TIDUR Aisy terganggu apabila dia merasa kepalanya seperti dibaling dengan benda keras. Perlahan-lahan, kelopak matanya terbuka luas. Anak mata hitamnya melilau-lilau memandang ke sekeliling sebelum dia terdengar suara seakan-akan berbisik memanggil dirinya.
"Kak, bangun. Orang jahat tu dah keluar," panggil satu suara membuatkan Aisy bingkas bangun. Dia terduduk sambil mencari pemilik suara halus itu.
Anak matanya tertancap pada salah seorang daripada dua orang anak gadis yang sedang duduk di satu sudut tidak jauh dari tempatnya dirantai. Di tepi anak-anak gadis itu kelihatan lima kanak-kanak lelaki dan perempuan sedang tidur dengan tangan dan kaki turut diikat. Terbit rasa simpati dalam diri Aisy apabila melihat kanak-kanak yang tidak berdosa dikurung dan dipukul sebelum dijual ke negara seberang.
"Akak okey ke? Saya Ida," ucap Ida memperkenalkan dirinya.
Aisy tersenyum tawar.
"Panggil akak, Kak Aisy. Akak okey. Berapa lama Ida kena kurung kat sini?" soal Aisy.
Ida berpandangan dengan dua rakannya yang lain. Mereka menjongketkan bahu.
"Saya tak pasti, kak. Rasanya dah lama kami dekat sini. Saya dengar mereka nak hantar kami ke jeti hari ni. Kami tak nak, kak! Kami nak balik. Kami takut," jawab Ida dengan air mata yang bergenangan. Terpancar riak ketakutan di wajah anak gadis itu.
Aisy mengeluh berat. Kalau Ida takut, dia apatah lagi. Tidak pernah terbayang dalam fikirannya selama ini yang dia akan berhadapan dengan situasi sebegini.
"Akak tahu. Akak pun sama. Kita cuba lepaskan diri sama-sama dan berdoa supaya polis datang cari kita," ujar Aisy cuba menyedapkan hatinya sendiri.
"Tapi bila bantuan akan sampai, kak? Sekarang ni kita kat tengah-tengah hutan. Bukan mudah polis nak kesan tempat ni," sampuk seorang lagi rakan Ida.
Anak mata Aisy teralih pada laman wajah gadis muda yang berambut panjang. Gadis yang berusia kira-kira dua puluh tahun itu memang cantik. Kulitnya putih kemerahan namun kesan lebam tetap menghiasi wajah cantik itu.
"Memang tak mudah tapi tak ada yang mustahil bagi Allah. Memang tak ada polis yang dapat tolong kita sekarang, tapi kita masih ada Allah. Dia akan bantu kita untuk lepas daripada penculik tu," ujar Aisy berbaur nasihat.
Aisy memandang tangannya yang dirantai. Telapak tangannya masih lagi luka malah luka itu terasa berdenyut-denyut. Tetapi Aisy tetap tahankan jua. Dia nekad untuk melarikan diri. Tapi macam mana? Tangan dan kakinya masih terpasung. Lalu keluhan berat dilepaskan.
"Kita kena lakukan sesuatu, kak. Semalam saya dengar dia orang cakap, bos besar mereka nak datang hari ni. Saya takut, kak. Saya tak nak kena jual. Kesian dekat mak ayah saya. Dia orang tentu risau sekarang ni," keluh kawan Ida dengan wajah yang murung.
Aisy tidak menjawab sebaliknya kata-kata kawan Ida itu mengingatkan dia kepada Tok Awang dan Nek Hajar. Apa agaknya nasib nenek dan datuknya sekarang ini?
"Akak pun sama tapi kita..." Kata-kata Aisy tergantung apabila pintu pondok buruk itu dikuak dari luar. Aisy mengesot punggungnya ke belakang. Matanya dipejam apabila terkena pancaran matahari saat pintu itu terbuka.
Perlahan-lahan, Aisy membuka mata. Tegak anak matanya memandang ke hadapan. Kelihatan seorang lelaki bertopeng menutupi separuh wajahnya berjalan ke arah Aisy dengan membawa sebungkus makanan di tangan. Aisy menjeling benci.
Qartal duduk mencangkung berhadapan dengan Aisy. Wajah Aisy yang lebam-lebam dipandang sekilas sebelum anak matanya beralih pada Ida dan rakannya yang terkebil-kebil memandang ke arah mereka berdua.
"Kau orang lapar?" soal Qartal perlahan.
Ida mengangguk laju. Bukan setakat lapar malah tahap kebulur. Kali terakhir mereka diberi makanan pada petang semalam. Itu pun sekadar roti.

BẠN ĐANG ĐỌC
PEMUSNAH HATI
General FictionTajuk: Pemusnah Hati Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-048-9 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 "Ada ke dalam dunia ni orang yang kena culik, boleh jatuh suka pada penculik? Men...