Suasana kuliah pagi itu riuh seperti biasa, Puan Isma, pensyarah TITAS yang sedang mengajar di hadapan juga tidak dihiraukan. Para pelajar sedang asyik bersembang antara mereka. Insyirah terasa rimas, suara-suara yang kedengaran tika itu ibarat desingan lebah yang begitu membingitkan. Dia cuba memfokuskan diri pada pembelajarannya, tudung labuhnya dibetulkan sedikit, wajahnya diraup perlahan supaya hatinya tenang untuk belajar saat itu.
"Tolong diam, saya ada pengumuman yang penting." Suara Puan Isma yang tiba-tiba menjerit di mikrofon mengejutkan semua pelajar di dalam dewan. Semua mata mula fokus padanya, suasana dewan kembali menjadi senyap.
"Saya akan memberi tugasan pada kalian semua hari ini dan saya mahu tugasan ini di jalankan secara berpasangan, hantar tugasan pada dua minggu akan datang." Semua mata membulat, berpasangan? Insyirah juga terkejut. Hatinya terasa berdebar, takut dipasangkan dengan insan yang tidak dikenalinya memandangkan kelas subjek teras universiti itu merupakan gabungan dua jurusan yang berbeza, pelajar jurusan Pengajian Islam dan jurusan Bioperubatan. Puan Isma mula mengedarkan kertas tugasannya dan membahagikan pelajar pada pasangan masing-masing.
"Nur Aisya Insyirah, jurusan Pengajian Islam," Insyirah mengangkat tangan sebaik namanya dipanggil. "awak akan berpasangan dengan Muhammad Irfan Fahri, jurusan Bioperubatan, mana Irfan?" Insyirah ikut mencari Irfan. Seorang jejaka yang berpakaian kemas mengangkat tangan dan tiba-tiba menoleh ke arah Insyirah. Insyirah terkedu, dia tidak pernah membayangkan dirinya akan berpasangan dengan seorang lelaki. Kalau walid tahu, mesti dia marah, Insyirah teringat pesan ayahnya yang melarang dia bergaul dengan lelaki bukan muhrimnya.
"Cik Aisya Insyirah?", teguran jejaka itu saat Insyirah melangkah keluar dari dewan mengejutkan Insyirah. Langkah Insyirah terhenti, wajah itu dipandang takut-takut.
"Ada apa?" Insyirah bertanya perlahan.
Irfan tersenyum. "Saya pasangan Insyirah untuk tugasan tadi, bila kita patut mulakan tugasan tu?"
Insyirah terkedu. Kekok rasanya berbicara dengan seorang lelaki yang bukan muhrimnya kerana Insyirah tidak pernah berkawan dengan lelaki selama ini.
"Hmm, esok, pukul 10 pagi di perpustakaan, kita berbincang. Boleh?," Insyirah memberi cadangan. Dia terpaksa melupakan pesan walid demi menyiapkan tugasan yang diminta.
"Hmm, kalau begitu esok kita jumpa ya..." senyuman mula terbit dar bibir jejaka itu. Insyirah tunduk malu. Tak mampu lama-lama menatap wajah itu.
*******************
Insyirah khusyuk membaca buku Kisah Hidup Rasulullah, saat Irfan menyapanya di dalam perpustakaan itu.
"Assalammualaikum, maaf saya terlambat, pensyarah keluar lambat tadi." Irfan kelihatan tergopoh-gapah, peluh kelihatan menitik di pipinya.
Insyirah terdiam. Dia mula membetulkan duduknya supaya selesa. Buku yang sedang dibacanya segera ditutup.
"Tak apa, silakan duduk."
Insyirah terasa kekok apabila hanya berdua di salah satu sudut perpustakaan itu. Hatinya rasa tidak tenteram, rasa bersalah timbul kerana dia seolah mengingkari pesan walid. Aku lakukan ini semua kerana menuntut ilmu, Insyirah cuba menenangkan hatinya yang gundah. Irfan memulakan perbincangan. Pagi itu, mereka berbincang tentang tugasan yang perlu dilakukan dan setiap langkah yang perlu mereka ambil bagi melaksanakan tugasan terbabit.
Irfan dalam diam memerhatikan Insyirah, gadis itu lain dari gadis yang biasa dia temui. Insyirah sungguh lemah lembut, pemalu, dan sentiasa kelihatan gelisah saat mata mereka bertemu. Selama ini dia sentiasa menjadi perhatian gadis dan mereka sendiri tanpa segan silu menggodanya. Dia sendiri tidak melepaskan peluang andai ada gadis yang cuba mendekatinya dan melayan mereka dengan penuh mesra, namun semua itu sekadar berpoya-poya untuk suka-suka. Sejujurnya, dia belum bertemu dengan gadis yang betul-betul disukainya, tapi kini, hatinya seolah-olah tertarik pada gadis yang sedang duduk dihadapannya tika itu.
YOU ARE READING
Himpunan Cerpen Penuh Rasa Cinta
Short StoryHimpunan cerpen-cerpen penulisan Aliesha Kirana sejak bergelar penulis.