Aku terkaku mendengarkan ayat yang keluar dari mulut Putera Danial. Putera Danial pula sedikit terkejut dengan reaksi aku. Matanya memandang gelas yang dah bergolek ke kakinya. Kemudian dia mengangkat muka memandang aku.
"Adlina?" panggilnya. Tangannya menyentuh pipi aku lembut.
Tersedar dengan apa yang berlaku, laju aku menolak badan Putera Danial menjauhi aku. Dahi sudah berkerut memandang wajah Putera Danial yang serius. Cukup menunjukkan kata-katanya tadi bukan main-main. Gila apa lelaki ni? Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba nak ajak aku jadi bini dia. Dia ingat macam cerita Cinderella ke apa?
"Tak boleh, tuanku!" kata aku tegas. Riak wajah Putera Danial berubah. Dia sedikit terkejut dengan penolakan aku.
"Mengapa?"
"Saya dah ada boyfriend," jelas aku ringkas. Lagipun, tak pernah aku bermimpi nak kahwin dengan anak raja. Jangankan mimpi, berangan pun aku tak mahu.
Kening Putera Danial terangkat. Kemudian dia tersenyum.
"Jadi, kalau Hairi tak ada, bolehlah?"
Aku menggigit bibir. Tanpa menjawab soalannya, aku terus bangun dari duduk dan bergerak untuk ke pintu. Peduli apa kereta ni tengah berjalan atau tidak. Lagi baik aku keluar terus daripada duduk bernafas di dalam ruang yang sama dengan putera seorang ni.
"Eh! Kamu mahu ke mana?" Sempat Putera Danial menahan aku sebelum aku menjauh. Aku sedikit meronta, mahu dia melepaskan lengan yang dipegang erat.
"Saya nak keluar. Naik gila saya melayan tuanku!" marah aku.
Putera Danial ketawa.
"Duduk dulu, Adlina. Kereta sedang bergerak sekarang ni." Dia mengarah.
Tangan aku ditarik kuat untuk kembali ke tempat duduk. Sebaik saja dia melepaskan pegangannya, aku mengusap lengan yang terasa sakit. Dahi sudah berkerut-kerut kerana geram dengan tindakan melulu Putera Danial. Apa dia ingat dia putera, dia boleh dapat apa yang dia nak? Silap besar!
"Kami akan hantar kamu pulang. Rumah kamu di Pangsapuri Seri Indah, kan? Kamu sewa bilik di sana?" soalnya selamba. "Kalau kamu terima lamaran kami, kamu tak perlu tinggal di sana lagi, Adlina Hani. Kami akan tanggung hidup kamu sepenuhnya," tawarnya lagi.
Geram dengan kata-kata Putera Danial, laju tangan aku naik ke mukanya. Kami sama-sama tergamam sebaik saja aku menurunkan tangan aku. Apa yang aku dah buat ni? Adele, kau dah tampar anak kedua kepada Sultan Hussin dan Permaisuri Safiyyah!
"Hantarkan saya ke stesen MRT yang berdekatan. Saya akan ambil tren terus ke rumah saya."
Lama Putera Danial diam sebelum memberitahu pemandunya untuk berhenti di Stesen MRT Amethyst. Sepanjang perjalanan ke stesen, kami sama-sama mematikan diri. Aku tak tahu apa yang Putera Danial fikirkan manakala aku tak habis-habis mengutuk tindakan aku tadi. Janganlah putera ini berdendam. Memang sampai lubang cacing dia tak akan lepaskan aku.
Limousin berhenti betul-betul di pintu masuk Stesen MRT Amethyst. Baru aku hendak membuka pintu untuk keluar, Putera Danial memanggil nama aku.
"Adlina."
Aku menoleh. Memandang wajah Putera Danial dengan seribu satu perasaan.
"Kami akan buat sehingga kamu terima kami."
Sepotong ayat itu cukup membuatkan rasa marah aku muncul kembali. Apa dia ingat senang nak beli hati aku? Cukup dengan darjat dan harta yang dia ada untuk menjadikan aku isteri dia? Walaupun dia tahu segala maklumat tentang diri aku, dia belum tahu yang aku seorang pencinta yang setia!
"Tak semudah itu, tuanku. Saya keluar dulu. Maaf kerana mengotorkan limo tuanku," kata aku seraya membuka pintu. Tatkala sebelah kaki aku memijak bumi, aku menoleh ke belakang, ke arah Putera Danial yang masih setia merenung aku.
"Lagi satu, nama saya di sini Adele. Jadi saya mohon tuanku panggil saya dengan nama itu. A-D-E-L-E. Adele," kata aku lembut tapi tegas.
"Kalau lamaran kami pun kamu tolak, kenapa kami kena ikut permintaan kamu?"
Panas saja rasa telinga aku mendengarkan balasan daripada Putera Danial. Sebagai tanda protes, aku menghempas kuat pintu limousin. Geramnya! Kenapalah aku perlu terlibat dengan hidup putera raja ni?
Aku menekan butang lif untuk ke tingkat dua puluh. Terasa penat apabila seharian di universiti ditambah lagi melayan gila Putera Danial di dalam kereta tadi. Kalau tak kerana dah berjanji dengan Abang Jade, aku rasa aku hendak tidur saja di dalam bilik. Letih!
Aku mengeluarkan kunci rumah sebaik saja pintu lif terbuka. Dengan langkah longlai, aku berjalan menuju ke rumah yang terletak di hujung laluan. Sebaik saja tiba di hadapan pintu jeriji, kunci aku masukkan ke dalam slotnya. Pintu jeriji dibuka diikuti pintu kayu. Ahli rumah yang lain masih belum pulang. Aku menilik jam di pergelangan. Sudah hampir pukul enam petang. Ah... Penatnya! Sebaik saja badan bertemu dengan sahabat baiknya, fikiran aku sudah melayang entah ke mana.
Suasana terasa hening sewaktu aku tersedar daripada lena. Mata aku membulat dalam gelap. Meraba-raba tangan aku mencari telefon bimbit yang aku sendiri tak tahu di mana.
Apabila tersedar keadaan gelap menyukarkan aku untuk mencari, aku bangun dan membuka suis lampu. Berpinar mata rasanya apabila cahaya lampu tiba-tiba menerangi bilik.
Bunyi telefon yang menyanyikan lagu Jasmine membuatkan aku bergerak pantas ke arah beg sandang yang aku gunakan untuk ke kelas. Tanpa membaca nama pemanggil, aku terus menjawab panggilan itu.
"Abang Jade! Sorry! Saya tertidur tadi. Abang dah tunggu lama ke?" kalut aku bertanya.
"Adlina Hani?"
Berkerut dahi aku mendengarkan nama penuh aku disebut. Ini bukan Abang Jade! Tak perlu berfikir panjang, aku sudah boleh jangka siapa pemanggilnya.
"Tuanku..."
"Wow! Dengar suara saja kamu sudah tahu kami yang memanggil, ya?"
"Bukan sebab dengar suara. Tapi sebab tuanku seorang aje yang suka panggil saya dengan nama tu!"
Aku membuat muka. Kenapalah aku tak tengok dulu nombor sebelum angkat panggilan? Aku menghidupkan komputer riba yang berada di atas meja belajar. Kemudian aku bergerak pula untuk membuka langsir. Bibir sedikit tersenyum melihatkan cahaya lampu yang menerangi kota Amanjaya. Cantik!
"Jadi, siapa Abang Jade?" soal tuan putera itu. Aku membuat muka. Penyibuk!
"Buat apa tuanku nak tahu?"
Soalan aku dibalas dengan ketawa kecil Putera Danial. Aku mencebik. Meluat! Tapi kalau meluat, kenapa tak matikan saja talian tu, Adele?
"Kami telefon kamu sejak pukul lapan tadi. Kamu di mana?"
Aku mengerutkan dahi. Dari pukul lapan dia telefon? Jadi sekarang pukul berapa? Aku mengintai jam yang terdapat di skrin komputer riba. Pukul sembilan setengah! Alamak, Abang Jade!
"Saya tertidur. Okeylah tuanku, saya ada janji dengan orang ni. Bye!" Tanpa menunggu balasan Putera Danial, aku terus menamatkan panggilan. Kemudian, aku bergegas mencapai tuala dan terus keluar dari bilik untuk ke bilik air. Mujurlah aku janji dengan Abang Jade pukul sepuluh di tempat kerja separuh masa dia.
YOU ARE READING
Oh, My Prince!
RomanceTajuk: Oh, My Prince! Penulis: Hannah Dhaniyah Penerbit: Karyaseni Harga: RM27.00 (Semenanjung) RM30.00 (Sabah & Sarawak) http://karyaseni.my/index.php/novel/oh,-my-prince-detail