Taqimi berada di hujung jalan.
Menanti Ummu yang berjalan ke arahnya. Muka jejaka itu nampak stress sangat. Entah apa yang sedang bermain di fikirannya. Mungkin hal di tempat kerja masih ligat berputar. Mungkin tentang 'bos' baru.
"Jom pergi makan sama-sama. Aku belanja."
Ummu melihat Taqimi berulang-kali. Ni kalau tatap muka mamat ni banyak-banyak kali, boleh hilang selera makan.
"Dah kenapa pula nak makan dengan aku ni? Aku bukan makwe kau."
Ummu berjalan melepasi Taqimi. Jejaka yang bersandar di seat motosikal tadi terus bangun segera. Berlari-lari anak menghalang Ummu dari beredar.
"Weh, kau dah kenapa?" (meroyan ke mamat ni?)
"Aku pun tak tahu kenapa, tapi aku nak keluar makan dengan kau. Takkan tak boleh kot. Roti canai pun jadilah."
Ummu serba salah. Dia sebenarnya tak suka dengan keadaan seperti itu. Keluar makan dengan lelaki yang ternyata bukan mahramnya. Sebagai kawan pun, dia rasa janggal. Apatah lagi, lelaki itu baru saja dikenalinya. Bukannya dia tahu banyak latar belakang jejaka di hadapannya itu. Cumanya, rasa penghargaan sebab tolong dia dan ayahnya tempoh hari masih tersemat di hati.
Ya lah, memanglah biasa keluar dengan bukan mahram. Semua orang buat kot. Kalau budak-budak di kampusnya, pemandangan biasa saja lelaki dan perempuan bersama-sama buat kerja atau berborak-borak, senda-gurau. Bertepuk-tampar pun berlambak. Antara nak tak nak tengok saja. Dah jadi suatu kelaziman.
Namun, dia tahu, dia sedar, bukanlah suatu kelaziman yang manusia buat di sekeliling menjadi suatu penanda aras, ianya dibenarkan dalam agama secara total. Yang mana kena letak batas, letak batas. Tak semua benda perlu segera diletak hukum harus.
Ramai wanita menyanyi di Smule, ramai perempuan bertudung jadi penyanyi, adakah itu jadi tanda besar bahawa ianya dibolehkan dalam agama? Tidak. Sudah terang bersuluh, sengaja melunakkan suara depan bukan mahram menjadi terlarang.
"Okaylah. Dekat-dekat ni sudahlah." Ummu akhirnya mengalah saja tatkala melihat muka sayu yang ditonjolkan jejaka perasan di hadapannya itu.
***
Minah tu makan roti canai telur dua biji tanpa cover ayu langsung. Sedap ni kuah kari kepala ikan kot. Sudahlah itu memang kegemarannya. Time-time lapar ni, fuh. Padu beb. Tak sedar mamat di hadapannya itu memerhatikan gelagat gelojohnya menyantap juadah.
"Kau nak tambah lagi tak, aku nak order ni?"
Ummu tersedak. Dicapai air kosong, diteguknya cepat-cepat.
"Kau nak aku obesiti mati diabetis potong kaki ke apa? Dah, cukup dah ni." Ummu mula memperlahankan rentak makannya. Malu pada mamat tu. Kalau jejaka itu hensem, sudah pasti dia cover ayu tahap dewi punyalah. Makan sikit-sikit. Roti canai pun mungkin tak sanggup order.
"Kau nak cakap apa dengan aku sampai belanja makan ni?"
Mamat tu terdiam seketika. Sekejap diteguk air nescafe aisnya. Sekejap dilemparkan pandangannya ke arah skrin tv dalam kedai mamak. ( cepuk jugak mamat ni kang! )
"Aku rasa aku dah sampai umur wajib kahwinlah."
Nak tersembur air yang diminum Ummu mendengar kata-kata mamat tu.
"So, kahwinlah. Apa masalahnya?"
Ummu tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Itulah masalahnya. Aku ada suka seorang perempuan ni. Tapi, aku tak beranilah nak cakap kat dia. Takut dia tak boleh terima aku. Ya lah. Aku ni kan kerja kilang. Gaji tak seberapa. Ada Honda. EX5. Huhu."
Ummu buat mata sememeh tengok Taqimi. Dilihatnya dari atas ke bawah, ke kiri dan kanan. Apa yang istimewanya dengan pemuda ini? Dari segi rupa, out. Fizikal, out. Boroi kot. Betullah tu apa yang diluahkannya sebentar tadi. Kalau nak mengurat awek Instagram yang Instafamous tu, memang tak dilayan. DM pun mungkin jeling pun tak. Iyalah. Gadis-gadis zaman sekarang kan punya suami goal tu ajet-ajet macam KingAfiq si jutawan barangan China tu.
Lainlah kalau kau famous macam Usop Mentor Milenia tu. Muka cannot go pun orang nak sebab famous. Kalau tak famous? Ha, sama macam si Taqimi ni lah. Zaman sekarang, viral is everything. Duit kepok-kepok dalam poket kiri-kanan bak ada sayap kiri kanan. Barulah ada tempat dalam hati dan mata perempuan urban. Memang bukan semua begitu, tapi kebanyakannya begitu.
"Kau nak nasihat dari aku lah ni? Nak aku tolong approach dia untuk kau? Bro, tak bolehlah. Kau kena dapatkan dengan usaha gigih kau sendirilah. Tak macholah guna orang tengah."
Taqimi merenung ke dalam mata Ummu sejenak.
"Kau sebagai perempuan, kau terima tak aku? Dengan segala kekurangan yang ada pada aku ni? Lelaki macam aku ni?"
Pertanyaannya serius mencengkam ke ulu jantung Ummu.
"Jujur. Aku nak tahu."
Mengharap.
Ummu membetulkan tudungnya yang terkelepet terkena angin kipas.
"Baiklah. Secara jujurnya, kalau aku. KALAU lah. Aku tak kisah lelaki macam kau. Aku nak nilai kau, banding dengan lelaki paling hensem di Malaysia memang tak bolehlah. Aku akan nilaikan rupa aku sendiri. Aku sendiri serba kurang. Ya lah, tak cantik, tak lawa. Siapalah sudi pandang aku, kan.
Jadi, jujur dan tulusnya, aku tak ada masalah dengan lelaki macam kau. Janji dia baik. Boleh fahami aku. Boleh layan kepala gila-gila aku. Boleh tahan dan sabar dengan sikap buruk aku dan kerenah entah apa-apa aku.
Pendek kata, dia tahu tugas dia sebagai lelaki yang nak jaga aku sepanjang hayatnya. Sayang aku, hargai aku. Jadi lelaki aku. Hanya untuk aku."
Panjang lebar jawapan dari gadis selebet tu. Buat Taqimi menghela nafas panjang sekali.
Dia mengalihkan gelas minuman di hadapannya. Mengeluarkan kotak rokok dari dalam koceknya. Lighter sekali.
"Ummu..."
"Ya?"
"Sudi tak kau jadi isteri aku?"
Ummu terdiam terus. Terpaku di kerusinya.
"Betul. Aku tak bergurau. Kalau kau sudi terima aku, aku janji takkan hisap rokok lagi. Tapi, jangan salah faham. Ini bukan sebab berhenti merokok.
Ini luahan hati aku sendiri.
Aku...Aku dah fikir masak-masak."
Ummu memandang dalam-dalam jejaka di hadapannya itu. Mahu bergenang saja air matanya. Tak pernah-pernah ada mana-mana lelaki pun atas muka bumi ini yang melafazkan kata-kata itu padanya sejak dia habis sekolah.
Jejaka itu nampak ikhlas dan serius dalam kata-katanya. Sinar matanya tampak tulus.
Masa bagai terhenti seketika.
bersambung...
cerita oleh: MUHAMMAD RUSYDI
YOU ARE READING
Aku Hodoh. Kau Hodoh.
Short StoryDalam novel cinta semua watak rupa nan indah belaka. Kau ingat kita dah di Syurga?