BAB 3

4.6K 85 1
                                    

HANYA kaku memerhati, otaknya bagai gagal berfungsi. Zariel bertinggung, membantu perempuan tersebut menyarungkan kasut ke kaki. Sejak awal dia mengenali Zariel sehinggalah mereka bergelar suami isteri, begitulah juga layanan Zariel terhadapnya.

Jadi, apa bezanya dia dengan perempuan itu di mata dan hati Zariel?

Tidak sanggup untuk melihat drama tersebut, Aleeya kalihkan pandangan. Hati kata serang keduanya dengan kasut yang sedang dicuba oleh perempuan tersebut untuk balasan suami yang pembohong dan perempuan yang kacau suami orang.

Tapi, nasib baik lagi otaknya sudah mula berfungsi. Kalau dia buat begitu, apa yang dia dapat? Kalau setakat untuk memuaskan hati sendiri, itu bukan caranya. Itu namanya membodohkan diri sendiri. Cukuplah dia sudah diperbodohkan Zariel. Biarlah dia jadi cerdik kerana cinta, bukan bodoh seperti yang dikatakan Diana tadi.

Sebut nama Diana, baru Aleeya teringat tentang temannya itu. Pantas dia melangkah ke arah kaunter pakaian dalam wanita untuk mencari si teman. Baik diheret Diana keluar segera sebelum temannya itu nampak apa yang dia nampak.

Kalau boleh, dia tidak mahu Diana nampak walau hakikatnya, Diana memang sudah tahu semua itu terlebih dulu darinya.

Lagipun, tempat yang paling sesuai untuk berdiskusi tentang masalah rumah tangga ialah di rumah sendiri, bukan di tempat awam atau media sosial sehingga seluruh isi dunia boleh tahu.

"Diana, jomlah ambil handphone aku. Lepas tu kita terus balik, ya?"

"Alaaa... aku belum habis shopping lagi." Diana tayang muka tak puas hati.

"Lain kalilah. Aku takut Zariel balik aku tak ada. Nanti dia bising." Aleeya beralasan.

Yang sebenarnya, dia memang tidak kuat lagi untuk melangkah. Hati dan jiwanya sedang berkecamuk hebat.

Sehingga tiba di rumah, Aleeya hanya diam. Sesekali menjawab bila Diana bertanya. Selebihnya, hanya Diana yang bercakap. Dia sudah menjadi patung cendana di dalam kereta.

Masuk saja ke rumah, dia cuba menghubungi Zariel namun talian tidak dapat ditembusi. Bukan sekali malah berkali-kali mencuba namun tetap sama. Takkan dalam bandar Kuala Lumpur tak ada coverage? Atau Zariel tutup taliannya?

Aleeya rebahkan badan ke sofa. Penat! Kedua tangan dilekatkan ke perut.

Kenapa di saat dia sudah mendapatkan apa yang dipinta dalam doa-doanya siang dan malam, ujian getir begini pula yang melanda? Adakah anugerah yang diberi ini bersyarat, dia harus kehilangan Zariel?

Matanya dipejam rapat dan air jernih mencuri keluar dari kelopaknya.

"Anak... tolong bantu ibu menjadi manusia yang kuat." Bicaranya dituju pada si anak yang sedang membenih di rahimnya.

Dan... dia terus terlena dalam galau yang berkelana di seluruh ruang hatinya.

ALEEYA terus terkaku. Lututnya terasa lemah. Matanya memandang si suami tapi, pandangannya hanya kosong.

Terasa dia bagai di alam mimpi. Dikejutkan dari lena oleh satu panggilan telefon yang mengatakan si suami kemalangan dan dia terus memandu ke hospital tersebut.

Memang dia sangat berharap yang semua ini mimpi walau hakikat sebenarnya ia satu kenyataan di depan mata.

"Leeya..." Namanya diseru Zariel.

Serentak, semua mata terarah kepadanya.

Namun, dia tetap kaku di situ, memandang si suami yang terbaring di katil hospital dengan kaki dan lengan berbalut, membiarkan semua orang memandangnya. Pandangan simpati, mungkin.

Turut berada di situ ialah bapa serta ibu mertuanya. Dan duduk di sebelah ibu mertuanya ialah perempuan sama yang dia lihat di KLCC siang tadi. Dahi mertuanya bertampal dan perempuan tersebut pula berbalut kepala serta bertampal lengan.

"Abang kemalangan. Dalam kereta abang ada tiga orang termasuk mama dan seorang perempuan. Kata mama, itu bakal isteri abang." Kata-kata adik iparnya di luar wad tadi bergema di ruang pendengarannya.

Entah dari mana dia mendapat kekuatan, masih mampu berdiri sedang kalau diikutkan, jiwa dan hatinya sudah lumpuh sejak siang tadi.

Kalau betul perempuan itu yang dikatakan bakal isteri Zariel, dia ini siapa? Perempuan simpanan?

"Mari dekat abang, sayang." Zariel memanggil. Tangan menggamit si isteri.

Sayang? Kalau sebelum ini perkataan itu sangat dia suka kerana terasa diri disayangi oleh sang suami. Tapi detik ini, masih relevankah perkataan sayang itu diberikan padanya bila mana si suami sudah ada perempuan lain? Rasanya sudah tidak sesuai lagi.

Zariel bangkit bersandar di kepala katil. Tangan masih melambai si isteri agar mendekat.

Namun, Aleeya tetap di situ. Tidak bergerak walau selangkah. Malah, terasa mahu berundur ke belakang. Terasa kedatangannya tidak diundang.

"Leeya..." Namanya diseru lagi tetapi kali ini oleh bapa mertuanya.

Tarik nafas, perlahan Aleeya melangkah ke arah mertuanya untuk bersalaman.

"Bawa bersabar. Apa-apa pun, bincang dengan elok," bisik mertuanya ketika dia tunduk mencium jemari tua itu. Serentak itu bahunya ditepuk perlahan.

Aleeya telan liur. Masih adakah yang elok-elok untuk seorang isteri yang nyata sudah tahu si suami berlaku curang? Masih adakah yang elok-elok selepas ini?

Matanya beralih pada ibu mertua tetapi wanita itu seolah tidak sudi memandangnya.

Entahlah! Dia sendiri tidak pasti apa yang ibu mertuanya tidak suka tentang dirinya. Rasanya di awal perkahwinan, semuanya elok-elok saja. Cuma sejak akhir-akhir ini saja bicara si ibu mertua sudah semakin tajam menikam tanpa sebab dan juga musabab.

Sangkanya, itu hanyalah perasaannya. Tapi hari ini, dia sudah mendapat jawapan. Dia sebenarnya tidak disukai. Kalau disukai, si ibu tak akan bersekongkol dengan anak sendiri dalam usaha menduakan dirinya.

"Takpelah, dah ramai orang. Leeya balik dulu." Tanpa menunggu jawapan orang di dalam bilik wad tersebut, Aleeya atur langkah ke pintu dan terus keluar.

Laju langkahnya. Namun, makin lama dia rasa makin tidak berdaya. Lututnya bagai tidak berupaya untuk berfungsi dengan baik. Sudahnya, dia labuhkan duduk di kerusi yang terdapat disitu.

Nafas ditarik panjang. Tapi air mata pula tiba-tiba meminta izin untuk menjenguk keluar. Degilnya, walau dilarang, ianya tetap melimpah jua. Gugur menyentuh pipi.

Sudahnya, dia teresak sendiri. Manusia lain yang lalu lalang dia anggap seperti tidak wujud di situ.

"Leeya?"

Tiba-tiba bagai terdengar suara seseorang menyeru namanya. Mulanya dia fikir dia hanya berhalusinasi. Tapi bila melihat sepasang kaki milik lelaki sedang berdiri tegak di depannya, Aleeya dongakkan wajah.

Pantas dia menyeka mata.

"Kenapa di sini? Zariel teruk ke?"

Terkejut, Aleeya bingkas berdiri.

"Awak ni...siapa?" Dia terus jadi gagap.

Apa tidaknya, seorang lelaki kacak tiba-tiba berdiri di depannya, menyeru namanya dan menyebut nama Zariel.

"You tak kenal I?" soal lelaki tersebut.

Kening Aleeya terus berkerut hampir bertaut. Cuba mengingati tetapi memang dia tak ingat. Sejak dulu, dia memang sangat sukar untuk mengingati nama dan wajah orang. Lebih-lebih lagi kalau orang itu hanya sesekali ditemui.

"Betul tak ingat?" Lelaki itu bertanya lagi.

Aleeya geleng kepala. Serius, dia tak ingat. Tapi, macam pernah bersua.

"Leeeya...Leeyaaaa..." Lelaki itu geleng kepala bersama senyuman di bibir.

Oh! Kenapa tiba-tiba dia rasa berdebar? Siapa sebenarnya lelaki ini yang begitu mesra memanggil namanya begitu? 

SAKITNYA TUH DI SINITempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang