BAB 10

6.8K 117 13
                                    

HARIZ berpeluk tubuh. Wajah kusut teman di depannya dipandang lama. Bukan setakat kusut, malah serabai juga. Dengan jambang yang tumbuh meliar macam orang zaman batu yang tak pernah jumpa pisau cukur.

Rasanya baru seminggu yang lepas dia melawat ke hospital, Zariel masih nampak kemas walau sedang terlantar kerana kemalangan.

Adakah keadaan ini disebabkan penangan Aleeya? Keadaan seorang suami yang 'kehilangan' isteri.

Tiba-tiba dia terbayangkan wajah Aleeya. Juga sama kusut dan keruh seperti Zariel. Malah lebih teruk dari ini tatkala mengetahui kandungannya tidak dapat diselamatkan. Sehari semalam dia menunggu wanita itu di katil hospital, hatinya tak cukup kuat.

Rupanya, cinta bukan saja mampu membuatkan manusia bahagia tapi boleh juga menjadi penyebab sebuah derita.

"Riel, aku datang bawa amanah." Ya! Dia ke rumah ini mencari si teman membawa amanah yang berat.

Zariel angkat kepala. Mata yang tadinya merenung permukaan meja kini beralih pada si teman di depannya.

"Leeya..."

"Hah? Kenapa dengan Leeya? Kau tahu dia di mana? Kau..." Bicara Zariel mati saat melihat Hariz memberi isyarat tangan agar berhenti bercakap.

"Aku tak tahu dia di mana." Menipu demi menjaga amanah. Dia tahu itu salah apatah lagi Aleeya itu isteri Zariel. Tapi jika ditanya, dia lebih kesiankan Aleeya berbanding Zariel, temannya sendiri.

"Dia amanahkan aku untuk dapatkan barang peribadi dia dan juga kereta." Bicara Hariz mati apabila Zariel bangkit berdiri dengan tiba-tiba.

"Macam mana dia boleh berhubung dengan kau?" Suara Zariel sudah mula tegang. Berhari dia mencari si isteri. Tak peduli dengan kesakitan sendiri. Tiba-tiba si teman datang membawa berita, isterinya menghantar si temannya ini untuk mendapatkan kereta dan barangan peribadinya.

Bagaimana Aleeya boleh berhubung dengan Zariel sedangkan mereka bukan kenal pun.

Hariz masih tenang duduk berpeluk tubuh melihat si teman yang sudah berubah tegang.

"Aku jumpa dia masa melawat kau di hospital." Menipu lagi. Tapi, memang permulaan segalanya di situ. Cuma dia tak panjangkan cerita.

"Kenapa dia tak hubungi aku sendiri? Kenapa dia tak balik ambil sendiri?"

"Itu kau boleh tanya dia bila kau jumpa dia nanti. Tugas aku, sampaikan apa yang dia mahu sebab dia dah lantik aku sebagai peguam dia." Menipu untuk kali ketiga. Walhal, Aleeya tak cakap apa-apa pun tentang ini.

"Lagi satu, dia mahu aku sampaikan yang dia minta kau lepaskan dia dengan cara yang elok."

"NO!!!!" Zariel terus terjerit kuat. Bagai orang histeria pun ada. Turun naik nafasnya mendengar apa yang disampaikan si teman. Kepalanya tergeleng beberapa kali.

Hariz yang melihat masih lagi tenang kerana dia sudah menjangkakan keadaan ini lebih awal.

Setelah mundar mandir sambil melurut rambut sendiri, Zariel duduk kembali. Mata tepat memandang wajah tenang Hariz.

"Riz... kau tolong telefon dia sekarang. Aku nak bercakap dengan dia. Aku rindu sangat dengan dia. Dengar suara dia pun cukuplah. Aku..." Ayatnya tak mampu dihabiskan kerana saat itu air matanya sudah mula menitis.

Kalau nak ditanya tentang rasa malu, dia sudah hilang rasa itu. Yang ada padanya sekarang cuma harapan dan kerinduan pada si isteri.

"Riel, aku..." Hariz pula bagai hilang kata melihat si teman. Sungguhlah, cinta mampu membuatkan lelaki gagah menjadi lemah.

SAKITNYA TUH DI SINITempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang