BAB 4

4.7K 89 2
                                    

LELAKI itu telah pergi tetapi Aleeya masih di situ, mengumpul kekuatan untuk kembali berdiri dan melangkah. Dia sudah tidak kuat lagi tetapi dia harus juga menjadi kuat demi diri sendiri dan juga anak yang sedang membesar di rahimnya.

Sisa air mata di pipi dikesat berkali-kali. Kepala di dongak ke atas, hati memohon simpati DIA agar meminjamkan sedikit sabar dan juga tenaga. Dia mahu pulang dan dia mahu pergi jauh.

Tatkala meluruskan pandangan, dia nampak lagi lelaki yang sama sedang melangkah menghampirinya.

Tanpa diundang lelaki tersebut duduk di kerusi di sebelahnya.

"You okey?"

Aleeya menggeleng. Memberitahu yang jujur. Memang dia tak okey.

"Apa yang boleh I bantu?"

Aleeya toleh ke kiri. Mencari wajah lelaki tersebut. Dan wajah itu nampak bersungguh dengan tawarannya.

Nafas ditarik panjang dan pandangan kembali tegak ke depan.

"Tolong putarkan waktu." Aleeya diam sejenak. Matanya bergenang kembali.

"Kembali semula pada awal perkahwinan kami. Tolong beritahu Zariel, minta dia sayang I sebagaimana I sayang dia. Dan..." Air mata Aleeya tumpah lagi sehingga dia tidak mampu untuk menghabiskan barisan ayat merapu yang otaknya sendiri tidak terfikir untuk berkata begitu.

Wajah ditundukkan ke bawah, menyembunyikan tangis.

Malu! Tapi, dia mahu juga luahkan tentang kelukaan hatinya. Dia mahu lelaki ini beritahu Zariel supaya tidak menyakitkan hatinya dengan cara yang sebegini kejam. Pun begitu, saat ini dia sudah tidak mampu untuk meluahkan walau satu perkataan kerana dadanya terlalu sesak dengan rasa sebak yang hadir.

"Kalau I boleh putar waktu, I akan putar hingga ke waktu you dan Zariel belum kenal..."

Aleeya panggung kepala, sekali lagi mencari wajah lelaki di sebelahnya dengan mata yang basah, mahu tahu apa yang lelaki ini ingin perkatakan.

"Masa tu, mungkin you akan kenal dengan I dulu sebelum jumpa Zariel dan mungkin you akan jatuh cinta pada I, bukan Zariel." Lelaki itu tergelak di hujung bicaranya tetapi Aleeya, terasa semua darah di tubuhnya tiba-tiba bergerak dengan laju.

Itu tidak lucu! Bentak hati Aleeya.

"You kenal Zariel berapa lama?" Tiba-tiba si dia mengubah topik bicara.

Aleeya kesat mata sendiri. Mata dikelip-kelipkan agar air jernih itu tidak lagi keluar.

"Sebelum kahwin, lima bulan. Kami dah kahwin nak dekat dua tahun."

"I kenal Zariel dah lebih 10 tahun. Pernah sebilik di asrama, makan sepinggan dan tidur berhimpit." Kelihatan lelaki tersebut menarik nafas panjang sebelum pandangan mereka bersatu.

"Dan I tahu, dia sangat sayangkan you."

Tiba-tiba Aleeya rasa nafasnya tersangkut. Dia mahu menangis lagi, tapi dia jadi makin segan dengan lelaki ini.

Benarkah apa yang diperdengarkan padanya? Kalau sayang, kenapa sanggup buat dia begini? Atau itu hanya satu omongan untuk memujuk hatinya supaya bertenang?

"Setiap manusia akan buat silap. Walau bukan semua manusia boleh dapat peluang kedua, tapi I harap you boleh beri dia peluang kedua."

"You siapa sebenarnya?" Terus soalan tersebut keluar dari bibir Aleeya. Siapa sebenarnya lelaki ini yang sanggup meminta agar Zariel diberi peluang kedua?

"Kawan Zariel."

Kawan yang mana? Aleeya cuba mengingati tapi macam samar-samar.

"Kita pernah jumpa dua kali. Masa you dengan Zariel sedang hangat bercinta, di majlis hari jadi Zariel dan masa akad nikah."

Oh! Mata Aleeya terus terbuka luas.

"Lawyer..."

"Yap!"

Aleeya tekup mulut. Patutlah dia macam pernah jumpa lelaki ini.

"Maaf, I betul-betul lupa."

"Tengah hangat bercinta, mana nak ingat orang sekeliling, kan?" Setepek kena atas muka Aleeya.

Ya! Dia akui kelemahan dan kesilapannya. Tidak peduli hal sekeliling kerana baginya, cukup dengan cinta Zariel, dia sudah tidak perlukan apa-apa lagi. Tapi dia silap. Yang sebenarnya, cinta seorang lelaki bukan boleh dijadikan sandaran untuk berpaut.

Seketika diam, lelaki itu bangkit dan sekeping kad nama dihulurkan.

"Kalau-kalau you nak tanya I apa-apa..."

Teragak-agak, Aleeya sambut juga kad tersebut dan matanya terarah pada nama yang tertulis.

Mohamad Hariz Ilham bin Dato' Haji Hamdan. Hatinya terus menyebut nama tersebut dan entah kenapa, kali ini nama itu bagai terus melekat di situ. Dia akan ingat sampai bila-bila.

Perginya lelaki itu, Aleeya terus mendapat kekuatan. Terus dia bangkit melangkah ke kereta untuk bergerak pulang.

Setiba di rumah, dia terus berwuduk dan bersolat. Kemudian, tangan ditadah memanjat doa. Dia yakin, satu-satunya hal yang membuatkan dia kuat adalah doa. Kerana doa itu adalah senjata orang mukmin.

Baru mengaminkan doa, telefonnya berbunyi dan nama 'abah' yang tertera di skrin buat dia menyedut nafas panjang.

Abah itu adalah Haji Rahman, bapa mertuanya. Orang yang sudah dianggap sebagai bapa sendiri. Tapi saat ini, dia bagai tidak berani untuk menjawab sebarang panggilan telefon dari orang yang ada kaitan dengan Zariel.

Namun, sebelum deringan berakhir, dia jawab juga panggilan tersebut. Yang membuat onar itu ialah Zariel, kenapa dia harus menghukum orang lain?

"Leeya kat mana?" Lembut suara di hujung sana bertanya sebaik memberi ucap salam.

"Kat rumah. Kenapa, bah?"

"Nanti datang rumah abah, kita bincang elok-elok." Permintaan tersebut buat dia sesak dada. Rasanya selepas ini sudah tidak ada lagi yang elok-elok antara dia dan Zariel.

"Hati-hati memandu. Ingat yang nyawa tu tak ada jual di mana-mana." Pesanan tersebut buat dada Aleeya makin sesak. Sebak.

"Leeya datang ya, abah tunggu."

Dan, harapan dari nada suara itu buat hati Aleeya tersentuh.

Sekali lagi dia rasa mahu menangis. Kenapa di saat dia rasa mahu pergi jauh dari mereka yang ada kaitan dengan Zariel, hatinya bagai diikat dengan kebaikan yang dihulur? Kenapa ibu mertuanya tidak boleh menjadi sebaik bapa mertuanya?

'TUHAN... pinjamkan aku kekuatanMU kerana aku sudah tidak kuat untuk menghadapi semua ini.'

SAKITNYA TUH DI SINITempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang