KEPALANYA masih berdenyut walau tidak sekuat tadi. Dia masih di situ, di katil hospital bahagian kecemasan Hospital Serdang.
Dia tidak tahu bagaimana dia boleh sampai ke situ. Tapi, kata jururawat yang bertugas, ada seseorang yang menghantarnya. Seseorang yang menemui dia terbaring di tepi jalan dalam hujan renyai. Tapi, tiada apa-apa pengenalan yang ada padanya.
Ya! Dia ingat semuanya. Waktu dia lari dari rumah mertuanya, dia tak bawa apa-apa. Handphonenya di dalam beg tangan yang ditinggalkan di dalam kereta. Kunci kereta pula tertinggal di dalam bilik Zariel.
Mengingati apa yang berlaku sebelum dia berlari keluar, matanya terasa membahang. Terus dipejam celik kelopaknya agar air jernih tidak melimpah keluar.
Saat itulah dia ternampak bayangan seseorang sedang berdiri di tepi katil tempat dia berbaring. Pantas dia betulkan kedudukan, tegakkan badan bersandar ke kepala katil yang dinaikkan sedikit.
"You okey?"
Aleeya angguk perlahan. Yang sebenarnya, dia mahu menggeleng tapi, cukuplah dia menyusahkan lelaki ini dengan 'menjemputnya' ke sini.
"Kenapa sampai jadi macam ni?"
Kali ini, kepalanya menggeleng pula.
Kelihatan si dia menarik nafas panjang. Tapi, kemudian, ada senyum terlukis di bibirnya. Sungguh, dia sangat kacak. Tapi, Aleeya perlu menjaga mata. Cepat-cepat dikalihkan pandangan ke arah lain.
"Nasib baik I tak ada sakit jantung." Kata-kata itu memanggil Aleeya kembali menatap seraut wajah di depannya.
"Yalah! Tiba-tiba dapat panggilan dari hospital kata isteri I ada di bahagian kecemasan. Ada orang jumpa pengsan tepi jalan." Senyum di bibirnya makin lebar.
"Banyak kali juga fikir, bila masa I kahwin. Ke I dah hilang ingatan."
"Maaf Encik Hariz, terpaksa menyusahkan encik." Aleeya telan liur. Sudah terlajak membuat keputusan, nak tarik dah tak boleh.
"Mana ada isteri panggil suami dia encik?"
Aleeya tundukkan pandangan. Sungguh, dia tidak bermaksud apa-apa tatkala menulis nombor lelaki ini apabila diminta oleh jururawat yang mahu menghubungi suami atau waris.
Dia tidak mahu Zariel tahu dia di sini. Dia juga tidak mahu keluarganya di kampung tahu apa yang sedang berlaku dalam rumah tangganya. Selain itu, dia cuma ingat tiga nombor sahaja, Zafri, Diana dan Hariz.
Menghubungi Zafri, samalah seperti menghubungi Zariel. Dan, dia juga tidak mahu Diana tahu apa yang sedang berlaku. Lantas, pilihan yang dia ada hanyalah Hariz.
Entah kenapa, walau hanya sekali bertemu, nama dan nombor telefon lelaki ini terakam kemas dalam ingatannya. Walhal selama ini, dia cukup payah untuk mengingati sesuatu yang jarang muncul dalam hidupnya.
"You tak ingat nombor Zariel ke?" Hariz bertanya. Dia diberitahu oleh pihak hospital, Aleeya ditemui oleh orang awam terbaring di tepi jalan tanpa sebarang pengenalan diri.
Tak tahu nak jawab apa, Aleeya geleng kepala dan kemudian angguk dua kali.
"Mana satu ni?"
"I tak mahu dia tahu I ada di sini. Dan maaf sekali lagi sebab susahkan Encik..."
"Panggil I Hariz." Hariz memintas. Kemudian, dia sedikit menunduk.
KAMU SEDANG MEMBACA
SAKITNYA TUH DI SINI
RomansaTenangnya perkahwinan mereka buat Aleeya tidak percaya wujudnya orang ketiga yang memusnahkan segalanya dalam sekelip mata. "Tolong jujur dengan Leeya, bang." ~ Aleeya Irdina "Kami sudah terlanjur..." ~ Zariel Ikhwan Berpisah! Itu yang Aleeya pinta...