Bab 2

7.2K 119 0
                                    

"PAK CIK MEON, tolonglah jangan buat kami macam ni. Bagilah kami sikit masa untuk kami cari tempat baru," mohon Tsania bersungguh-sungguh ketika lelaki tua yang sudah berusia lingkungan umur lima puluhan itu mula mengangkat barang-barang di dalam rumah itu lalu diletakkan di luar. Pak Cik Meon menggeleng kepala keras menentang permintaan Tsania.

"Pak Cik Meon, kami janji yang kami akan bayar sewa rumah ni bila kami dah dapat gaji. Saya janji yang saya akan selesaikan semuanya sekali tapi tolong bagi masa sikit aje lagi. Tolonglah..." Kali ini Imanina pula yang membuat rayuan dengan menayang wajah penuh mengharap.

Bimbang juga melihat wajah orang tua itu. Masam mencuka. Masuk bulan ini dah genap tiga bulan mereka gagal melangsaikan sewa tertunggak kepada Pak Cik Meon, pemilik rumah yang mereka diami sekarang. Sebelum ini pun ada juga sekali dua mereka terlewat bayar tapi tak adalah orang tua ini buat perangai macam ni. Entah apa kenanya angin Pak Cik Meon, tahu-tahu saja rempuh masuk ke dalam rumah sesuka hati seakan mahu mengamuk.

"Aku dah beri peluang banyak kali pada kau orang... Dah banyak beri muka pada kau orang tapi apa yang kau orang dah buat? Ambil kesempatan ke atas aku. Masuk bulan ni dah tiga bulan kau orang tak bayar sewa rumah pada aku tahu tak? Dah, aku tak kira! Sekarang... Aku mahu kau semua keluar dari rumah aku ni!" Keras suara Pak Cik Meon. Anak matanya menikam tepat ke mata Tsania dan Imanina. Kemudian, kedua-dua gadis itu saling berpandangan sesama sendiri bagaikan mencari akal bagaimana mahu memujuk Pak Cik Meon.

"Tolonglah pak cik, jangan buat kami macam ni. Saya rayu sangat-sangat... Kalau kami keluar, ke mana kami nak tuju? Kami tak ada tempat untuk menumpang, lagipun kami memang tak ada duit sekarang. Bagi masa sikit pada kami untuk selesaikan duit sewa rumah," rayu Tsania lagi mencuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau orang tua ini mahu bertimbang rasa.

"Itu bukan masalah aku. Sekarang ni aku mahu kau semua keluar dan bawa barang-barang ni sekali. Aku dah tak boleh tengok muka kau semua dalam rumah aku ni. Kau fikir rumah aku ni tempat kebajikan ke apa? Nak duduk free aje... Kalau tak mampu nak bayar, jangan disewa rumah ni... Dah... Dah... Kau berambus aje dari rumah ni sebab petang nanti ada penyewa baru nak masuk ke sini!" tegas Pak Cik Meon lagi.

Muka masing-masing dah cemas. Panik mendengar ketegasan kata-kata Pak Cik Meon. Namun mereka semakin panik melihat kemaraan Pak Cik Meon menuju masuk ke dalam bilik mereka sebelum keluar dari situ dengan membawa beberapa buah beg dan selonggok pakaian. Beg-beg dan longgokan pakaian dicampak keluar dengan rasa bengang.

"Ini caranya nak mengajar orang macam kau semua!" tengking Pak Cik Meon dengan muka bengis.

"Pak Cik Meon, apa yang pak cik buat ni?" jerit Tsania geram sambil mara ke arah lelaki tua itu. Sifat sabarnya sudah semakin menipis bila melihat lelaki itu mahu masuk ke dalam bilik mereka lagi.

"Kau jangan banyak bunyi. Sekarang ni kau angkat semua barang-barang kau keluar dari rumah aku kalau kau tak nak aku campak keluar!"

"Tolonglah faham, pak cik. Saya dah cakap tadi yang saya akan selesaikan semuanya lepas saya dapat gaji. Janganlah kejam sangat!" Imanina melepas geram setelah Tsania diherdik tadi.

Namun tanpa disangka-sangka, lengannya ditarik kasar ke arah pintu lalu tubuhnya ditolak keluar. Sikit saja lagi Imanina hampir tersungkur ke atas lantai, mujurlah dia sempat mengimbangi badannya dan berpaut pada pintu pagar besi.

Selang beberapa minit, tubuh Tsania pula yang ditolak keluar dengan kasar sehingga merempuh tubuh Imanina. Seketika, kedua-duanya tergolek ke atas lantai koridor. Beberapa barang turut dicampak ke arah mereka oleh Pak Cik Meon tanpa perasaan belas.

"Sampai hati pak cik buat kami macam ni. Mana belas ihsan pak cik sebagai seorang manusia?!" teriak Tsania sambil merembeskan air mata. Sedih bila orang tua itu memperlakukan mereka macam manusia tak ada hati dan perasaan.

Tolong Bagi Hati AwakWhere stories live. Discover now