Bab 3
Rania baru saja selesai membuat pembayaran dan bersiap sedia untuk melangkah ke arah pintu kafe sebelum tiba-tiba saja dia dilanggar oleh seorang lelaki. Habis basah bajunya dengan siraman latte. Nasib baik minuman di tangannya tadi adalah minuman sejuk. Kalau minuman panas, sah-sah lelaki di hadapannya menjadi mangsa amukan. Dan nasib baik juga pakaiannya berwarna hitam, maka tompokan kopi yang tidak berwarna hitam itu tidak dapat dikesan. Tapi yang menyedihkan adalah kopi kegemarannya yang kini berubah tempat dari tangannya kepada lantai kafe.
Dia pandang tumpahan kopi di lantai dengan rasa sayu.
"I'm sorry, miss. I didn't see you," ucap lelaki itu sedikit kalut. Kalut dengan perhatian pengunjung kafe yang diberikan ke arahnya dan juga kalut dengan insiden yang berlaku ketika ini.
Kenapalah dia cuai sangat, tak sedar akan kelibat gadis di hadapannya? Itulah, berjalan bukan pandang ke hadapan tapi pandang skrin telefon. Dia sebenarnya menanti balasan mesej daripada seseorang. Beberapa hari telah berlalu semenjak kali terakhir seseorang itu membalas mesejnya. Terlampau sibukkah seseorang itu?
Rania diam. Berpura-pura tidak mendengar ayat lelaki itu. Wajah lelaki yang melanggarnya pun dia tidak pandang. Bukanlah dia marah, dia sebenarnya sedang mencari telefon pintar kesayangannya.
Nasibnya baik, telefonnya berada di lantai. Tapi, ada dua buah telefon yang sama warna dan jenama. Sudahlah kedua-duanya skrin retak. Akhirnya Rania memilih untuk mengambil telefon yang berdekatan dengan kakinya. Dia yakin dan pasti bahawasanya telefon yang diambilnya tadi adalah miliknya. Telefon milik lelaki itu dibiarkan saja di lantai, membiarkan lelaki itu sendiri mengutipnya.
"Miss..." sekali lagi lelaki itu bersuara setelah mengutip telefon pintarnya yang berada di lantai. Dia mengharapkan gadis ini akan berkata sesuatu. Walaupun telefonnya juga mengalami hal yang sama dengan telefon gadis di hadapannya, tapi rasa bersalahnya tetap menebal. Sudahlah dia langgar gadis itu, kemudian dia tumpahkan minuman dan dia juga menyebabkan skrin telefon gadis itu retak. Ah, mengapalah dia sangat cuai hari ini?
Rania akhirnya memandang lelaki yang melanggarnya. Lidahnya tiba-tiba saja kelu untuk berkata-kata sewaktu bertentang mata dengan lelaki itu. Dia pandang lelaki itu tanpa berkelip mata. Seolah-olah ada sesuatu tentang lelaki di hadapannya yang telah membuatkan hatinya mahu memandang lelaki itu dengan lebih lama.
"Cik..." kali ini suara lelaki itu menyedarkan Rania dari lamunannya.
Rania geleng kepala. Baru tersedar.
"I minta maaf, I tak nampak you tadi." Sekali lagi lelaki itu menuturkan kata maaf.
"Tak apa, bukan salah you." Rania kerling jam di tangannya. Risau jikalau dia terlambat untuk bertemu Iskandar. Masih punya 25 minit untuk masa tayangan Captain America: Civil War, bermula. Harapnya dia tiba dahulu daripada Iskandar.
"I akan gantikan kopi you." Lelaki itu senyum kelat. Masih lagi dihimpit rasa bersalah.
Laju saja Rania geleng kepala. "No thanks. You tak perlu ganti kopi I."
"Tapi..." belum sempat lelaki itu menghabiskan ayatnya, Rania telah mencelah.
"It's okay. I don't need another coffee." Sebenarnya Rania punya sedikit rasa marah terhadap lelaki di hadapannya. Sebab lelaki ini, dia tiada rezeki untuk meminum kopi. Itu belum lagi dengan telefon kesayangannya dan kotoran di bajunya. 'Rosak' temu janjinya hari ini.
Lelaki itu tarik nafas. Dia tidak bersetuju dengan gadis ini. Dia yang bersalah, makanya dia harus lakukan sesuatu untuk menebus rasa bersalahnya. "Are you sure?"
YOU ARE READING
Setia
RomanceMohon jangan jatuh hati pada I. I akan mati!' DUA potong ayat itu membunuh rasa.Dua baris amaran itu pemusnah anganan impian.Dan kerana bait kata itu, enam tahun Rania menyimpan rahsia dan membungkam rasa. Enam tahun Rania cuba bangkit daripada kepa...