Lelaki dengan dahi jendul, muka tak siap, menekan-nekan jarinya pada mesin finger print.
"Error!" (Wei, apahal tak boleh pula ni?! Biasanya kan boleh?!)
Berkali-kali diletakkan jarinya. Ke kiri, ke kanan, biar pusar jari tepat-tepat kena pada skrin. Tapi, tetap gagal.
"Tak payahlah kau cuba lagi. Memang tak boleh. Bukan kau seorang saja. Semua orang pun tak boleh!"
Kawan sekilangnya menunjukkan pada sekumpulan rakan-rakan yang lain. Semua juga gagal sepertinya.
"Kenapa? Kita dah kena buang kerja ke? Kalau kena buang, mesti bagi notis awal!" (bengang pula aku!)
Dalam ekonomi yang kian tak stabil, susah nak cari kerja. Nak dibuang kerja pula. Agak-agaklah. Dahlah kerja kerajaan terhad semata. Kerja kilang macam ni pun nak dikecilkan lagi pengambilan pekerja. Cut-cost everywhere! Mana nak cari makan lepas ni? Takkan nak kerja jual kosmetik online juga. Ingat senang? Kalau ada rupa cantik rupawan, buat Instagram, buat Facebook, ramailah berkerumun dan percaya keberkesanan. Tapi, kalau lelaki yang rupa tak semenggah macam ni, siapa yang sudi? Takut dan rasa terancam adalah. Nak approve friend pun mungkin fikir seribu kali atau tak perlu fikir terus tekan delete. Tak rela buat fake account letak gambar perempuan lawa semata-mata nak jadi dropshipper! Menipu kan namanya tu. Kalau dah menipu, untung berniaga dikira syubhah. Kalau dah syubhah, apa guna masuk duit beribu-ribu, tapi makanan yang dibeli dengannya, semua jadi daging busuk di dalam diri?
Terngiang-ngiang tazkirah ustaz dari sebuah hadis di surau tempoh hari,
"Sesungguhnya yang halal adalah jelas dan yang haram juga jelas dan di antara keduanya terdapat perkara yang samar, kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.
Barangsiapa yang menghindar dari yang samar (syubhah) maka dia telah menjaga agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara yang samar maka dia telah terjatuh dalam perkara yang haram, seperti penggembala yang berada dekat di pagar milik orang lain dikhawatiri dia masuk ke dalamnya.
Ketahuilah setiap raja memeliki pagar (aturan), aturan Allah adalah larangan-laranganNya. Sesungguhnya di dalam tubuh terdapat segumpal daging jika dia baik maka baiklah seluruh jasad itu, jika dia rusak maka rusak pula seluruh jasad. Ketahuilah itu adalah hati." (HR. Bukhari dan Muslim)
"Siapa kata kena buang kerja? Pandai-pandai saja!"
Seseorang mengeraskan suara dari arah belakang Taqimi. Suara perempuan. Segera mereka semua berpaling.
Team Leader dan Supervisor melangkah menghampiri mereka.
Che Seman, supervisor di samping seorang muka baru di sebelahnya. Seorang wanita lingkungan 25 ke atas.
"Perkenalkan, ini leader baru kamu. Cik Syuhada. Panggil saja Cik Syu. Dia akan menggantikan leader Puan Peah yang patah kaki kemalangan motorsikal dua hari lepas. Dipersilakan Cik Syu bagi sepatah dua ucapan pada semua pekerja di sini."
Gadis bermuka manis dengan lesung pipit di pipi itu ke hadapan. Berseluar jeans dan berkemeja jeans. Dengan shawl Neelopa warna Rose Gold Iphone. Sedikit rugged. Shift malam. Lagipun, tiada rules mengatakan tidak boleh berpakaian sedemikian dalam kilang. Pekerja saja ada kod etika masing-masing. Kena patuhi segala peraturan terutamanya aspek keselamatan dan kebersihan. Leader terkecuali. Kerjanya cuma memantau pergerakan para pekerja dan melaporkan pada supervisor kalau ada yang culas, berlaku kerosakan pada mesin-mesin atau hal-hal yang berkaitan hal dalaman kilang.
"Saya tak nak cakap banyak. Sebab masa berjalan. Pertama, pasal finger print tu, saya dah suruh reset balik. Sebab saya dapati pada satu nama, ada dua cap jari berbeza. Maksudnya, kamu semua berpakat tolong punch untuk kawan yang datang lambat. Ini bersalahan dengan etika kerja. Ini menipu namanya.
Saya tak benarkan benda-benda ini berlaku dalam kilang ini. Faham?
Sila masukkan balik. Satu nama, satu jari sahaja!
Kedua, saya tidak akan bertolak ansur atau berlemah-lembut seperti leader sebelumnya. Pekerja yang malas dan acah-acah kerja, saya akan laporkan terus kepada HQ untuk digantikan dengan pekerja baru. Sebab, kalau kamu tak nak kerja, ramai lagi orang di luar sana yang nakkan kerja kamu ni!"
Kecantikan wajahnya tidak setara dengan sikap tegasnya. Taqimi dan rakan-rakan memandang penuh benci pada perempuan itu. ( Hari pertama dah tunjuk bengis, apa dia ingat pekerja kilang ni tiada hati dan perasaan? Pekerja kilang bukan robot! )
Taqimi ke depan.
"Kau orang baru di sini, kau jangan ingat kami ni akan ikut telunjuk kau seratus-peratus. Kalau kami tak buat kerja, dah lama kilang ni lingkup tak beroperasi!"
Nadanya sinis.
Wanita itu senyum kembali pada lelaki itu. Senyum kambing. Menjeling tajam pada tag nama yang tergantung di dada lelaki itu.
"Baru atau lama, kalau melawan ketua, sekejap saja kau akan dapat notis diberhentikan kerja, Encik Mustaqimi."
"Woi, perempuan!"
Taqimi berang. Hampir saja melangkah ke depan untuk menjerkah hambur makian ke atas muka perempuan tak guna itu. Namun, rakan-rakannya menahannya dari menyerbu penuh amarah.
Che Seman turut meredakan kemarahan jejaka itu. Sempat dia berbisik perlahan pada Taqimi dan rakan-rakan,
"Kabel dia kuat dengan manager. Sabar sajalah. Sabar ya."
Memang Che Seman agak rapat dengan pekerja kilang di situ. Orang lama. Paling bertimbangrasa. Kalau nak minta cuti sakit atau emergency leave, pada Che Seman-lah tempat mereka mengadu.
Taqimi menarik nafas panjang.
"Tak malu nak bergaduh dengan perempuan. Kau lelaki ke?"
Cik Syu menyindir Taqimi. Selamba.
Kemarahan Taqimi meledak. Dia ke depan, hampir saja mahu melibaskan tangannya pada pipi wanita itu. Namun, tidak diteruskan. Digenggam buku limanya. Dijatuhkan kembali tangannya.
"Kau perempuan, tak layak jadi leader aku. Kau cuma layak jadi isteri aku! Bila kau jadi isteri aku, aku akan suruh kau cuci pinggan 7 hari 7 malam!"
Kata-kata Taqimi mengundang gelak dari rakan-rakan sekilangnya. Semua ketawa berdekah. Mereka beramai-ramai bertepuk tangan dengan laungan macam dalam stadium, 'bini Taqimi', 'bini Taqimi', 'Cik Syu bini Taqimi!'. Bersorak-sorai. Menertawakan Cik Syu yang berpaling meninggalkan mereka. Dengan muka kemerahan.
Menahan malu dan amarah.
"Jaga kau, lelaki hodoh!"
Bersambung...
Karya: Muhammad Rusydi
YOU ARE READING
Aku Hodoh. Kau Hodoh.
Short StoryDalam novel cinta semua watak rupa nan indah belaka. Kau ingat kita dah di Syurga?