RUANG di hadapan pintu pagar utama universiti dipenuhi dengan pelbagai jenis kereta. Aku yang baru hendak turun dari bas universiti terhenti melangkah. Mendengarkan bunyi bising yang dibuat oleh penumpang lain apabila aku berhenti secara tiba-tiba, memaksa aku turun juga. Terpinga-pinga aku melihat beberapa orang lelaki memegang kamera dan beberapa orang wanita sedang membuat liputan secara langsung. Huh? Apa yang berlaku ni? Melihatkan kereta polis dan sekumpulan pelajar wanita yang berdiri di kaki lima membuatkan aku semakin tertanya-tanya. Huish! Ada kes pembunuhan ke?
Aku berjalan perlahan-lahan ke pintu pagar. Sesak! Tak boleh langsung aku nak menyelit. Okey. Boleh sebenarnya kalau aku menyelit macam orang lain. Tapi, mesti baju aku bau hangit jadinya. Huh! Tak boleh, tak boleh! Baik aku masuk ikut pintu belakang kolej. Aku berpatah balik ke bas yang aku naiki tadi. Nasib baik brader bas ni tak jalan lagi.
"Bang! Minta tolong, bang!" jerit aku dari pintu bas.
"Apa dia?"
"Tolong hantar saya kat pintu belakang boleh? Nanti saya belanja lunch," kata aku sambil mengusap rambut panjang aku yang aku gayakan ala-ala penyanyi pop terkini, Jasmine.
"Tak payah nak belanjalah, dik! Bas ni pun memang nak balik 'rumah' dia. Naiklah cepat."
"Okey. Boleh pula ada kes dekat kolej ni. Saya nak masuk pun tak boleh."
"Kes apa tu? Ramai sangat orang. Dengan polis, dengan wartawan semua ada."
Bas mula meninggalkan bahu jalan perlahan-lahan dan bergerak menghala ke jalan belakang kolej. Aku memerhatikan gelagat orang ramai yang masih tidak berganjak dari tadi. Ada apa sebenarnya ni?
"Entahlah, bang! Saya tak tahu apa-apa pula."
Aku melihat jam di tangan. Alamak! Setengah jam lagi kelas dah nak mula. Aduh! Malang sungguh hari ni!
"Bang, cepat sikit, bang! Kelas saya lagi setengah jam ni!"
"Tak apa. Nanti abang tolong hantar kau pergi kelas naik basikal." Brader bas tersengih dekat aku. Aku menarik muka. Aku dah lambat, lagi nak usik aku macam-macam.
Laju aku berlari ke blok H selepas brader tadi menurunkan aku di tepi jalan. Baik hati brader tadi nak tolong hantar aku naik motosikal dia. Tapi kena bagi pengeras juga. Tak pasal-pasal nombor telefon aku jadi mangsa. Ah! Nombor aje pun. Bukannya bodi!
Aku tercungap-cungap sebaik saja tiba di hadapan pintu dewan kuliah. Aku membetulkan rambut yang kusut dek memakai helmet tadi. Huh! Baik aku menyelit aje waktu orang ramai tadi. Sekarang ni pun dah busuk juga!
Aku berjalan membuka pintu perlahan. Harap-haraplah pintu tak berkunci. Fuh! Aku meniup ke arah pintu. Prof. Hanna yang sedang berdiri memandang komputer riba mengangkat muka memandang aku. Alamak! Ada aura bunuh di dalam mata dia.
"You are lucky, young lady. Please lock the door, will you?"
Aku mengangguk laju. Fuh... Selamat!
"Apa pasal lambat?" Hairi menyoal sebaik saja aku duduk di sebelah dia. Aku menghela nafas perlahan.
"Traffic jam!"
Hairi ketawa perlahan. "Main gate?"
Aku mengangguk laju. "Tahu pun kau!"
"Mana taknya. Disebabkan putera seorang tu la, ramai terpaksa masuk ikut pintu belakang, kau tahu? Tadi pun jam dekat pintu belakang."
"Putera?" Aku mengerutkan dahi. "Ada putera katak kena langgar pula ke ni?"
"Apa kau merepek ni?" Hairi dah marah aku. "Kan ada putera raja pindah masuk universiti kita!" jelasnya.
"Silence, please! If you guys want to talk, please go outside and do not disturb my class!" marah Prof. Hanna.
Mulut aku dan Hairi terkunci. Tajam mata Prof. Hanna merenung kami berdua. Aku mengangkat tangan dan tunduk sedikit. "We are sorry, prof!" kata aku.
Prof. Hanna mengangguk. Kelas kembali berjalan seperti biasa. Cuma tumpuan aku saja tak seperti hari-hari biasa. Penyataan daripada Hairi bermain-main dalam fikiran. Ada putera raja pindah universiti aku? Putera raja? Dalam fikiran sudah terbayangkan wajah Putera Mahkota Danish yang bakal menggantikan Sultan Hussin. Tapi, takkanlah Putera Danish yang pindah sini? Bukan ke umur dia dah dua puluh lima? Rasanya dulu dia ambil ijazah undang-undang di Universiti Diraja Alamin.
"Hei, berangan!" Hairi menyenggol lengan aku yang sedang menopang dagu. Mujur kepala aku tak terjatuh ke meja tulis ni. Aku memandang Hairi geram.
"Kau kalau tak buat macam tu, tak boleh ke?" Aku menyeringai geram.
Hairi mengangkat bahu. "Tak boleh! Sebab awek aku tengah berangan ingatkan lelaki lain. Adele, tak payahlah nak bermimpi kahwin dengan putera raja. Kau tu, aku yang punya!" tegas Hairi walau dia sedikitpun tak memandang aku.
Aku tersengih mendengarkan kata-kata Hairi. Cemburu rupa-rupanya. Tak tahu pula aku, Hairi jenis yang kuat cemburu. Tapi tak apa! Itu maknanya Hairi sayang.
"Mana ada? Cukuplah kau seorang putera hati aku. Aku tak nak yang lain dah!" kata aku. Tangan kiri Hairi aku capai dan usap lembut. Hairi sedikit tersenyum.
Namun begitu, tatkala aku hendak fokus di dalam kelas, sekali lagi fikiran aku melayang membayangkan putera raja yang dikatakan tadi. Siapa sebenarnya putera ni? Ke dari negara lain? Kalau betul Putera Danish yang pindah sini, memang Hairi terpaksa menahan perasaanlah sebab Putera Danish tu aku dah jatuh minat dari darjah satu!
YOU ARE READING
Oh, My Prince!
RomanceTajuk: Oh, My Prince! Penulis: Hannah Dhaniyah Penerbit: Karyaseni Harga: RM27.00 (Semenanjung) RM30.00 (Sabah & Sarawak) http://karyaseni.my/index.php/novel/oh,-my-prince-detail