Abang Hadi meminta aku masak makanan untuk dimakan tengah hari. Sempat dia berpesan kawannya yang bernama Adib tu akan datang sekali. Entah kenapa aku rasa gelabah. Macam ada sesuatu yang disorokkan. Aku teringat kata-kata Abang Harith semalam. Perkara yang Abang Hadi kata nak uruskan ni melibatkan masa depan aku? Air muka aku berubah. Jangan cakap...
"Aduh!" Aku terjerit sendiri.
Jari telunjuk kiri dah menjadi mangsa apabila fikiran melayang masa potong bawang. Laju aku ke singki. Paip air aku buka dan jari yang terluka sebab terkena pisau aku lalukan bawah air. Aduh, pedihnya! Nak minta tolong orang lain siapkan barang memasak, semua tak ada kat rumah.
Aku menutup luka dengan plaster sebelum kembali menyambung kerja-kerja memasak. Tapi hati aku tetap tak tenang. Betul ke apa yang aku fikirkan tadi? Ayah dengan Abang Hadi nak aku kahwin dengan kawan Abang Hadi tu ke? Jangan nak buat kerja gila. Kalau betul apa yang aku fikirkan, mahu aku lari dari rumah malam ni juga.
Jam menunjukkan pukul dua belas suku tengah hari sewaktu aku siap memasak. Tanpa berlengah, aku mencapai tuala dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Dah bau bawang, ikan dan segala macam bau yang melekat. Kata Abang Hadi, nak makan tengah hari dalam pukul satu setengah. Jadilah setengah jam bersiap mandi, setengah jam lagi nak hidangkan makanan untuk abang-abang aku tu.
Aku mengenakan jubah labuh berwarna hitam dipadankan dengan selendang berwarna merah manggis. Kalau ikutkan, nak aje aku pakai baju T, seluar dan tutup kepala dengan tudung instant. Tapi segan pula dengan kawan Abang Hadi yang nak datang nanti. Aku rasa mesti dia stok-stok Abang Hadi juga. Entah-entah belajar dekat kolej Islam juga. Sekali bakal ustaz. Errr...
"Auch!" Aku terjerit apabila jari telunjuk yang sama tercucuk jarum pin. Tadi masa masak, terkena pisau. Ini nak pakai selendang, terkena jarum. Apalah nasib aku hari ni. Ada saja buat kerja tak kena.
Abang Hadi pulang daripada madrasah tepat jam satu setengah seperti yang dijanjikan. Bukan dia seorang yang ada di dalam kereta. Ayah dan tiga lagi abang aku yang lain turut bersama. Tidak lama kemudian, sebuah kereta masuk ke laman rumah dan parkir di sebelah kereta ayah. Berdebar dada aku melihatkan seorang lelaki turun dari kereta itu. Aku menelan air liur. Betul ke macam yang aku fikirkan tadi? Hairi... Apa aku nak buat ni?
"Assalamualaikum!" Abang Hadi terlebih dulu memberi salam sebelum membuka pintu. Aku yang mengintai mereka dari tingkap berdiri kaku melihatkan Abang Hadi sudah melangkah masuk. Abang Hadi memandang keseluruhan rumah macam mencari seseorang. Apabila dia menoleh ke arah aku, riak wajahnya kembali tenang.
"Dah siapkan makanan tengah hari?"
Aku mengangguk.
"Pergilah dapur. Hidangkan nasi lauk semua. Kami dah solat di madrasah tadi."
Mendengarkan arahan Abang Hadi, aku terus melangkah ke ruang makan. Tudung saji yang menutup makanan aku buka. Nasi aku cedokkan ke atas pinggan. Terasa menggigil tangan sewaktu meletakkan pinggan-pinggan ke atas meja.
Ayah, abang-abang aku dan lelaki yang aku yakin nama dia Adib sudah masuk ke ruang makan. Aku menggigit bibir. Rasa macam tak mampu lagi berdiri kat sini. Apabila melihatkan isyarat Abang Hadi menyuruh aku duduk, aku mengambil tempat di sebelah Abang Harith, berhadapan dengan Abang Hakim. Adib duduk di antara ayah dan Abang Hadi. Makan tengah hari diselitkan dengan perbualan antara ayah, abang-abang aku dan Adib. Tapi kenapa entah aku rasa perbualan tu lebih kepada supaya aku kenal Adib ni.
Baru aku tahu Adib ni lepasan Universiti Yarmouk, Jordan. Mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Usuluddin daripada universiti itu. Bakal menjadi pensyarah di Universiti Awam Alamin bulan depan. Universiti Awam Alamin?! Mendengarkan fakta itu, aku terus tersedak. Dah nampak ke mana arah perbualan mereka. Semua yang ada di meja makan memandang aku terkejut.
YOU ARE READING
Oh, My Prince!
RomanceTajuk: Oh, My Prince! Penulis: Hannah Dhaniyah Penerbit: Karyaseni Harga: RM27.00 (Semenanjung) RM30.00 (Sabah & Sarawak) http://karyaseni.my/index.php/novel/oh,-my-prince-detail