Setia : Prolog

462 9 5
                                    

Prolog

"Aku pernah punya perasaan satu pihak pada seorang lelaki misteri. Mungkin. Dan namanya, bagaimana rupanya, langsung aku tidak tahu." Aku mulakan cerita pada dia yang berada di sebelah aku.

"Jadi, bagaimana kamu jatuh hati padanya?"

"Entah. Ujian dari Allah mungkin."

"Berkenalan di alam maya?" soalnya lagi.

Aku anggukkan kepala.

"Tentu perit sekiranya semua yang kamu tahu tentang dia adalah..."

"Palsu..." aku mencelah.

"Kamu pasti dia tu adalah palsu?"

Aku jongketkan bahu. "Mereka beritahu aku, dia tu palsu."

"Kamu percaya kata-kata mereka?"

Aku telan air liur. Mendiamkan diri.

"Jadi, aku andaikan sahaja kamu mempercayai kata-kata mereka."

Aku tunduk bawah. Malu dan mungkin juga terasa bodoh.

"Pernah bertanya lelaki misteri itu perihal dirinya?"

"Dia tak akan mahu beritahu jika aku bertanya."

"Dan mungkin juga, walau dia beritahu perihal dirinya, kamu tak akan percaya," tambahnya.

Sekali lagi aku tunduk bawah. Satu keluhan dilepaskan. Aku sedar dia sedang tersenyum hambar. Mungkin melahirkan rasa simpati pada diri aku yang naif ini.

"Katanya, dia tak kisah siapa pun aku, apa yang aku rasa. Aku tak penting baginya. Dia katakan itu."

"Mungkin saja dia tidak bermaksud untuk berkata begitu..."

"Mungkin..." aku mengajuk ayatnya. Dia hanya mengukirkan senyuman. "Tapi tak mungkin. Dia benar-benar maksudkannya."

"Mungkin dia punya rahsia yang dia tak mampu luahkan pada mana-mana manusia."

"Dia beritahu aku, dia bakal mati. Dia minta aku jangan jatuh hati padanya sebab dia akan mati."

Dia memandang aku dengan riak terkejut sebelum kembali mengukirkan senyuman tawar. "Kamu percaya kata-katanya?"

Aku anggukkan kepala. Sejurus itu, dia mengeluarkan tawa kecil.

"Kamu ini benar-benar aneh. Dan rumit," ujarnya.

"Maksud kamu?" soal aku. Hairan.

"Kamu percaya kata mereka yang mengatakan dia itu palsu. Dan kamu percaya pula kata lelaki misteri itu yang dia bakal mati. Jadi, mana satu sebenarnya kamu?"

Aku mengeluh sekali lagi. "Aku pernah dulu percaya kata mereka."

"Sekarang?"

"Entah. Semuanya kelihatan..."

"Berbelah bahagi? Rumit? Kabur?"

Aku angguk kepala dengan lemah.

"Jangan kusutkan fikiran kamu dengan hal remeh sebegitu."

Aku mengukirkan senyuman tawar sahaja.

"Apa pula kata hati kamu?" Dia mengeluarkan soalan lagi.

"Kata hati aku?"

"Hati kamu mengatakan dia itu palsu atau tidak." Dia pandang aku.

Aku diam seketika. Hati... apa jawapan hati pada soalan itu?

"Aku..." aku tertanya-tanya sama ada harus berikan jawapan palsu atau jawapan benar.

"Simpan sahaja jawapan hati kamu itu. Tidak perlu beritahu aku. Itu rahsia kamu dengan hati kamu."

"Aku ingat kamu mahu tahu jawapan itu."

"Aku mahu tahu. Tapi aku tahu aku tak ditakdirkan untuk tahu tentang itu. Jadi, aku biarkan sahaja. Simpan sahaja rahsia hati kamu itu."

Aku mengukirkan senyuman.

"Pernah kamu cuba jauhkan diri dari dia?" Dia keluarkan soalan lagi.

Aku anggukkan kepala. "Pernah. Tapi dia jumpa aku kembali."

"Dia cari kamu? Untuk apa?"

Aku jongketkan bahu.

"Pernah tanya dia?"

"Entah. Aku dah lupa."

"Aneh."

Aku lihat dia seperti sedang berfikir sesuatu.

"Pernah minta petunjuk Allah?" Dia kembali bersuara.

Aku anggukkan kepala.

"Jadi?" Dia pandang aku dengan rasa ingin tahu.

"Itu rahsia aku dengan Tuhan."

Dia mengukirkan senyuman. "Dia sahaja yang Maha Mengetahui."

Aku anggukkan kepala lagi.

"Jadi, teruskan sahaja berdoa pada Dia. Doa itu senjata yang paling kuat. Kamu beritahu aku itu."

Aku anggukkan kepala. Dia mengukirkan senyuman.

"Jika Allah mahu kamu lupakan lelaki misteri itu, Dia akan lakukan tanpa kamu sedar. Jika Allah tak mahu kamu lupakan lelaki itu, Dia akan lakukan itu juga. Kamu juga yang kata, dia itu ujian dari Allah."

Aku anggukkan kepala lagi.

"Jadi, sementelah itu, teruskan sahaja hidup kamu dengan gembira. Aku yakin ada sesuatu gembira untuk kamu yang Dia telah tetapkan."

Aku senyum mendengar ayatnya. "Begitu juga dengan kamu."

RANIA buka mata. Ya Allah, berapa lama aku di sini? Tanya hatinya setelah melihat sekitarnya.

Di mana Laila?

Di mana Iskandar?

Di mana Zafrill?

Mak su, Nia masih bernyawa atau sudah mati?

Tadi Nia berbual dengan siapa?

SetiaWhere stories live. Discover now