Bab 3

6.6K 158 6
                                    

"Makan?"

Hairi menyoal sebaik saja kami melangkah keluar dari dewan kuliah. Petang ni ada lagi satu kelas dengan Prof. Yash, profesor yang berasal dari negara Bollywood. Masa awal-awal dulu, aku keliru dia dengan Yash Chopra tu. Punyalah aku semangat nak minta tangkap gambar sama, sekali aku salah orang. Nasib baik Hairi yang beritahu masa kelas tengah berjalan. Saat itulah Hairi pertama kali menegur aku dan kami mula berkawan. Tiba-tiba aku teringat kenangan dulu.

"Hei, berangan! Aku tanya, nak makan ke tak ni?" tegur Hairi apabila soalannya masih tak berjawab. Hairi menepuk bahu aku dengan buku tebal di tangannya.

"Aku kenyang lagi. Tadi makan roti tu banyak!"

Hairi menjeling. "Sedar pun. Tiga bungkus aje kau makan seorang. Manalah tak gemuk!"

"Hei!" Aku tampar bahu dia kasar. "Aku tak gemuklah! Berisi aje! BMI aku normal tau!" kata aku. Tangan mengukur pinggang sendiri. Ramping lagi apa?

"Yalah... Kau tak gemuk, kau cantik, kau menarik, kau da bomb!" Hairi mengusik dengan senyuman. Aku mencebik.

"Aku kenyang lagi. Kita pergi Pustaka Ilmu ajelah. Boleh buat research yang Prof. Hijaz suruh."

Hairi mengangguk bersetuju. Kami berjalan beriringan ke Pustaka Ilmu atau umumnya dikenali sebagai perpustakaan. Disebabkan tidak ada apa yang hendak dikejar, kami berjalan santai ke sana. Sesekali kami ketawa bersama apabila ada cerita yang kelakar terkeluar. Lagi-lagi apabila Hairi mengungkit kembali kisah kami berkenalan.

Hampir lima belas minit berjalan, dicampur dengan berhenti seketika dan membeli minuman di vending machine, kami tiba di bangunan Pustaka Ilmu yang mempunyai reka bentuk tersendiri.

Saat berjalan di tepi pintu masuk Pustaka Ilmu, sudah terasa kedinginan penyaman udara. Aku dan Hairi sama-sama tergamam apabila melihat beberapa wartawan di ruang legar Pustaka Ilmu.

Ah, sudah! Jangan kata Putera Danial pun ada dekat sini? Wartawan pun satu hal. Dah kata dia nak belajar di sini, takkanlah satu hari nak ikut ke mana dia pergi? Putera Danial pun satu. Tak reti penat ke? Haih... Aku pula yang bengang bila ke mana saja aku pergi, dia ada.

Malas mahu memikirkan terlalu jauh, aku dan Hairi melangkah masuk dan mencari tempat duduk yang berdekatan dengan rak buku yang akan kami gunakan untuk mencari bahan. Tempat duduk kami sedikit tersorok dari pandangan umum. Kata Hairi, lebih selesa begini daripada duduk di bahagian luar yang akan terganggu dengan orang yang lalu-lalang.

Selepas meletakkan beg dan buku di atas meja, aku dan Hairi berjalan mendapatkan rak buku yang tersusun kemas. Satu demi satu bahan rujukan yang berkenaan aku belek dan semak jika ia benar-benar sesuai dengan topik yang diberikan Prof. Hijaz. Dalam pada itu, mata aku memerhatikan ruang legar di bawah. Wartawan-wartawan yang sama masih ada di sana.

"Hairi!" panggil aku dalam nada yang perlahan tapi cukup untuk didengari di kawasan rak ni.

"Hrm?"

"Aku pelik kenapa Putera Danial yang perempuan-perempuan dok tergila-gila tu, pindah masuk U kita," luah aku. Berada di tempat yang tertutup begini, mudahlah aku hendak bercerita dengan Hairi.

"Entahlah. Kau rasa kenapa?" soal Hairi malas.

Aku tersengih. Aku rasa kenapa, ya?

"Aku rasa dia sebenarnya taklah pandai sangat macam abang dia, Putera Danish yang handsome tu. Sebab tu dia pindah keluar daripada Universiti Diraja Alamin dan masuk ke sini. Hahaha!" kata aku selamba. Ini kalau Putera Danial tu dengar, mati aku kena kejar.

Hairi sekadar tersenyum dan menggeleng mendengarkan aku merepek. Aku merepek pun sebab stres sangat hari ni. Mana-mana pergi penuh dengan orang. Tadi sampai universiti pagi-pagi, pintu utama dah penuh dengan orang ramai. Lepas tu, nak makan, kafeteria dah penuh sampai makanan semua habis. Mana tak angin? Sebab Putera raja seorang pindah universiti ni, hidup kami dah tunggang terbalik! Ini waktu makan tengah hari, tak pula dia sibuk bawa orang-orang dia makan dulu. Nanti bila aku nak makan, masa itulah dia sibuk nak makan. Akhirnya makanan untuk aku, rakyat marhaen ni langsung tak ada!

"Lagipun, dia pindah sini sampai graduate, kan? Maknanya kena tendang keluar daripada universiti dirajalah tu!" kata aku lagi.

Aku mengeluarkan buku setebal dua inci dari rak. Macam ada kena-mengena aje tajuk buku ni dengan topik yang bakal kami bincangkan nanti. Sebaik saja buku ditarik keluar, mata aku bertentang dengan mata Putera Danial yang berada di rak sebelah. Dia terkejut, aku lagilah terkejut!

Buku yang aku keluarkan tadi, aku letakkan kembali di atas rak dan tanpa amaran, tangan Hairi aku tarik untuk mengikut langkah aku. Mesti Putera Danial dah dengar apa yang aku merepek banyak-banyak tadi. Alamak! Kutuk dia pula tu! Lari lagi!

"Kau ni! Nasib baik staf tak tegur kita berlari tau!" marah Hairi. Mukanya merah padam apabila aku tarik dia keluar dari kawasan rak buku dan terus keluar dari Pustaka Ilmu.

"Kau tahu tak?" soal aku dalam tercungap-cungap.

"Tahu apa?!" Hairi masih tak hilang marah kepada aku. Hairi mengurut dadanya perlahan. Wajahnya masih masam mencuka. Penat agaknya.

"Putera Danial ada dekat rak sebelah kita tadi masa aku cakap macam-macam!" jelas aku. Hairi terkejut. Bulat matanya memandang aku.

"Sebab tu aku ajak kau lari. Kau tak takut kalau tiba-tiba esok kita dapat surat berhenti daripada U? Dia tu sudahlah anak Sultan Hussin. Petik jari aje, macam-macam dia boleh buat untuk punish kita!" kata aku panjang lebar.

Hairi mengerling aku sekilas. "Bukan kita, tapi kau. Kau seorang aje yang suka cakap bukan-bukan pasal dia. Jadi kau seorang aje yang akan kena punish." Hairi tak mahu mengalah.

Aku diam. Terasa hati dengan kata-kata Hairi. Dalam pada itu, tangan Hairi tetap aku capai dan kami berjalan seiringan meninggalkan bangunan Pustaka Ilmu.

"Nak pergi mana ni?" tanya Hairi apabila kami sudah separuh perjalanan untuk sampai ke kafeteria.

"Makan! Bila dah kenyang baru boleh fikir macam mana nak selesaikan masalah kalau aku kena tendang nanti!" kata aku sedikit menyindir. Hairi ketawa. Tangan kanannya dibawa ke kepala dan rambut aku dia usap lembut.

"Jangan risau. Dia tak akan ambil apa-apa tindakan. Jatuh imej dia kalau perkara kecil ni, dia arahkan pentadbiran universiti berhentikan kau," pujuk Hairi.

Aku diam. Bukan itu yang aku risaukan. Isu bakal dihukum oleh Putera Danial bukan menjadi isu utama. Aku terasa hati apabila Hairi tegas menyatakan hanya aku seorang yang bakal dihukum. Seolah-olah dia tak ada rasa ingin melindungi aku sekali.

Tak apalah, Adele. Sekurang-kurangnya, kalau aku seorang yang kena tendang, Hairi masih boleh capai cita-cita dia dan kau boleh berkahwin dengan dia bila tiba masanya nanti. Tak adalah dua-dua kecundang dalam mencapai cita-cita, kata aku cuba memujuk kembali hati yang sedikit terluka.

"Sudahlah... Jangan tarik muka masam macam tu. Tak cantik!" pujuk Hairi.

Aku tidak membalas.

"Eh! Tengok sana!" Hairi sedikit menjerit. Aku menoleh ke arah yang dia tunjukkan. Kenapa? Putera Danial pun nak ke kafeteria pula ke? Aku mengerutkan dahi. Tak ada apa-apa pun. Jangan-jangan Hairi tipu aku tak?

"Tak ada apa pun?" Aku bertanya.

Baru aku hendak memalingkan muka memandang Hairi, terasa ada sesuatu melekat di pipi. Namun tidak lama. Tergamam dengan tindakan Hairi mencium pipi aku, aku memegang bekas ciumannya. Aku tidak mampu meneruskan perjalanan. Betul-betul terkejut dengan perbuatan Hairi tadi.

"Hei? Merajuk lagi?" Hairi tersenyum.

Dia turut sama berhenti di sebelah aku. Aku menolak perlahan muka dia. Debaran di dalam dada sudah tidak dapat aku gambarkan lagi. Entah kenapa, sedikit pun aku rasa tidak suka dengan tindakannya. Ada rasa bersalah mula menghimpit diri.

Oh, My Prince!Where stories live. Discover now