Prolog II

1.4K 27 2
                                    

"Budak jahat!" pekik Jeslina agak nyaring. Shaqir yang beriak selamba itu dijeling. Tajam. Darah yang sudah mula meleleh di tangan kanannya, ditutup dengan sebelah tangan lagi. Air mata semakin mencurah-curah jatuh. Sakit, tetapi perlakuan Shaqir lebih menyakitkan hati lagi.

"Budak jahat!" jeritnya lagi bersama esakan. Basikalnya dipandang dan handle basikal yang sudah senget itu direnung bersama juraian air mata. Lebih menyedihkan lagi apabila basikal itu adalah hadiah pemberian dari abah sempena harijadinya tiga hari lepas. Mesti abah kecewa kerana pemberiannya sudah tidak sempurna lagi.

"Macam budak kecik. Jatuh sikit pun nak nangis. Dah tak reti nak bangun?" keras Shaqir bersuara. Langsung tiada riak bersalah di wajahnya biarpun apa yang berlaku itu adalah kerana silapnya. Dalam keadaan diri yang masih berdiri di atas basikalnya, Jeslina dicebik seakan mengejek.

"Aku sakitlah bodoh!" jerit Jeslina semakin lantang. Shaqir dijeling semakin tajam. Benci! Sungguh dia benci dengan lelaki yang bernama Mohd. Shaqir Hussain di hadapannya itu! Sejak dia mula menjejak kaki di kampung itu lagi, lelaki itu selalu membulinya. Ada sahaja yang dilakukan Shaqir untuk menyakiti hatinya. Jika bukan dengan perbuatan lelaki itu pasti akan mengganggunya dengan kata-kata dan sindiran tajam.

Melihat Jeslina yang sedang terduduk dan menangis dari jauh, Redza beristigfar panjang. Terpandangkan Shaqir lagilah cemas hatinya. Basikal dikayuh semakin laju. Sebaik menghampiri gadis itu, basikalnya terus dicampakkan ke rumput dan Jeslina didekati. "Ya Allah, Jes. Kenapa ni?" tanyanya. Melihat luka di tangan gadis itu lagilah kalut dia rasa.

Pertanyaan Redza dibiarkan tak bersambut hanya tangisnya sahaja yang semakin menjadi-jadi. Redza dipandang memohon simpati.

"Kenapa ni Shark?" Soalnya keras sedang mata tajam memanah pandang sahabatnya itu.

"Jatuh sikit aje tapi mengada aje lebih." Sinisnya. Jeslina dikerling.

"Sikit apanya kalau sampai berdarah tangan ni." Lengan Jeslina ditarik. "Ya Allah, sampai terkoyak baju sekolah Jes ni. Kau buat apa Shark?" marah Redza lagi. Kepalanya digeleng melepaskan geram.

Shaqir mendengus. Ini yang dia malas. Bila superman sudah datang menyelamatkan girlfriend nya, mesti tak habis-habis nak membebel. Lagipun dia bukannya sengaja tadi. Kalut hendak cepat, sampai terlajak dan terlanggar basikal anak inspektor polis yang mengada tu!

Redza tolehkan wajah memandang Jeslina semula. "Jes, macam mana boleh jatuh ni?" Sapu tangan di dalam poket bajunya diambil dan diikatkan di tangan Jeslina yang masih mengalir dengan darah merah.

Masih di dalam keadaan seperti tadi, Jeslina buang pandang ke arah Shaqir semula. "Budak jahat tu yang buat Jes. Dia langgar basikal Jes sampai Jes jatuh." Ceritanya sambil tersedu. Mata yang masih basah dengan air mata diseka.

"Hei! Aku terlanggarlah. Kau tahu tak maksud 'ter' tu apa?" Shaqir menyampuk. Membela diri. Keras kata-kata itu dilontarkan bersama dengusan.

Redza menggeleng. Malas hendak melayan kerenah Shaqir lagi, tangan kiri Jeslina ditarik supaya berdiri. "Jom abang hantar balik." Ucapnya. "Aku tak faham apa yang kau jaki sangat dengan Jes ni Shark. Sejak Jes pindah sini ada aje benda yang kau buat dekat dia. Cubalah jangan buat perangai macam budak-budak sangat Shark! Kau nak kena lempang dengan abah Jes? Kau jangan main-main Shark. Lupa siapa abah Jes dekat kampung ni." Dia mengingatkan. Shaqir dipandang dengan riak bengis.

Shaqir mencemik. Bebelan Redza langsung tidak diendahkan. Dengan wajah yang masih selamba seperti tadi, pemegang basikal dicapai dan diubahkan haluannya ke arah lain. "Aku cau!" ucapnya keras dan mula mengayuh basikal untuk beredar dari situ.

Melihat apa yang Shaqir lakukan, Redza menggeleng dan melepaskan keluhan berat. Degil! Desisnya. Kepala ditolehkan memandang Jeslina semula. "Jom Jes." Ajaknya. Basikal Jeslina diangkat dan ditongkatkan. Basikalnya diambil pula. "Jes pegang handle tu sebelah dan abang pegang sebelah lagi sambil abang tolak basikal abang." Suruhnya.

Tidak menjawab, Jeslina menurut. Sebelah pemegang basikal dipegang dengan tangan kirinya dan dia mula buka langkah mengekor langkah Redza.

"Tangan sakit lagi tak?"

Kepala dianggukkan. Perlahan.

"Tahan sikit. Nanti boleh letak ubat." Pujuk Redza lembut.

Sekali lagi kepala dianggukkan dan bibir mula mengukir senyum. Kesakitan yang dirasai serasa hilang begitu sahaja apabila dilayan sebaik itu. Redza memang seorang lelaki yang sangat baik dan setiap kali bersama lelaki itu, dia rasa selamat dan dilindungi.

Shaqir yang berada tidak jauh dari situ hanya mampu memerhati dengan bibir diketap kuat. Sungguh, terasa sakit hatinya melihat kemesraan kedua-duanya. Geram, beg sekolahnya dicampak kasar ke atas tanah untuk melepaskan rasa benci yang terbuku di dada.

h7q

AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITUWhere stories live. Discover now