Aku menaiki MRT untuk ke tempat yang dijanjikan. Hampir dua puluh minit masa aku ambil untuk tiba di pekarangan restoran menjual piza yang terkenal di sekitar Amanjaya, Nori's Pizza. Dengar kata orang, pemilik restoran ni belajar buat piza sampai ke Eropah. Sebab tu pizanya sedap. Selalu juga aku makan dekat sini dengan Hairi waktu hujung minggu.
Aku bergerak ke tepi apabila ada sebuah motosikal datang dari arah belakang. Sebaik saja penunggangnya memarkirkan motosikal di sebelah restoran, dia turun dari motosikal dan helmet yang melindungi kepala dibuka. Lelaki itu memandang aku dengan senyuman lebar.
"Adele!"
Aku mengecilkan mata. La! Abang Jade rupa-rupanya. Aku mempercepatkan langkah untuk mendapatkan dia yang sudah melambaikan tangannya, memanggil aku untuk ke arah dia.
"Pergi hantar delivery ke?" soal aku sekadar memulakan perbualan.
Abang Jade mengangguk. "Biasalah malam-malam macam ni. Awalnya Adele datang?"
"Awal?" Aku mengerutkan dahi. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul sepuluh. Rasanya dah terlambat untuk makan malam ni. "Abang habis kerja pukul berapa ni?"
"Pukul sebelas."
"Dah tu, pukul sebelaslah baru kita nak makan?" soal aku dengan kening dinaikkan. Abang Jade angguk tanpa rasa bersalah. Bukan ke dalam mesej dia ajak makan malam? Ini dah makan tengah malam jadinya. Perut aku pun dah terasa lapar sebab tadi hanya makan tengah hari dengan Hairi dekat kafe.
Abang Jade menyambung tugasnya manakala aku duduk di tempat makan bahagian luar restoran. Dalam pada itu, mata memerhatikan pelanggan yang baru tiba walaupun waktu operasi hampir tamat tidak lama lagi. Itu belum lagi kereta yang keluar masuk untuk tempah makanan melalui pandu lalu. Aku bangga dengan pemilik Nori's Pizza ni sebab piza dia setanding dengan piza-piza terkenal yang lain.
Sementara menunggu, seorang lelaki meletakkan semangkuk aiskrim di hadapan aku. Apabila aku menayangkan muka pelik, dia menunjukkan ke arah Abang Jade di ruang dalam. Pasti dia yang minta kawan sekerja dia hantarkan.
Sambil menikmati aiskrim, aku memerhatikan sebuah kereta sport Mercedes masuk ke pekarangan restoran untuk ke laluan pandu lalu. Aku mengerutkan dahi apabila rasa kenal sangat dengan kereta berwarna putih ni. Bertambah berkerut apabila aku melihat pemandunya. Hairi sedang bergelak ketawa dengan seorang gadis di sebelahnya. Apa semua ni?
"Okey. Dah sudah. Jom, kita dinner."
Dua kotak regular piza diletakkan di hadapan aku. Sebelum dia duduk, dia ambil mangkuk aiskrim yang sudah kosong untuk dibawa ke dalam. Kemudian dia keluar kembali dengan senyuman lebar. Melihatkan wajah aku yang tegang, perlahan-lahan senyuman Abang Jade memudar.
"Kenapa ni?" soal Abang Jade semasa aku tengah berperang dengan perasaan sendiri. Siapa perempuan yang bersama Hairi tadi? Kenapa dia keluar dengan perempuan tu? Selama ni, dia buat macam tu ke di belakang aku? Aku ke yang terlalu bodoh sebab mempercayai Hairi bulat-bulat?
"Hei? Adele?"
Abang Jade memetikkan jari di hadapan muka aku. Aku tersentak.
"Huh? Kenapa?"
Abang Jade memandang aku dengan dahi berkerut. "Fikirkan apa?" Abang Jade melemparkan pandangan ke arah jalan. Cuba untuk melihat apa yang membuatkan aku leka sebentar tadi.
"Tak ada apa..." balas aku perlahan.
Kotak piza yang ada di hadapan aku buka. Terasa lapar pula tiba-tiba. Perihal Hairi aku cuba untuk letak ke tepi. Baik aku isikan dulu perut yang kosong ni. Huh! Jangan-jangan dia tengah sedap-sedap makan piza dengan perempuan tadi. Argh, geramnya aku! Kenapalah boleh ternampak Hairi dengan perempuan lain ni?
YOU ARE READING
Oh, My Prince!
RomanceTajuk: Oh, My Prince! Penulis: Hannah Dhaniyah Penerbit: Karyaseni Harga: RM27.00 (Semenanjung) RM30.00 (Sabah & Sarawak) http://karyaseni.my/index.php/novel/oh,-my-prince-detail