Tawa gadis itu gemersik memecah hening suasana. Sayup-sayup menyentuh deria dengarnya. Dua orang temannya ikut tertawa. Mereka bergurau senda sementara mengusir bosan menunggu yang dinanti yang tak kunjung tiba. Simpang siur manusia semakin hilang kelibat kerana malam kian larut meninggalkan sisa-sisa senja.
Bagaikan sebuah kamera polaroid, mata dan akalnya merakamkan aksi-aksi gadis itu. Saat gadis itu ketawa sambil menekup bibir, manis bersopan. Ada waktu, mata dan mulutnya sama bulat bila terkejut dengan cerita temannya, comel mencuit hati. Sesekali berpusing memandang ke sisi jalan, mencari kelibat yang dinanti. Saat itu, wajahnya yang lembut menawan jelas terserlah. Hampir setengah jam berlalu, sedikit pun gadis itu tidak terasa bosan memandang keliling dan menunggu.
Sebuah teksi merah putih muncul di antara kenderaan yang lalu lalang di jalan raya di hadapan bangunan itu. Dia yang sedari tadi duduk bertugu di dalam keretanya yang diparkir tidak jauh dari tempat anak-anak gadis itu menunggu teksi, hanya memandang sambil hatinya berlagu penuh harap. Peluang terakhir malam ini. Dia tidak boleh gagal lagi.
Teksi tadi membawa pergi dua orang rakannya, meninggalkan gadis bertudung merah jambu itu sendirian. Jam di pergelangan tangan yang berona senada dengan tudungnya, dipandang berkali-kali. Tangan kanan masih setia memeluk fail dan buku sementara beg galas merah jambu bersilang di belakangnya. Selendang labuh yang membaluti mahkota wanitanya beralun lembut ditiup angin malam. Jelas gadis yang manis menawan itu sedang resah menunggu. Apatah lagi bersendirian begitu.
Dia tersenyum. Waktu yang sangat sempurna. Kaca mata hitam dari papan pemuka dicapai lalu dipakai. Malam menjadi semakin pekat pada pandangan kacamatanya. Cermin pandang belakang ditelek untuk melihat imej sendiri. Kumis diperiksa rapi. Puas hati. Zip pada jaket pula ditarik rapat. Sejambak bunga mawar di tempat duduk penumpang di sebelahnya diambil sambil matanya tidak lepas memandang ke arah gadis itu. Dengan langkah teratur dan penuh yakin, dia keluar dari kereta.
Gadis yang tidak sedar dirinya sedang diperhatikan itu asyik memandang ke depan. Menunggu penuh setia. Dia tersenyum lagi. Yang ditunggu takkan kunjung datang. Dia sudah memastikannya.
"Tunggu Adam?" sapanya lembut namun cukup untuk menyentak sekujur tubuh gadis itu. Dia tertawa malu kerana terkejut begitu. Lelaki asing yang mungkin merupakan teman abangnya.
"Ya. Mana awak tahu?" Suaranya lunak bertanya.
"Saya tahu." Senyum dipamerkan segarit cuma.
"Untuk awak." Jambangan bunga itu dihulurkan. Wajahnya beriak ikhlas. Gadis itu terkejut dan serba-salah. Jambangan bunga dan jejaka tampan, satu kombinasi yang sukar ditolak.
"Jangan hampakan saya." Nada suaranya direndahkan. Mohon simpati. Teragak-agak si gadis menyambut huluran bunga yang amat menggoda itu.
"Saya harap harumnya masih ada." Dia berbahasa. Tunduk tersenyum memandang hujung kasut. Lelaki budiman tidak akan memaksa. Segalanya harus penuh seni dan gaya.
Gadis itu tertawa kecil. Ada nada kagum dalam suara tawa itu. Kemudian dia tunduk menyedut haruman mawar yang masih segar ditangannya.
"Suka?"
"Suka!" Dia tertawa malu. Ceria wataknya. Kemudian sepasang matanya merawang jauh. Meninjau yang dinanti, pastinya. Riak muka berubah resah.
"Apa kata saya hantar awak balik?"
"Ha?" Ha... ha... hasssyyummm! Dia terbersin kuat. Kelam kabut dia memicit hidung.
"Mmm... maaf!"
"Tak apa. Sejuk angin malam tu." Sehelai saputangan dihulurkan ke muka si gadis yang sudah kemerah-merahan itu.
"Eh... tak apa!" Hah... ha... hassyyumm!
"Kan makin teruk tu. Ambillah..." Sekali lagi, dia tidak akan memaksa.
"Hmm... terima kasih." Saputangan diambil juga dengan serba-salah. Langsung dibawa ke hidung. Entah kenapa tiba-tiba dia bersin. Bukan tak biasa dengan udara malam begini. Malah sudah lali dengan hujan dan angin sejuk sejak mengikuti kelas malam di sini.
"Betul tak nak saya hantarkan balik?" Lembut dan lunak suaranya membuatkan gadis itu tersipu menggeleng.
"Abang mesti dah dalam perjalanan sekarang. Saya tunggu saja. Terima kasih ya."
Dia hanya mengangguk. "Kalau macam tu, saya temankan sampai abang awak sampai."
"Awak kawan abang ke?" soalnya, ingin tahu sejak tadi lagi. Kenapa tiba-tiba muncul dengan bunga bagai?
"Kenal. Belum berkawan. Saya nak berkawan dengan adiknya dulu. Boleh macam tu?" Soalan itu hanya disambut tawa malu lagi. Tertunduk-tunduk dia melindungi wajah yang sedia berona. Bila dia mendongak semula...
"Eh..." Jemarinya cepat memegang kepala.
"Kenapa?'
"Entah kenapa saya rasa... pening..." Berkerut-kerut dahinya menahan rasa. Sepasang mata yang beralis lentik itu terkelip-kelip gelisah. Berdirinya mula goyah. Dan sebelum dia rebah...
"Biar saya tolong awak..." Tangan sasanya sudah mendarat ke pinggang, membantu gadis itu terus berdiri.
"Kenapa dengan saya ni...? Awak... saya..." dan dia terus rebah ke dalam pangkuan lelaki yang tinggi lampai itu. Rebah yang dinanti. Ada senyuman yang mekar. Ada nafas yang dihela puas.
Sambil memaut rapat tubuh gadis itu, dia membawanya ke kereta yang sudah lama diparkir tidak jauh dari situ. Buku dan fail yang bertaburan di jalan dikutip kemudian. Dan tanpa sesiapa pun menyedari, sepasang lelaki dan perempuan itu hilang dari pandangan, meluncur laju membelah malam di ibukota dengan kereta putih milik lelaki itu.
****
Alhamdulillah, novel ke 5 Juea ni bakal terbit pada 25hb April ini. Novel ini sudah diterbitkan dalam bentuk e-book tetapi kini beralih ke versi cetak atas permintaan sahabat pembaca. LIKE A GUARDIAN ANGEL ini adalah versi edit kerana ada 30% penambahan cerita tanpa menganggu plot asal.
Novel ini juga bergabung dengan dua buah novel edaran Tatayyum Mission – AKU BUKAN SOLEHAH tulisan Michiko Ohara dan DI PERTEMUAN KEDUA II tulisan Shahariah Ismail untuk JUALAN KOMBO RM70 termasuk kos pos yang mana RM5 dari jualan kombo ini ditabungkan untuk projek INFAQ RAMADHAN 2018.
PM untuk tempahan!
"BACAAN HIBURAN JIWA MEMBINA PERIBADI"
JOM MEMBELI SAMBIL BERAMAL!
POTONGAN 30% UNTUK PEMBELI ENOVEL VERSI E-BOOK.
YOU ARE READING
GUARDIAN ANGEL
General FictionDia hadir tanpa nama. Di tangannya sejambak bunga dan di bibirnya terukir senyuman memikat. Namun dia hilang tanpa kelibat. Fatimah el Noura terperangkap dengan seorang lelaki misteri yang meregut maruah dirinya sekali gus menghancurkan kebahagian s...