Awal pagi itu aku bangun apabila terdengarkan bunyi ayam berkokok di tepi rumah. Terasa hening suasana kampung ni pada waktu pagi. Aku mencapai telefon di sebelah bantal. Jam yang ada aku lihat. Sudah pukul lapan setengah pagi. Hai? Sunyi aje rumah? Takkan dia orang ni tak balik-balik lagi? Terpandangkan ikon mesej yang belum dibaca, aku membuka bahagian mesej. Dua mesej aku terima. Satu daripada Putera Danial manakala satu lagi daripada Hairi yang memberitahu dia sudah bertolak ke Hong Kong.
Aku membuka mesej daripada tuan putera. Mesejnya ringkas, sekadar bertanya khabar. Cukup menandakan dia risaukan keadaan aku. Putera Danial, lagi bagus kau risaukan rakyat kau, tahu? Tapi apa yang dia nak risaukan pun. Bukannya dia yang akan jadi raja nanti. Mesej dia aku biarkan tak berbalas. Malaslah nak merapatkan diri dengan putera tu. Nanti akhirnya aku yang terperangkap.
Aku bangun juga daripada perbaringan. Badan aku menggeliat sepuasnya. Ini kalau dia orang balik dan nampak aku masih bergolek di atas katil, mesti tak berhenti mulut Abang Hadi memarahi aku. Selesai membersihkan diri, aku ke dapur. Ingin melihat kalau ada apa-apa yang boleh dimasak untuk sarapan. Tiada apa yang boleh dimasak, aku mencapai roti gandum yang ada di meja makan. Jadilah daripada tak ada. Nak beli sarapan di luar, aku malas.
Hampir tiga jam juga aku bersendirian di rumah. Aku menghabiskan masa dengan mengemas rumah dan membasuh kain baju. Apabila jam menunjukkan hampir pukul sebelas, barulah aku mendengar bunyi kereta masuk ke pekarangan rumah. Aku mengintai dari langsir tingkap. Abang Hadi memandu kereta manakala ayah dan tiga lagi abang aku yang lain menjadi penumpang. Aku hanya mampu tersenyum tawar. Betullah tu ada program di madrasah.
"Assalamualaikum..." ucap Abang Hanif perlahan sebelum masuk ke dalam rumah diikuti Abang Harith dan Abang Hakim.
"Waalaikumussalam," balas aku lembut. Apabila Abang Hanif mengangkat muka, aku menghadiahkan senyuman nipis. Wajahnya sedikit terkejut melihatkan aku berdiri di hadapannya.
"Eh? Bila Hani balik?" soal Abang Hanif.
"Yalah? Tiba-tiba aje ada dekat rumah ni?" Abang Harith menyampuk.
"Ini mesti balik sebab perkara yang ayah cakap dulu kut?" teka Abang Hakim pula.
Aku hanya tersengih. Tak tahu hendak membalas apa. Kekok tiba-tiba.
"Abang Hadi telefon Hani minta balik cuti yang terdekat ni."
Ketiga-tiga abang-abang aku mengangguk.
"Tapi Abang Hadi tak cakap apa-apa pula dengan kami. Pukul berapa Hani sampai?" soal Abang Harith.
"Sebelas malam tadi. Tunggu juga kat stesen bas kalau ada orang datang ambil. Last-last naik teksi balik rumah," kata aku sambil meluahkan rasa. Mahu mereka faham.
Abang Harith menggeleng perlahan. "Abang Harith tak tahu langsung. Kalau Abang Harith tahu, Abang Harith boleh tunggu Hani dekat sana," katanya sedikit kesal.
"Nak buat macam mana. Abang Hadi terlupalah tu."
Abang Hanif cuba menenangkan keadaan. Tapi keadaan hati aku sikit pun tak tenang. Makin terasa lagi ada sebab nampak sangat perihal aku tak sepenting mana. Aku ni adik! Satu-satunya adik perempuan kau orang. Takkan sedikit pun tak boleh nak ambil berat? Takkanlah disebabkan aku belajar di universiti tu penyebab mereka tak nak ambil tahu langsung pasal aku? Itu tak adil bagi aku.
"Tak apalah. Lepas ni kalau nak balik ke apa ke, beritahu Abang Harith. Nanti ambil nombor Abang Harith. Abang Hadi pun sibuk sekarang. Dia nak sambung belajar lagi. Ayah pula nak lepaskan madrasah kepada dia." Abang Harith memujuk.
Aku menghadiahkan senyuman kepada dia. Sedikit gembira apabila dia mula menunjukkan keprihatinan dia kepada aku. Aku gembira. Sekurang-kurangnya, kepulangan aku kali ni ada sedikit perubahan. Cukuplah hanya dengan Abang Harith. Itu lebih baik daripada tiada.
YOU ARE READING
Oh, My Prince!
RomanceTajuk: Oh, My Prince! Penulis: Hannah Dhaniyah Penerbit: Karyaseni Harga: RM27.00 (Semenanjung) RM30.00 (Sabah & Sarawak) http://karyaseni.my/index.php/novel/oh,-my-prince-detail