Bab 4
Entah berapa puluh kali Laila mendengar Rania mengeluh. Seolah-olah ada sesuatu yang sahabat merangkap teman serumahnya tidak puas hati.
"Kau kenapa?"
Rania menoleh ke arah Laila. "Telefon aku ni..." Sekali lagi Rania mengeluh sambil mata pada telefon pintar di tangannya dan jari bermain di skrin iPhone nya.
"Kenapa dengan telefon kau? Rosak lagi ke?"
"Tak. Aku cuba masuk pin code aku, tapi tak dapat. Katanya, salah pin code." Rania geram.
"Mungkin kau salah kut."
Rania geleng. "Mustahillah. Memori aku tak adalah short term sangat sampai boleh lupa benda penting macam ni."
Laila ketawa kecil. iPhone 6 milik Rania adalah yang paling sahabatnya itu sayang berbanding Samsung Galaxy S6 nya.
"Itulah kau, pilih kasih lagi, merajuklah tu..." Bibir Laila dijuih ke iPhone 6 Rania.
"Pilih kasih apanya?" Rania tidak faham dan malas untuk faham.
Laila tidak menjawab lagi. Bukannya dia tidak tahu telefon Samsung Rania itu hanya digunakan untuk hal-hal yang tidak penting. Hal-hal yang tidak berkaitan dengan sahabat dan keluarga, seperti hal Zafrill.
"Kau dah tanya staf kedai yang kau hantar tu?"
Rania angguk. "Dia cakap dia tak bagi salah phone kat aku."
Pada permulaannya, dia andaikan staf kedai yang dia hantar untuk baiki telefon telah tersalah berikannya telefon orang lain. Tapi kali ketiga dia berkunjung ke kedai itu, kata staf kedai itu, telefon di tangannya ini adalah telefon yang sama dihantar olehnya. Serial Number sama seperti yang tertulis di Service Report yang dihulurkan padanya.
"Pelik juga aku. Aku cadang kau hantar iPhone kau tu ke kedai tu balik, suruh dia reset semula phone kau tu."
Rania diam. Tidak hiraukan cadangan Laila. Memang tak lah dia nak pergi kedai baiki telefon itu semula. Bazir masa, bazir tenaga dan bazir wang. Sekali lagi dia cuba masukkan empat digit yang diingatinya sebagai kod pinnya, tapi usahanya sia-sia saja. Keadaan masih lagi seperti tadi, access denied! Haih!
"Apa pin code yang kau gunakan? Birth date kau?" soal Laila lagi.
Rania geleng. "Tarikh lahir abang aku."
"Alah, untuk sementara waktu ni, kau gunalah Samsung kau tu. Bolehlah kau reply mesej si Rill tu."
Rania jeling Laila dengan perasan tidak puas hati. Tidak gemar betul Laila menyebut nama Mamat Fake tu.
Sebulan telah berlalu semenjak perjumpaan itu, dan dia tidak pernah membalas mesej-mesej WhatsApp daripada lelaki itu. Segala balasan mesej akan dilakukan oleh Laila. Kedengaran kejam tapi sungguh, dia tiada keinginan untuk ambil tahu tentang lelaki itu. Hatinya telah tawar.
Laila senyum kelat. Tahu sangat respons Rania setiap kali dia menyebut nama Zafrill. "Hari tu dia mesej tanya bila nak jumpa lagi."
"Kau balas apa?"
"Aku tak reply pun. Aku tak tahu nak balas apa."
"Kalau kau nak jumpa dia lagi, pergi jelah. Aku tak kisah pun."
Giliran Laila pula mengeluh. Rania ini memang tak faham maksud tersirat ayat dia. "Kau tak nak jumpa dia? Kau tak nak tahu macam mana muka dia?"
"Kau cakap muka dia sama macam DP Facebook dia. So, buat apa aku nak jumpa dia?"
YOU ARE READING
Setia
RomanceMohon jangan jatuh hati pada I. I akan mati!' DUA potong ayat itu membunuh rasa.Dua baris amaran itu pemusnah anganan impian.Dan kerana bait kata itu, enam tahun Rania menyimpan rahsia dan membungkam rasa. Enam tahun Rania cuba bangkit daripada kepa...