BAB 6

4.8K 80 2
                                        

BERDIRI berpeluk tubuh, matanya jatuh pada katil milik Zariel. Entah kenapa dia tidak berkeinginan untuk duduk di situ.

Ini bilik Zariel, tempat yang pernah menjadi saksi hari-hari bahagia mereka. Tapi saat ini, dia rasakan semua benda yang ada di dalam bilik tersebut sedang mengejeknya.

"Leeyaaa...." Muncul juga suaminya di muka pintu bilik. Terhenjut-henjut berjalan menggunakan tongkat.

Aleeya undur ke belakang tatkala si suami cuba mendekatinya.

"Abang minta maaf, Leeya."

Aleeya diam tak berkutik. Yang namanya maaf itu adalah untuk kesilapan yang tidak disengajakan. Adakah apa yang Zariel buat ini boleh dikira tidak sengaja?

"Abang tidak bermaksud untuk menduakan Leeya..."

"Tapi, abang lakukan juga." Aleeya kemam bibir, dalam usaha menahan tangis.

Sakit! Terasa kesakitan ini hingga ke dasar hati yang paling dalam.

Kenapa bang? Kenapa sanggup buat Leeya begini? Tangan diangkat ke perut sendiri. Di situ, ada benih Zariel yang dia usung ke hulu ke hilir.

"Leeya..." Zariel datang merapat.

"Apa lagi yang kurang pada Leeya bang?" Sendu suara Aleeya. Air jernih menitis jua melangkau pipi mulus miliknya.

"Tak! Tak ada apa yang kurang pada Leeya." Zariel laju menggeleng.

Sungguh! Tak ada apa yang kurang pada isterinya.

Cantik! Aleeya tersangat cantik.

Malah kalau nak dibandingkan dengan Marina, macam langit dengan bumi. Cuma bezanya, Marina sangat pandai menggoda.

Aleeya punya segalanya. Rupa, ilmu dan kerjaya yang bagus. Sehingga pada satu tahap, dia rasakan dia tidak sepadan dengan si isteri. Dia yang terlalu banyak kekurangan tetapi tetap disanjung tinggi oleh si isteri.

Apa yang berlaku ini adalah khilafnya. Khilaf seorang lelaki yang diuji kekuatan iman, ketahanan melawan nafsu dengan menghantar seorang perempuan. Dan dia tewas dalam percaturan.

Jika diberi kuasa memutar masa, dia pasti akan lencongkan langkahnya. Dia pasti akan teguhkan imannya.

Tapi, itu semua hanya dongengan yang tak mungkin akan mampu dilakukan. Satu harapan yang tak mungkin akan jadi kenyataan. Jadinya, baik atau buruk dia harus hadapi kemungkinan yang akan terjadi.

"Leeyaa..." Wajah isteri yang basah dipandang tepat.

Matanya juga sudah lama basah. Cuma dia masih mampu menahan air jernih dari gugur ke pipi.

"Beritahu yang benar, abang dengan dia sudah jauh sampai ke mana?" Mata suami dicari, mahu melihat kejujuran di situ.

"Kami sudah terlanjur..."

"Allah..." Itu yang terlafaz di bibir Leeya. Dadanya terus berombak. Sekali lagi Aleeya usap perut sendiri.

'Wahai anak, tolonglah jadi kekuatan untuk ibu. Andai suatu hari nanti ibu sudah tidak kuat lagi untuk melupakan semua ini, harapan ibu hanya pada kamu.' Hati Aleeya berbisik perlahan sebelum tangan naik menyeka air jernih yang tidak berhenti daripada mengalir.

"Sudah berapa kali?" Bibirnya menyoal lagi.

"Banyak."

Nafas ditarik panjang. Tetapi kenapa terasa sangat sukar untuk dilepaskan?

"Sejak bila?"

Senyap. Tiada jawapan dari sang suami.

"Tolong jujur dengan Leeya, bang."

"Awal tahun..."

"Astaghafirullahallazim..." Kepala Aleeya tergeleng lemah. Bibir bawah digigit kuat menahan esak. Maknanya sudah tiga bulan dia 'dimadukan' tanpa sedar. Diduakan oleh suami tercinta.

"Maknanya, saat Leeya sedang melawan sakit, abang berselingkuh dengan dia?"

"Abang minta maaf..."

Sangat kejam! Awal tahun dia diuji dengan kesakitan kerana diserang apendiks dan terpaksa menjalani pembedahan. Waktu yang sama juga, suaminya berlaku curang?

Dan sepanjang empat bulan yang lalu, dia masih ingat, hanya sekali mereka 'bersama.' Itupun, dia yang meminta.

Saat ini dia jadi tertanya-tanya, ketika mereka 'bersama' pada malam itu, siapa yang suaminya bayangkan? Mana tahu, orang sedang mabuk bercinta, tubuhnya yang dipeluk tetapi kekasih hati yang menjadi idaman.

Jika benar apa yang dia fikir, kasihan sungguh pada anak yang sedang membesar di rahimnya.

Allah! Berat sungguh ujian yang KAU turunkan.

Sekarang, yang terlintas di fikirannya cuma satu dan yang satu itu perlukan persetujuan Zariel.

Entah kenapa, dia rasa dia bagai tidak berguna lagi sebagai isteri. Entah kenapa, dia rasa dia sudah tidak ingin lagi menjadi wanita bergelar isteri.

Dia mahu bergerak untuk keluar dari bilik tersebut tetapi tangannya disambar Zariel.

SAKITNYA TUH DI SINITempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang