sempat dihabiskan sebelum Merah bangkit dan betul-betulkan bajunya. Rasa nak mengamuk saja pada Andhika. Bukan sebab dia dipanggil masuk berulang kali ke bilik lelaki itu tapi lebih kepada bengang sebab hal Amanda.
Entah apalah agaknya yang bosnya cakap sampaikan Amanda si kucing parsi itu boleh serangnya di kawasan umum lalu naikkan tangan ke mukanya. Sesuka hati betullah mulut encik bos yang seorang ini. Agak-agaknya kalau dia minta ganti rugi, boleh dapat tak?
"Ada apa, Encik Andhika?" tanya Merah mendatar.
"Duduk sekejap, Merah. Ada benda penting saya nak bincang dengan awak."
Merah hanya menurut dan tidak berminat untuk bertanya lebih lanjut. Dia cuma mahu memasang telinga dan mendengar saja butir bicara Andhika.
"Pipi awak sakit lagi?"
Ayat Andhika tu boleh buat darah Merah tersirap naik ke kepala rasanya.
"Kalau kena pelempang yang mencecah kelajuan 100 km per jam, agak-agak apa rasanya, ya?" Merah bertanya dengan niat menyindir.
"Awak dah pergi klinik?"
Soalan Andhika tu betul-betul mengundang kemarahan Merah.
"Saya belum pergi klinik tapi cadangnya nak pergi ke balai polis aje," sinis Merah selamba. Andhika pula yang rasa cuak mendengar kata-kata Merah.
"Merah, I am sorry. Saya tahu memang salah saya tapi takkan sampai awak nak ke balai polis? Benda boleh dibawa berbincang."
"Memang boleh berbincang tapi Cik Amanda kesayangan Encik Andhika tu takkan boleh dibawa berunding. Sebab itu la pipi saya yang gebu dan mulus ni makan penampar dia secara percuma." Sedas Merah tembak Andhika sehinggakan Andhika makin rasa bersalah.
Melihat air muka Andhika yang jelas-jelas rasa bersalah, terus mulut comel Merah ajukan lagi pertanyaan demi pertanyaan kepadanya demi memuaskan hati sendiri.
YOU ARE READING
Tolong Bagi Hati Awak
RomanceTajuk: Tolong Bagi hati Awak Penulis: Hannah Ezaty Muka Surat : 672 Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-21-1 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) BELI SECARA ONLINE : www.p2u.my BELI DALAM APLIKASI : Aplikasi KARYASENI