"Awak nak ke mana Yan?" Melihat isteri yang sedang tergesa-gesa mengemas pakaiannya, cepat sahaja dia menyoal. Manakala tangan masih dimulut menahan batuk dari terlepas kemudian dadanya diusap untuk meredakan sakit di dada.
"Bukan urusan kaulah!" soalannya dibalas keras.
"Bukan urusan saya? Saya ni suami awak Yan!" walaupun kata-katanya berbaur marah tetapi disebabkan keadaannya, suara itu seakan tidak berapa mahu keluar. Isteri yang sedang sibuk memasukkan baju ke dalam beg itu dipandang dengan perasaan berbaur.
"Suami apanya kalau hidup tak habis-habis menyusahkan aku! Aku dah penatlah jaga kau selama ni. Mana nak cari duit untuk kau dan anak-anak makan, terpaksa pulak jaga kau yang sakit tak nak baik-baik tu! Kau ingat aku ni apa? Khadam kau?" kata-kata dilempar semakin kesat sedang mata tajam merenung suami yang ibarat bangkai tidak bernyawa di hadapannya itu dengan riak benci.
Mendengar jawapan isteri, tubuh yang agak longlai dan tidak bermaya itu terus terduduk di atas katil usang yang hanya menunggu masa sahaja untuk rebah. Kepala ditundukkan memandang lantai. Kesal dan kecewa dengan perlakuan isteri yang semakin hilang pertimbangan diri.
"Saya bukan mintak jadi macam ni Yan. Kalau boleh saya pun tak nak menyusahkan awak. Saya tahu tanggungjawab saya sebagai suami tapi buat masa ini saya tak mampu." Luahnya agak sayu. Dada yang semakin sempit itu diusap.
"Hei, boleh tak jangan sebut tentang tanggungjawab? Aku dah muak dengar perkataan itu dari mulut kau. Bukan baru dua, tiga bulan tau tapi dah hampir setahun kita macam ni. Dari aku terus hidup melarat dengan kau sampai ke tua, baik aku cari kehidupan lain di luar." Bentaknya semakin kasar. Suami dijeling pula.
"Awak sanggup tinggalkan anak-anak macam tu aje Yan?" suara dilempar semakin sayu dan bergetar. Pedih rasa hati mendengar kata-kata isteri sedari tadi. Allah, aku tak minta untuk jadi begini tetapi aku tetap reda. Kerana aku tahu, setiap sesuatu yang Engkau berikan itu pasti ada sebabnya. Rintihnya. Mengenangkan sakit kanser paru-paru yang dihidapinya sejak setahun setengah yang lepas, lagilah berat rasa beban di jiwa.
"Anak-anak? Itu bukan anak-anak aku. Pandai-pandailah kau jaga. Lagipun budak-budak tu bukannya kecik lagi. Dah besar-besar."
"Besar? Mereka tu baru sembilan dan dua belas tahun Yan. Masih memerlukan kita lagi untuk membesar."
"Argghhh...sudahlah! Aku malas nak ambil tahu pasal budak-budak tu lagi. Biarlah diaorang nak jadi apa pun aku tak peduli. Nak hidup ke atau nak mati, bukan urusan aku!" bentaknya semakin keras. Tangan pula ligat mencapai kain baju dan dimasukkan ke dalam beg baju.
"Astagfirullahalazim, apa yang merasuk fikiran awak ni Yan sampai macam tu sekali kata-kata awak. Awak tak ingat tuhan Yan? Tak ingat dosa dan pahala?" Sungguh dia terpempan. Sudah tak tertanggung rasa hati mendengar setiap butir bicara isterinya sedari tadi. Kenapa tiba-tiba isterinya berubah laku begitu? Allah...dada diusap lagi. Berkali-kali.
Malas hendak mengendahkan kata-kata suami, beg baju terus dizip dan dia mula berdiri. Beg dicapai.
"Kau dengar sini, mulai hari ni aku akan keluar dari rumah yang macam neraka ni dan jalani hidup aku sendiri. Aku nak kau ceraikan aku sebab aku dah jumpa orang yang lebih baik dan mampu beri kemewahan kepada aku. Aku boleh duduk dalam rumah besar, ada duit banyak. Tak macam rumah ni, reban ayam pun lagi cantik dari ni!" Ucapnya bersahaja dan sinis. Langsung tidak mengendahkan perasaan suami yang sudah hancur luluh dengan tindakannya sedari tadi.
Dengan perasaan kecewa, kepala ditundukkan memandang lantai semula. Mata yang sudah mula berkaca pantas diseka. Allah, mudahnya isterinya itu melemparkan kata-kata begitu. Dimana sumpah setia yang pernah diucapkan dulu? Yang sanggup bersusah senang dengannya? Allah, kenapa hatinya terasa bagai disiat-siat dengan tiap patah bicara isterinya tadi? Lukanya begitu pedih menghiris.
"Hei! Kau dengar tak? Aku nak kau ceraikan aku. Talak tiga pun tak apa. Lagi aku suka!" wajah ditarik benci. Serasanya untuk berada dipondok buruk itu untuk seminit sahaja lagipun dia tak rela. Sungguh dia sudah benci dan jijik!
"Yan!"
Wajah isteri dipandang tajam.
Dengan riak sinis seperti tadi, tubuh dipalingkan menghadap suami. "Kalau kau nak jadi lelaki dayus, silakan. Samada kau ceraikan aku atau tidak, aku tetap akan ikut lelaki tu. Hidup senang dan mewah lebih penting pada aku dari menunggu lafaz dari mulut kau tu." Tidak menunggu kaki terus diayun.
"Yan!"
Hayunan terhenti. Dalam keadaan yang sedang membelakangkan suami, dia terus membatukan diri.
"Baik, kalau awak nak sangat saya lepaskan awak, saya akan lepaskan. Lagipun saya tak nak bersubahat dengan dosa yang awak lakukan." Kata-katanya terhenti. Nafas dihela. Berat. Ya Allah, aku tahu Kau benci akan perceraian tetapi kalau hanya ini jalannya, aku tiada pilihan Ya Allah.
"Dengar sini Nor Azian Baharom.." kepala didongakkan semula. Isteri yang masih membelakangkannya itu dipandang. "Aku ceraikan kau dengan talak tiga!" tenang kata-kata itu diucapkan walau hati menangis hiba. Allah...
Tawa dihambur sepuas hati. Gembira kerana apa yang dia inginkan akhirnya dicapai.
"Terima kasih dan selamat tinggal." Tidak menunggu lagi dia terus keluar. Dengan tergesa-gesa.
"Makkkkk!"
Terdengar jeritan seseorang langkahnya terhenti lagi.
"Mak, takkan mak nak tinggalkan kakak dengan adik? Mak tak sayang kakak dengan adik lagi ke?" suara esakan anak perempuannya sudah mula kedengaran. Sedari tadi dia hanya mendengar sahaja perbalahan kedua-dua orang tuanya tetapi sebaik kelibat emaknya kelihatan, dia terus meluru ke arah wanita itu.
Dengusan kuat dilepaskan dan dengan riak menyampah anak perempuannya itu dipandang. "Kakak dengan adik duduk dengan ayah. Mak dah boleh duduk sini lagi. Ayah dah ceraikan mak." Ucapnya selamba.
"Kakak sayang mak...janganlah tinggalkan kakak." Tangisannya semakin menjadi-jadi. Tubuh ibunya yang sedang kaku berdiri diruang tamu rumah terus dipeluk. Erat.
"Kakak boleh tak jangan macam ni! Mak dah lambatlah." Dengusnya lagi. Tangan anak perempuan yang sedang terikat kemas ditubuhnya pantas dipegang untuk dileraikan. Rimas!
"Tak nak. Kakak tak nak lepaskan mak. Kakak sayang mak." Raungnya pula. Pelukannya semakin dikemaskan.
Geram, tubuh anak perempuannya itu terus ditolak. Kasar sehingga anak kecil itu terus jatuh terjelepok di atas lantai.
"Anak dengan bapak sama aje menyusahkan!" ucapnya berang. Anak perempuan yang sudah terduduk itu dijeling tajam dan dengan riak benci.
"Kakak.." Adik yang hanya memerhati sedari tadi terus berlari menghampiri kakak yang sudah semakin kuat menangis. Tubuh kakaknya dipeluk.
"Dengar sini, mulai hari ni aku bukan mak kamu berdua dan aku tak ada anak macam kamu berdua. Faham?" sehabis kata-kata itu dilemparkan, kaki terus diayun laju untuk pergi dari situ.
"Makkkkkkkkkkkk!" kakak dan adik terus menjerit dan mula meraung. Masing-masing bingkas bangun dan laju berlari ke muka pintu. "Makkkkkkkk...kakak sayang mak..jangan tinggalkan kakak.." jerit si kakak bersama esakan.
"Makkkkk, jangan tinggalkan adik. Adik sayang makkkkkk!" raung adik pula.
Ayah yang sedang berdiri di muka pintu bilik, hanya mampu menahan tangis dari terhambur melihat apa yang sedang berlaku.
Tidak mengendahkan jeritan anak-anak, dia terus pergi dari situ dengan dibawa oleh seorang lelaki yang belum sampai sebulan dikenalinya.
"Makkkkkk....adik nak ikut..." adik pula menjerit-jerit dan terus berlari menuruni mata tangga. Tetapi belum sempat dia mengejar, kereta yang dinaiki ibunya itu sudah dipandu pergi dari situ.
"Makkkkkk... kakak sayangkan mak. Jangan tinggalkan kakak dengan adik, mak.." rintih si kakak sambil memaut daun pintu. Kereta yang sudah jauh pergi membawa ibu mereka dipandang bersama tangisan yang panjang.
"Kakak...adik, jangan nangis lagi. Ayah ada...ayah ada..." Pujuknya. hanya kata-kata itu sahaja yang mampu dia ucapkan sedangkan dia sendiri pun tidak tahu untuk berapa lama sahaja lagi dia mampu menjaga mereka. Allah...bantulah aku...rintihnya dalam hati.
_8
YOU ARE READING
AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITU
General FictionDia Shark...lelaki yang punya pesona dan digilai ramai gadis-gadis popular dan ternama. Biar dipikat dan digoda tetapi hatinya tetap dijaga hanya untuk dimiliki oleh seorang gadis bernama Jeslina atau digelarnya Bunga. Bagi Jeslina, nama Shark atau...