"MACAM mana, Nuha? Dah fikir tentang apa yang ibu beritahu minggu lepas?" Sudah dapat kuagak, pasti inilah soalan pertama yang bakal ibu ajukan kepadaku sebaik sahaja aku menerima panggilan yang datang dari tanah Malaysia itu.
Aku merenung cermin di hadapanku dan automatik bibirku yang tampak pucat itu tersenyum tawar. Jika akalku tidak mampu bertindak waras, sudah pasti aku akan memberi jawapan ya kepada ibu. Jika akalku tidak mengingatkan aku mengenai keadaan yang sudah jauh berbeza kini, sudah pasti rasa itu akan berbalas. Kerana sungguh, aku sudah lama tahu bahawa dia menyimpan rasa itu buatku dan aku sendiri tahu bahawa aku juga punya rasa yang sama terhadap dia.
"Ibu, Nuha minta maaf. Tapi Nuha tak nak. Nuha tak boleh terima. Nuha terlalu sibuk di sini, ibu. Nuha perlu fokus. Maafkan Nuha, ibu." Hatiku berat menuturkan ayat itu. Kerana jika mengikut kehendak hati, sudah pastilah aku ingin menerima. Tetapi keadaan kini yang tidak mengizinkan.
Aku menghela nafas berat.
"Nuha, betul ke ni? Nuha pasti? Bukan ke dulu Nuha pernah beritahu ibu tentang perasaan Nuha terhadap dia? Dan sekarang, apabila dia dah masuk meminang Nuha, kenapa Nuha tolak? Sedangkan Nuha sukakan dia?" Soalan ibu itu aku ada jawapannya. Cuma jawapan itu tidak boleh aku berikan kepada ibu. Sekali lagi, mataku merenung wajah yang terpapar pada cermin di hadapanku. Air mata yang cuba kutahan sedari sebelum menjawab panggilan ibu tadi, akhirnya gugur juga. Cepat-cepat tanganku bergerak menyeka air mata itu sebelum tangisku dikesan oleh ibu.
"Itu dulu, ibu. Masa zaman tak matang lagi. Dia cuma lelaki biasa yang Nuha suka, bukan cinta. Lagipun, Nuha dah ubah fikiran. Nuha nak capai cita-cita Nuha dulu, baru fikir fasal kahwin. Nuha nak stabilkan kewangan Nuha dulu, baru fikir fasal nak kahwin. Tolonglah faham Nuha, ibu." Hatiku menahan pedih menelan pembohongan sendiri. Sungguh, aku terpaksa melakukan semua ini. Demi kebaikan semua.
"Yalah, ibu takkan paksa. Kalau itu pilihan Nuha. Sebab yang nak kahwin tu Nuha, jadi Nuha yang berhak untuk pilih lelaki yang tepat untuk diri Nuha. Ibu akan beritahu dia dengan cara yang baik."
"Terima kasih ibu, sebab faham Nuha. Sampaikan maaf Nuha kepada dia, ibu. Nuha betul-betul minta maaf. Maafkan Nuha." Benar, aku benar-benar berharap dia tidak terkilan sebagaimana aku sedang terkilan kini.
"Yalah, insyaAllah, ibu sampaikan. Raya tahun ni kamu balik, Nuha?" Raya? Memang, raya pada tahun ini jatuh pada cuti musim panas. Tapi ibu takkan tahu selagi aku tidak beritahu.
"Tak, ibu. Nuha tak boleh balik. Sekarang kan dah tahun ketiga. Banyak tugasan yang nak kena buat. Nuha sibuk sangat." Aku memberi alasan lagi.
"Hmmm, yalah. Lagipun tahun lepas kamu dah balik. Tak apalah. Ibu faham. Nanti jangan lupa skype ibu," pesan ibu.
"InsyaAllah, ibu. Ibu pun, jaga kesihatan tu. Makan on-time, tau?" pesanku pula.
"Ibu tahulah, Nuha. Okeylah, ibu letak dulu. Ni abang kamu ada balik ni. Ibu nak masak makan tengah hari. Assalamualaikum."
"Hmmm, waalaikumussalam. Kirim salam kat abang."
Telefon yang sudah mati taliannya aku letakkan ke tepi. Sikat di atas meja kucapai dan rambut kusisir rapi sebelum aku sanggul. Jijik? Ya, jijik. Pun begitu, rambut ini tetap milikku. Botol losyen di atas meja kucapai dan sedikit losyen kutuang ke atas telapak tangan dan kusapukan ke leher dan kedua-dua belah lenganku. Jijik? Ya, jijik. Pun begitu, tubuh ini tetap tubuhku.
Air mata menitis tanpa dipinta. Kerana sejak tiga bulan yang lalu sehingga bulan keempat sudah tiba, memang begini keadaannya. Memang air mata ini tidak pernah segan untuk keluar.
YOU ARE READING
Hidayah Dia
Short Story-TAMAT- *Cerita ini ditulis dalam BAHASA MELAYU* "Allah is the Light of the heavens and the earth. The example of His light is like a niche within which is a lamp, the lamp is within glass, the glass as if it were a pearly [white] star lit from [the...