BAB 9

5K 89 2
                                        

NASI lemak di pinggan Aleeya kuis-kuis perlahan. Nampak sedap tapi, seleranya langsung tak terbuka. Perutnya memang lapar tapi tekak pula terasa payau.

"Kalau tak selera dengan nasi lemak tu, boleh pilih makanan lain." Tiba-tiba ada suara menegur.

Aleeya panggung kepala. Rupanya, dia tidak sendiri di situ.

Ya! Dia masih bersama Hariz Ilham, sedang bersarapan di sebuah gerai tepi jalan.

Selepas singgah di kondo, Hariz berikan dia sepasang persalinan, t-shirt dan track bottom untuk menggantikan baju kurungnya yang sudah basah dan kotor. Kemudian, dia dihantar ke masjid berdekatan untuk membersihkan diri dan bersolat subuh.

Sehabis solat dan berehat sejam dua, Hariz bawa dia ke sini. Katanya, nasi lemak di sini sedap. Sebab tu selalu ramai orang.

"Nak I ambilkan kuih atau you nak apa-apa?" Hariz sudah bersedia untuk bangkit. Di situ bukan hanya nasi lemak, ada kuih dan juga makanan lain.

Aleeya geleng kepala. Nasi lemak di pinggan cepat-cepat disuapkan ke mulutnya. Cukuplah dengan semua kebaikan yang lelaki ini hulurkan. Orang kata, dapat betis jangan sibuk nak minta paha. Kalau nak mengada-ngada pun biar kena pada tempatnya.

"Lepas ni you nak I hantar ke mana?" Hariz tanya lagi.

Aleeya terus terdiam. Yang sebenarnya, dia mahu ke rumah mertuanya, dapatkan kereta dan semua barangan peribadinya. Tanpa semua itu, dia bagai patah kaki. Tapi, jika ke sana, dia harus berdepan dengan orang-orang yang tak ingin dia jumpa buat waktu ini.

"You pergilah. Tinggalkan I kat sini." Jawapan Aleeya buatkan Hariz pula yang geleng kepala.

"Serius you tak nak I call Zariel?" Hariz ulang tanya soalan yang sama. Seingat Aleeya, rasanya ini sudah masuk kali ketiga sejak dari hospital.

"Boleh tak jangan tanya soalan sama banyak kali?" Tiba-tiba Aleeya jadi naik angin.

Mendengar nama Zariel, hatinya yang di dalam bagai dicarik belati tajam. Bila disebut berulang kali, lukanya makin dalam.

Namun, apabila melihat pergerakan tangan Hariz yang ingin menyuap nasi lemak ke mulut terhenti dan terus terdiam, dia jadi serba salah. Sudahlah orang tu banyak membantu, dia pula nak marah-marah untuk hal yang kecil. Kenapa dia tiba-tiba jadi lupa makna bersyukur?

Lantas Aleeya menunduk. Memandang nasi lemak yang masih banyak berbaki di dalam pinggan.

"Sorryy..." Perlahan suaranya memohon maaf.

"It's okey. I suka je kalau you marah-marah."

Aleeya terus angkat wajah. Pelik mendengar ayat Hariz. Marah pun suka? Memanglah pelik.

"Maknanya, hati you masih mampu merasa." Dia senyum.

Tangannya yang memegang sudu sibuk menguis-nguis kacang goreng pada nasi lemak di dalam pinggan. Makan nasi lemak tapi kacang tak makan. Ikan bilis goreng pun dilonggokkan ke tepi pinggan.

"Dan..." Hariz menyambung kata tapi mata masih fokus pada nasi lemak.

"You nampak lebih manis bila marah."

Aleeya kelip-kelip mata memandang si empunya suara yang berkata-kata itu. Tangan dan mata fokus pada nasi lemak, seolah ayat 'lebih manis bila marah' tu ditujukan pada nasi lemak tersebut, bukan pada dia.

SAKITNYA TUH DI SINITempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang