AHKH | Part 5

914 36 4
                                    

Langit senja bertukar warnanya. Dari keperangan menjadi kelam.

Taqimi berada di sebelah katil Ummu. Menanti. Gadis itu masih belum sedarkan diri.

Jam sudah melewati pukul 9 malam.

Diseluk henfon dalam kocek seluarnya. Menaip sesuatu. Send. Pada bos tempat kerjanya. Maklumkan esok tak boleh masuk kerja. Dia sendiri pun merasa penat satu badan. Bukan setakat fizikal, mental pun sudah celaru.

Dilihat kening Ummu berkerut-kerut dalam lelapnya. Mungkin masih trauma dengan kejadian petang tadi. Dilemparkan pula pandangannya pada meja kecil di sebelah katil pesakit. Ada sebuah Al-Quran mini di situ. Entah milik siapa. Takkan hospital pula yang provide naskhah Al-Quran setiap satu. Kalau ya, memang dah kira terbaik. Orang tertinggal saja kot.

Dicapainya. Jujur, dah terlalu lama tak baca. (Nak baca ke tak nak ni?)

Lelaki itu termenung sendirian. Tangannya menggamit naskhah Al-Quran tanpa membacanya.

***
"Paut erat-erat pinggang ayah, tahu!"

Motosikal Kriss cabuk milik ayahnya dipandu dengan berhati-hati. Menelusuri jalanan di kotaraya. Sampai di depan sekolah.

"Ummu, belajar rajin-rajin tahu."

Ayahnya membetulkan tudung anaknya yang terkelepet dek helmet yang dipakai tadi. Hari ini tidak seperti biasanya. Ayah turun dari motor. Tongkatkan. Pimpin tangan anaknya hingga sampai ke pintu pagar sekolah.

Ayah senyum. Tangan hangat seorang terasa di tapak tangan sang anak. Seketika, si ayah itu kelihatan merendahkan badannya.

Duduk dengan kedua-dua lututnya menyentuh tanah. Supaya wajahnya setara dengan ketinggian anaknya yang darjah enam. Melihat dalam-dalam ke bola mata Ummu.

"Ummu..Ummu adalah harapan ayah. Satu-satunya harta dunia dan akhirat yang ayah ada. Setelah ibu berpisah dengan ayah, Ummu adalah segalanya bagi ayah.

Tahun ni, Ummu nak UPSR kan? Jadi, buat yang terbaik. Bukan demi ayah. Tapi, demi Tuhan. Sebab Tuhan yang ciptakan ayah, ciptakan Ummu. Tanpa Tuhan, tiadalah ayah, tiadalah Ummu.

Pada ayah, ayah rela kehilangan segalanya, namun tidak kehilangan Ummu. Ummu adalah permata hati ayah.

Ayah tak kisah kerja panas dan hujan demi anak ayah ni."

Ummu memeluk erat tubuh ayahnya.

"Ayah jangan risau. Ummu akan belajar rajin-rajin. Akan jadi pelajar cemerlang. Ummu akan banggakan ayah."

"Ayah tahu tak, Ummu ada satu hadiah untuk diberikan pada ayah."

Ayahnya terkebil-kebil.

Anak kecil itu mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya. Dibuka buku tulisnya bahagian tengah. Dituliskan sesuatu dengan pensil. Terkial-kial seketika.

"Siap!"

Ditarik dari bahagian tengah buku tulis hingga terlerai cebisan kertas. Diunjukkan pada ayahnya.

"Baca ni selalu bila ayah penat di tempat kerja!"

Ayahnya membuka helaian kertas tadi. Melihat bait-bait tulisan comel anaknya.

"Ayah, suatu hari Ummu nak bawa ayah ke Mekah. Di situ, Ummu nak minta dengan Allah supaya ayah hidup selama-lamanya bahagia bersama dengan Ummu.

Ummu sayang ayah."

Lelaki itu terus bergenang air mata. Menitis berjuraian dari tebing matanya. Menuruni pipi hingga terpisah jatuh dari dagunya yang berjanggut.

Dipeluk erat-erat anak perempuannya itu.

"Ayah janji, ayah juga akan kerja rajin-rajin untuk Ummu!"

Ummu senyum lebar sambil mengesat air mata ayahnya.

***

Namun, hari itu. Air mata gembira di pagi hari bertukar air mata duka di tengahari. Guru masuk ke kelasnya. Tergesa-gesa membawanya ke hospital. Katanya, ayahnya kecelakaan motorsikal. Lumpuh bahagian bawah kaki. Kecederaan tulang belakang dan pinggang yang serius.

Dan kehidupan dua beranak itu bertukar seratus lapan puluh darjah.

***

"Ummu, bangun. Ayah datang ni.."

Ummu membuka kedua kelopak matanya. Melihat wajah ayahnya yang tersenyum. Lembut pandangannya.

"Jaga diri baik-baik. Maafkan ayah untuk segalanya."

Tangan ayahnya mengusap lembut kepala sang anak.

"Ayah!"

"Ayah! Ayah!"

***

"Ayah!"

Ummu tersedar dari pengsannya. Air matanya merembes keluar dengan lebat sekali.

"Ayah aku mana?!"

Taqimi kelu. Jururawat datang menenangkannya.

"Cik, bertenang. Ayah cik sedang diuruskan jenazahnya."

"Je....je...jenazah?!!"

Gadis itu terkaku sendirian.

***

Bersambung...

Aku Hodoh. Kau Hodoh.Where stories live. Discover now