BAB 5

4.7K 86 2
                                    

DUDUK berdepan di ruang tamu rumah mertuanya, masing-masing hanya diam membisu. Setelah Zariel dibenarkan keluar dari hospital, barulah Aleeya melangkah ke rumah tersebut.

Sejak tiba di sini, sepatah pun tidak keluar dari bibir Aleeya. Dia sebenarnya tidak ingin ke sini. Tetapi panggilan telefon dari dua orang berbeza memaksa dia memandu juga ke sini.

"Kalau tak boleh drive, biar saya pergi jemput." Tawaran Zafri meletakkan dia dalam keadaan serba tak kena. Walau berstatus ipar, mereka berdua tetap bukan mahram. Lagipun, sejarah antara mereka sangat sulit untuk dihuraikan.

Zafri dan Zariel, walau ada pertalian darah tapi sifat mereka jauh berbeza. Zariel yang sentiasa nampak budiman. Bila bercakap, manisnya bak gula batu. Tapi Zafri, mulutnya sukar dijangka. Kalau tak suka, dia main sesah saja.

Mungkin benar apa yang diperkatakan, Orang bermulut jahat selalu hatinya baik. Tapi, yang bermulut manis itu, terkadang makan dalam. Menyakitkan dalam diam.

"Sekarang ni, apa yang kamu nak ceritakan, Zariel?" Suara Haji Rahman memecah kebisuan memanggil semua mata menuntas pada Zariel.

Namun, Zariel tetap juga diam.

"Cik Ainon. Awak masih ingatkan, anak awak ni dah ada isteri?" Kali ini soalan Haji Rahman dituju buat si isteri sendiri.

"Apa salahnya Zariel kahwin lagi satu? Dia mampu." Jawapan yang terluah dari bibir ibu mertuanya buatkan Aleeya tergamam.

Sumpah, dia tak pernah terfikir yang dia akan mendengar ayat sebegitu dalam usia perkahwinan mereka yang baru mencecah setahun lebih. Tambah pula yang meluahkan itu adalah ibu mertuanya sendiri.

"Lagipun, dah nak dekat dua tahun. Belum ada pun tanda-tanda si Leeya ni nak bunting. Kalau sampai ke sudah macam ni, tak berzuriatlah anak kita." Puan Ainon mencebik sambil melirik ke arah si menantu.

"Yang Marina tu memang dah ada anak dengan bekas laki dia, sah-sah tak mandul."

Allah! Aleeya tahan rasa hati. Haruskah dia mengkhabarkan yang dia tidak mandul? Haruskah dia beritahu yang dia kini disahkan mengandung? Rasanya, tak ada gunanya lagi.

"Eh! Cik Ainon, mengandung atau tak, bukan kerja kita. Itu kerja Tuhan. Ada orang kahwin sepuluh tahun baru dapat anak. Mereka ni kan baru setahun lebih." Haji Rahman mencelah.

Dia jadi hilang sabar dengan kerenah isteri sendiri. Memang betul-betul dia terkejut menerima perkhabaran ini. Kalau Zariel seorang buat perangai, masih boleh diterima akal lagi. Tapi bila isterinya juga bersekongkol dengan anak sendiri dan merahsiakan dari pengetahuannya, memang dia tak boleh terima.

"Itu orang lain. Ini anak kita. Lagipun, apa salahnya hidup bermadu. Poligami kan halal." Senang sungguh bicara Puan Ainon, seolah yang mahu bermadu itu adalah dirinya.

Haji Rahman menggeleng laju. Mata menuntas ke arah anak menantu yang diam sejak tadi. Kalu ikutkan hati, mahu saja dia pijak kaki si anak yang berbalut akibat kemalangan itu biar patah terus tulang yang retak itu.

"Mama, sekarang ni yang nak kahwinnya siapa?" Zafri tiba-tiba mencelah. Entah dari mana munculnya, tiba-tiba saja sudah ada di sebelah abahnya.

"Kamu diam! Jangan menyibuk." Puan Ainon menyergah.

"Abang pun, sejak bila jadi bodoh ni?" Pandangan Zafri beralih pula pada si abang. Tidak peduli dengan kemarahan mamanya. Sejak dulu, dia memang begitu, cakap memang lepas.

"Kau jangan campur urusan aku." Zariel pula yang memberi amaran.

"Bang, saya pun tak selera nak campur. Tapi, saya nak pesan satu je, kalau abang tak nak, abang jangan fikir orang lain pun tak nak, tau!" Nada sinis penuh makna tersirat Zafri tujukan pada si abang dan kemudian bangkit berdiri. Pandangannya dikalihkan pada Aleeya.

Isyarat mata saya-dah-pernah-cakap-dengan-awak-dulu buatkan wajah Aleeya menunduk ke bawah.

"Kalau macam tu cakap awak Cik Ainon, maknanya saya pun bolehlah kahwin lagi ya?" Haji Rahman pula bersuara.

"Eh! Ke situ pulak." Puan Ainon pantas mencerlung si suami.

"Poligami kan halal. Lagipun, saya mampu." Haji Rahman terus bangkit berdiri. Tiba-tiba dia jadi rimas duduk di situ. Lagipun, hatinya jadi belas melihat wajah sang menantu yang keruh.

"Dah tua tu buat cara tua." Nada tak puas hati Puan Ainon mengerutu.

"Lelaki ni Cik Ainon, makin tua makin menjadi." Langkah kaki diatur meninggalkan isteri dan anak menantu di ruang tamu rumah.

Entahlah! Dia sendiri pelik dengan anaknya. Bagi dia, Aleeya tu menantu yang sempurna. Tak ada cacat cela di mana-mana. Dulu masa nak kahwin tak menyempat. Tak mahu tunang, nak kahwin terus. Konon takut terlepas ke tangan orang lain.

Kata sayang, tapi simpan perempuan lain di belakang isteri. Tak tahulah kut-kut makna sayang bagi orang zaman sekarang dah berubah. Kalau dia dulu-dulu, sayang isteri sentiasa dibelai-belai. Nak berjauhan pun tak sanggup.

Mungkinkah peredaran masa telah merubah makna sayang jadi sebaliknya? Mungkin dah jadi sayang isteri diduakan dan disakitkan hatinya.

"Sayang..." Zariel akhirnya membuka mulut setelah abahnya hilang dari pandangan. Tangan dihulur ke arah si isteri, meminta bantuan untuk bangkit. Kakinya yang terkehel di buku lali menyukarkan dia untuk bergerak sendiri.

"Kita masuk bilik bincang, ya?" ucapnya pada si isteri yang masih mematung di hujung sofa.

Tak ada apa yang perlu dibincangkan lagi. Itu kata hati Aleeya. Lakaran peristiwa yang Allah s.w.t tunjukkan memang sudah jelas lagi nyata.

"Hah! Apa ditunggu lagi? Cuba bantu suami tu masuk bilik!" Sergahan mertuanya buat Aleeya tersentak.

Hati menghasut agar melawan tapi akal melarang. Selagi dia masih sah bergelar isteri Zariel, selagi itu yang namanya mertua harus dihormati. Lagipun, tak mati kalau mengalah dengan orang yang lebih tua dari kita.

Pun begitu, dia tetap juga manusia biasa, tidak boleh lepas dari keinginan untuk menunjuk protes.

Pantas dia bangkit. Langkah diatur tapi bukan ke arah Zariel. Sebaliknya ke arah bilik, meninggalkan Zariel yang memandangnya dengan harapan memohon bantuan.

'Jalanlah sendiri! Kalau tak boleh jalan, duduk ajelah kat situ.' Hatinya berkata sendiri.

"Tengok tu! Kurang ajar sungguh bini kamu tu Zariel. Laki minta tolong pun buat bodoh." Terdengar cemuhan ibu mertuanya. Namun, Aleeya teruskan langkah masuk ke bilik.

Hari ini, dia sudah tidak mahu peduli apa kata ibu mertuanya. Saat ini, dia berada di sini bukan kerana Zariel. Kalau bukan sebab Zafri dan bapa mertuanya, dia mungkin sudah pergi jauh dari bumi Kuala Lumpur ini.

SAKITNYA TUH DI SINITempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang