Selamat Tinggal Reece

552 45 1
                                    

Rabu, 31 Disember
Tahun 1986

Setelah 6 tahun berlalu, dia kembali semula ke danau itu dengan satu tujuan. Seperti biasa, Reece akan bersantai dan berenang di danau untuk melepaskan tekanan selepas penat seharian berdepan dengan rasa kekosongan dalam dirinya.

Selepas menanggalkan pakaian, dengan hanya memakai seluar pendek dan singlet tanpa lengan hitamnya, Reece terjun ke dalam tasik lalu menyelam hingga ke dasarnya untuk mengumpul batu-batu kerikil yang ada di bawah air itu.

Itulah kerjanya. Mengumpul dan menghitung batu-batu kerikil sebelum naik ke darat dan melontarkannya semula ke dalam tasik. Mungkin bagi orang lain, perbuatan Reece adalah satu perbuatan yang bodoh dan sia-sia. Tapi bagi lelaki itu, ianya adalah sebuah terapi buat mindanya sendiri.

Timbul di permukaan air, Reece mengusap wajah dan rambutnya yang kebasahan. Anak matanya meliar ke kiri dan ke kanan.

Tak. Tiada manusia lain yang lalu-lalang di sekitar kawasan itu. Rumah agam Lord Julius terlalu jauh di pedalaman. Orang kampung Peolite yang lain tahu lokasi rumah agam mereka, tetapi kebanyakannya memilih untuk menjauhkan diri, kerana mereka menganggap keluarga Lord Julius terlalu pelik dan sombong. Tak ada seorang pun orang kampung yang pernah melawat keluarga mereka di rumah agam itu. Malah tiada langsung yang pernah bertanya khabar.

Reece ketawa kecil. Benarlah manusia itu takutkan sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu. They fear of the unknown.

Reece terfikirkan Kyle.

Ya, Kyle. Hanya dia yang berani bercampur dengan masyarakat Peolite. Abangnya memang degil, tetapi Reece kenal hati budi abang sulungnya. Lelaki itu terlalu baik, malah sangat berbakat. Tapi sayang, walaupun dikurniakan keunikan sendiri, Reece masih tak faham kenapa ibunya langsung tak gembira dengan bakat yang abangnya miliki. Jika Kyle yang hebat bermain alat muzik dan Chris yang genius tak mampu membuat Monica bangga, apalah yang dirinya ada untuk menggembirakan hati ibunya itu?

Reece terasa seperti seekor anak itik hitam yang terasing di dalam keluarga. Pilu, namun itu adalah hakikatnya.

Sedang Reece mengelamun sendirian, ada sesuatu yang tiba-tiba menarik perhatiannya. Matanya tertancap pada satu kilauan objek di hujung jalan. Barangkali biasan cahaya daripada mentari membuatkan objek itu berkilau sehingga menyilaukan pandangannya.

Perlahan-lahan, dia berenang ke tepian dan kemudian naik ke daratan untuk mengenal pasti objek yang berkilau itu. Langkahnya diatur laju. Kemudian, sebaik tiba di situ, Reece mengutip objek yang menarik perhatiannya tadi.

"Ruby? Ini... Permata ruby kan?" Reece mengerutkan kening sambil membelek-belek objek berkilau berwarna merah delima itu. Saiznya tak terlalu kecil dan tak terlalu besar. Lebih kurang sedap untuk digenggam.

Kepalanya laju menoleh ke kiri dan ke kanan. Reece memikirkan kemungkinan seseorang telah kehilangan permata itu sewaktu lalu di kawasan ini tadi. Walaupun kelibat manusia tak kelihatan sejak dia datang dan menyelam di danau, Reece yakin batu permata itu tercicir dan ianya pasti adalah hak milik seseorang.

Dengan hanya memakai seluar pendek dan singlet tanpa lengan yang kebasahan, Reece berlari-lari anak di sekitar kawasan itu untuk mencari gerangan si pemilik permata. Ianya begitu berharga. Tak mungkin Reece akan biarkan pemiliknya kehilangan sesuatu yang begitu bernilai seperti permata itu. Jika permata itu keciciran, Reece dapat mengagak berapa besar kerugian si pemiliknya. Dan Reece juga tahu, perbuatan mengambil hak orang lain juga bukanlah satu perbuatan yang elok. Dia takkan sesekali mencuri dan mengambil barangan orang lain tanpa kebenaran pemiliknya. Oleh itu, dia harus mencari pemilik sebenar permata itu dan memulangkan haknya secepat yang mungkin.

Namun hampa. Tiada kelibat seorang manusia pun di kawasan itu selain dirinya. Reece mula rasa kesal. Dia sepatutnya menyedari keberadaan objek itu dari awal tadi. Jika dia lebih cepat bertindak, pasti lebih mudah untuk dia menemukan pemilik objek berkilau itu. Malang sungguh!

"Apa aku nak buat dengan benda ni?"

Kusut memikirkan objek yang bukan miliknya di tangan, Reece akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke danau. Dia ingin mengambil baju dan seluar panjangnya yang ditinggalkan tadi sebelum balik ke rumah.

Namun baru saja dia menunduk untuk mencapai pakaiannya, tiba-tiba Reece disergah kuat oleh satu suara. Pantas dia berpaling ke belakang bersama mata yang membulat gara-gara terkejut dengan keberadaan wanita berbaju merah itu di situ.

"Mama?" perlahan suaranya, namun cukup untuk menggambarkan betapa bergetarnya hati kecil remaja itu saat matanya bertentang mata Monica yang sedang bercekak pinggang merenungnya.

"Kamu mencuri ya?!" tuduhan melulu Monica membuatkan Reece sentap.

"T-Tak mama! Reece tak m-mencuri!" laju Reece menyangkal walaupun ada getaran dalam suaranya.

Anak mata Monica melirik permata ruby di tangan kiri Reece. Lalu dia mengalihkan pandangannya semula ke wajah Reece yang sudah pucat lesi.

"Itu apa kat tangan kamu?! Kamu mencuri kan?!" tuduh Monica lagi.

Reece semakin gelisah. Dia cuba untuk mengatakan perkara yang sebenarnya, tapi entah kenapa lidahnya kelu untuk berbicara.

"M-Mama, ini bukan... I-Ini bukan... Reece cuma... T-Takk! Ada orang yang t-tercicir... Tadi!" sedaya-upaya dia cuba menjelaskan kepada Monica, tapi lidah dan akalnya seakan tak selari. Reece kedengaran tak ubah seperti lelaki gagap.

"Pembohong! Kamu dah mencuri, lepastu nak bohong pada mama?! Permata ruby tu mama yang punya! Mama yang punya! Mama cari dari tadi, tapi tak jumpa-jumpa. Oohhh, rupanya kamu yang curi dari mama, ya Reece? Kamu memang anak tak berguna! Pencuri! Pembohong!" jerkah Monica. Langkahnya diatur laju menuju ke arah Reece sambil melayangkan sebuah penampar ke pipi pucat lelaki itu.

Reece yang awalnya berdiri ketakutan, kini terjelepuk ke tanah. Permata ruby yang digenggamnya tadi tak semena-mena terlepas dari tangan lalu tercampak ke dalam tasik.

Melihat keadaan itu, Monica lantas berteriak kesal sambil melutut di tebing tasik. "My diamond! My diamond!"

Reece menoleh sekilas ke arah ibunya. Perasaan bersalah menyelubungi hatinya. Pedih di pipi tak dihiraukan. Permata ruby milik ibunya lebih diutamakan.

Lalu tanpa sebarang bicara, Reece terjun ke dalam tasik untuk mengambil kembali hak milik ibunya.

Dikurniakan penglihatan yang tajam dan kemahiran menyelam, dengan mudah Reece dapat mencari batu permata itu di dasar danau. Namun, tatkala dia cuba untuk berenang naik ke permukaan, kaki kirinya tiba-tiba tersangkut di celah-celah jala usang yang sudah rosak di dasar danau itu.

Panik menyelubungi. Reece cuba untuk melepaskan diri, namun semakin dia meronta, semakin sukar untuk dia mengurai belitan tali jala pada kaki kirinya.

'Someone, please! Help me!'

Reece semakin cemas tak keruan. Dadanya terasa sempit. Oksigen! Dia perlukan oksigen dengan kadar segera! Reece tak mampu bertahan lagi. Semakin sukar untuk dia bertahan dalam keadaan begitu.

'Aku tak nak mati! Aku tak nak mati! Aku tak nak mati kat sini!'

Hati kecil Reece meronta ingin bebas daripada situ. Luruh hatinya tatkala memandang ke permukaan atas berlatarkan langit biru. Pandangannya berbalam di bawah air, namun cukup untuk membuatkan air matanya hanyut dibawa air tasik.

Dengan kudrat yang masih berbaki, Reece melawan untuk terus hidup. Namun setelah akhirnya bertarung nyawa dengan maut, akhirnya Reece terpaksa mengalah. Dia tahu ajalnya sudah tiba. Hakikat perlu diterima. Itu takdirnya.

Tangan diangkat ke atas, seolah-olah ingin meminta bantuan terakhir, mengharap ada yang menariknya ke permukaan, namun Reece tahu, tiada siapa yang akan sedar keberadaannya. Tiada siapa yang mungkin peduli.

'Aku belum mati...'

***

[1147 words]

PrecedentWhere stories live. Discover now