"Weh, janganlah drama pitam sini!" (minah ni aduhai!)
Taqimi sedikit panik.
Ummu sudah terduduk. Terbatuk-batuk makin kuat. Hampir terbaring di lantai yang kian terasa hangatnya.
"Weh, bangun! Bangun! Demi ayah kau, kena bangun!"
Lelaki yang kulit hitam manis itu terpana seketika. Tak tahu mana satu hendak diselamatkan dulu. Mana mungkin dia menurunkan kedua-dua manusia dalam satu masa. Bukan cereka superman ni. Dia pun bukannya sado. Tubuh pun ala kadar saja. Perut ke depan sedikit.
Tak sampai dua minit lebih laju dari masak maggi, gadis itu terlentang rebah. Sesak nafas.
"Tu lah! Ni semua salah lubang hidung luas sangatlah ni! Sedut asap banyak! Ingat udara segar di puncak Kinabalu ke apa?!" (apa aku membebel ni!)
Taqimi kena buat sesuatu dengan segera. Sebahagian dalam rumah gadis itu sedang terbakar. Asap hitam tak perlu disebutkan lagi. Dengan panasnya.
Taqimi nampak peti ais di bahagian dapur. Segera dia menerpa. Buka. Cari sesuatu. Jumpa!
Air dalam botol yang masih sejuk dingin. Segera dia buka dan curahkan pada muka kedua-dua insan yang tidak sedarkan diri di situ. Ah, gagal. Dua-dua tak mahu sedar. Memang pengsan terus ni!
Matanya kian merah. Bukannya dia kebal. Terhidu sama asap tebal. Kehangatan menggigit kulitnya yang terdedah. Dicurahkan air sejuk tadi ke kepalanya.
"Yosh!"
Dilihatnya ada sebuah tilam tebal dan bantal di ruang tamu. Mungkin milik ayah Ummu. Ditariknya tilam itu keluar dari pintu rumah flat gadis itu. Kemudian diangkatnya ayah Ummu. Baringkan. Diusung pula gadis tersebut.
"Berat betul minah ni!" (nampak kurus, tulang besi ke apa ni?!)
Baringkan sama. Posisi? Biar memeluk ayahnya. Gebar yang ada bersama tilam, digulung. Dipusing-pusing seperti tali. Kepala ayahnya sudah dilapik bantal.
"Okay, ikat!"
Gebar yang sudah tersimpul bagai tali tadi, diikatkan meliliti tilam dan tubuh kedua-dua orang tu. Susunannya --- Ummu dan ayahnya di atas tilam bagai raja dan puteri beradu --- terbungkus kemas dalam tilam. Macam sandwich sudah.
"Okay, tarik!"
Dengan sekuat tenaga, mamat tersebut menarik keluar tilam bagai bermain tarik upih.
"Bapak berat! Tarik!"
Bagai nak putus urat kentut Taqimi menarik tilam yang berisi dua manusia. Menuruni tangga. Fungsi bantal tadi adalah untuk melindungi kepala ayah Ummu dari terhentak-hentak ketika menuruni tangga. Tilam itu pula adalah demi menjamin keselesaan pelanggan dan memenuhi KPI khidmat mesra pengguna.
Tingkat 10, lepas!
Tingkat 9, lepas!
Tingkat 8, lepas!
Tingkat 7, lepas!
Tingkat 6, lepas!
"Dah berjaya, dah berjaya!" Taqimi bertempik gembira sendirian.
Mamat itu terus menarik tilam itu. Sambil melihat ke arah wajah dua-dua beranak itu. Meski kedua-duanya tidaklah gah pada rupa, tapi dapat dirasakan ikatan kasih mesra antara anak dan ayah itu sebati dalam jiwa.
Manusia yang tidak berupa juga ada cerita suka dan duka. Derita dan bahagia sendiri. Tidak pernah pula Allah ciptakan dunia ini adalah demi didiami cuma orang-orang yang ada rupa. Meski dunia menyanjung mereka yang anggun parasnya, harus diingat yang bekerja keras di sebalik semuanya adalah orang biasa-biasa. Dunia ini bukan untuk artis untuk dan model semata!
Dunia ini adalah milik hamba. Pinjaman sementara-NYA!
Warna kulit dan rupa paras bukan segalanya. Sampai masa, pudar jua. Sebab itu, tumpuan pandangan Tuhan adalah pada hati hamba-Nya.
Taqimi akhirnya sampai di tangga paling bawah. Bagai nak patah pinggangnya. Baru terasa lelahnya. Dia sendiri terduduk kepenatan. Orang ramai membantu mereka.
Ambulans sudah sampai. Bomba sudah tiba. Taqimi menarik nafas lega. Mukanya sudah nampak mata dan gigi saja. Celoreng-celoreng kehitaman. Peluh membasahi dirinya.
Letupan-letupan dari dalam flat memeriahkan lagi suasana kebakaran. Api begitu marak sekali menjulang ke atas. Bomba dengan gagah dan fokus memadamkan api dengan hos-hos yang diacukan padu pada gergasi api. Ganas macam mana pun api, akhirnya pasti 'kan padam dengan siraman air. (Begitulah jua perasaan manusia. Eh?)
Sekilas dia memandang kepada kedua beranak yang diusung naik ke dalam perut ambulans.
Taqimi menapak sama ke dalam ambulans.
"Nak ikut!"
"Jalan!"
Ummu dan ayahnya sudah diberi bantuan pernafasan segera. Taqimi naik ambulans bersama Ummu. Ayahnya naik ambulans yang lain. Menuju ke destinasi yang sama.
Siren ambulans nyaring sepanjang perjalanan.
Tiba di hospital. Ummu diturunkan segera dan dibawa ke unit kecemasan. Rasanya tak kritikal. Boleh diselamatkan. Pengsan sebab telan asap saja ni.
Ambulans ayahnya menyusul. Diturunkan juga. Namun, Taqimi menangkap pandangan yang berbeza.
Perlahan-lahan dia mendekati ayah Ummu.
"Misi, kenapa tudung pakcik ni? Kenapa tudung dengan kain semua ni?! Saya berjaya selamatkan pakcik ni tadi, saya berjaya! Dia selamat! Selamat! Saya yakin!"
Misi-misi lelaki menahan Taqimi dari bersoal lebih lanjut. Menyuruhnya bertenang.
Masa bagai terhenti seketika. Degup jantung Taqimi bagai tergendala.
***
Bersambung...
YOU ARE READING
Aku Hodoh. Kau Hodoh.
Short StoryDalam novel cinta semua watak rupa nan indah belaka. Kau ingat kita dah di Syurga?