Putuskanlah Harapan Itu !!!

3.6K 213 8
                                    

Tarbiah Sentap:
Putuskanlah harapan itu !

Itulah yang saya pesan kepada adik-adik yang terlibat dengan jiwang separuh masak ini.

Jarang sekali saya kongsikan mengenai bagaimana mengurus masalah cintan cintun ini. Namun kali ini saya nak kongsikan sendiri kerana sebab tertentu yang saya rasa perlu, mudah-mudahan ada yang dapat manfaat.

Hidup di waktu remaja adalah hidup yang penuh ideal dan seronok. Apa yang dibayangkan semuanya adalah yang sempurna dan flawless belaka. Termasuklah juga yang dibayangkan adalah calon pasangan masa depan.

Para remaja yang menjadi aktivis dakwah juga tidak terlepas daripada gejala ini. Budaya dan trend sosial yang meluas dan melampau menjadikan mereka tidak terlepas daripada tempias arus nafsu yang dahsyat masa kini.

Mudahkan cerita, saya berpesan kepada sesiapa yang ada menyimpan perasaan yang mendalam kepada sesiapa calon berlainan jantina tertentu, jika anda tidak mampu melanjutkan hasrat dengan cara yang halal dan toyyib, maka putuskanlah harapan itu.

Ia lebih membina dirimu, mengkhusyukkan solatmu, menguatkan tadabbur Quranmu, menjernihkan hatimu, menstabilkan jiwamu, mendalamkan makrifatmu terhadap Tuhan dan memudahkanmu untuk terus meningkat dalam perjalanan menuju Tuhan.

Hakikatnya ia lebih membantumu dan si dia jika dia juga benar-benar mahukan jalan yang terbaik !

Harapan-harapan palsu yang dihias syaitan itu hanyalah belenggu yang mengikat diri untuk bertolak menuju seruan ''Berlumbalah kepada keampunan Tuhanmu" (Al-Hadiid), apatah lagi menyambut seruan "Larilah menuju Allah" (Adz-Dzariyaat).

Harapan palsu itu hanyalah bisikan syaitan untuk kita terus dihanyutkan angan-angan yang tidak berpanjangan, akhirnya berlalunya zaman, kita masih lagi tidak keruan.

Kita hidup di zaman fitnah di mana yang benar dihodohkan dan yang salah dicantikkan. Neraca iman dan taqwa tidak lagi menjadi cerminan kebahagiaan seseorang, bahkan digantikan pula dengan neraca kebendaan dan khayalan yang dibisik-bisik syaitan.

Binalah dirimu, solehkan ia, kuatkan ia, cantikkan ia, hiasilah ia dengan neraca taqwa dan istiqamah, basahi lidah dan hatimu dengan zikrullah, tadabbur ayat-Nya dan tafakkur dalam merenungi rahsia-Nya, sibukkan dirimu dengan persediaan hari yang pasti akan tiba, jangan disibukkan dengan apa yang hanya syak wa sangka.

Letakkan pengharapanmu pada Tuhan, yakinlah dengan jagaan-Nya, bila Nabi SAW menyebut 'Jagalah Allah maka Allah pasti menjagamu'.

Boleh jadi Dia menjagamu dengan menentukan pasanganmu yang terbaik, boleh jadi dengan melambatkan perkahwinanmu, boleh jadi dengan menjadikanmu tidak berkahwin.

Apa risau ? Mana-mana keadaanmu semuanya di bawah jagaan Tuhan, selagi engkau menjaga hak-Nya.

Begitulah sedikit celoteh pagi ini, memandangkan ada beberapa aduan adik-adik yang meminta nasihat dan pandangan dalam hal ini.

Wallahua'lam.

(Di petik dari FB Ust Syamil Esa)

Let's Tarbiah !!!Where stories live. Discover now