SELEPAS urusan pengebumian Tok Awang selesai, Nek Hajar terus pulang ke rumahnya. Air mata masih lagi tidak henti-henti mengalir mengenangkan keadaan keluarganya yang huru-hara. Takdir kematian Tok Awang diterima dengan hati yang reda tetapi kehilangan Aisy yang diculik tempoh hari masih tidak dapat diterima oleh akal Nek Hajar.
Sebaik saja sampai di rumah, Nek Hajar terus melangkah masuk ke dalam rumah. Waktu ini rumahnya kembali sunyi. Semua jiran tetangga telah pulang ke rumah masing-masing sebelum datang kembali selepas asar untuk menyediakan kelengkapan majlis tahlil untuk arwah Tok Awang.
Nek Hajar menyeka peluh dan air mata yang membasahi wajah tuanya. Dia menghela nafas panjang dan menghembuskannya dengan perlahan.
"Kenapa polis datang tadi, mak?" sergah satu suara mengejutkan Nek Hajar. Dia berpaling.
Kelihatan Tuan Zabir berdiri berhadapan dengannya sambil anak mata lelaki itu melilau memandang ke luar rumah melalui tingkap.
"Bakpe mung macam takut aje bila polis datang? Mung ada buat saloh ke?" soal Nek Hajar kembali tanpa menjawab soalan Tuan Zabir.
Tuan Zabir terkelu dengan soalan yang terbit daripada mulut Nek Hajar. Seboleh mungkin dia cuba mengawal riak wajahnya. Dia berdeham kecil.
"Mana ada Zabir takut, mak. Zabir cuma tak suka polis tu datang, lagipun buat apa dia datang? Ayah meninggal sebab sakit biasa aje, kan?" jawab Tuan Zabir cuba berdalih.
Nek Hajar mengeluh kecil. Wajahnya yang sudah berkedut, diraup dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Kesal dengan sikap yang ditunjukkan Tuan Zabir. Selama ini dia percaya menantunya itu bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka sehinggalah mereka tiga beranak dapat hidup dengan senang di kampung. Ternyata di sebalik kemewahan yang dilimpahkan kepada Nek Hajar sekeluarga, ada hak orang lain yang dirampas kejam oleh Tuan Zabir. Nek Hajar kecewa. Cukup kecewa.
"Ayah mung meninggal bukan sebab sakit biasa tapi sebab mung!" Suara Nek Hajar mula meninggi. Melotot anak matanya merenung wajah Tuan Zabir yang selamba. Dia cuba menahan sabar tapi bayangan peristiwa tempoh hari kembali terlayar di ruang pandangan membuatkan kesabaran Nek Hajar terbang entah ke mana.
"Apa yang mak merepek ni? Zabir tak tahu-menahu pasal ayah. Macam mana ayah boleh meninggal sebab Zabir pula?" jawab Tuan Zabir sambil ketawa kecil.
"Mak bukang bodoh, Zabir. Mung ingat mak dok tahu benda hok mung buat belakang mak. Malam sebelum ayah mung meninggal, rumah ni kena ceroboh dengan empat orang lelaki yang cari berlian dia hok mung curi. Mung buat benda ni, Zabir? Mung tahu dok, Aisy sekarang jadi tawanan orang-orang jahat tu!" jawab Nek Hajar dengan esakan halus mula kedengaran.
Tuan Zabir tersentak. Aisy diculik? Hati Tuan Zabir tersentap. Berubah terus wajahnya.
"Aisy kena culik, mak? Siapa yang culik? Kenapa mak tak bagi tahu Zabir awal-awal?" Bertubi-tubi soalan yang muntah daripada mulut Tuan Zabir. Kedua-dua belah bahu Nek Hajar digoncang kuat.
"Sepatutnya mak tanya mung, Zabir. Mung lebih kenal siapa musuh mung. Dia nak mung pulangkan semula berlian tu sebelum dia orang apa-apakan Aisy. Mak dok mintok banyok dengan mung, Zabir. Mak mintok mung selamatkan Aisy. Pulangkan semula barang yang bukang milik mung," ujar Nek Hajar dengan suara yang lirih.
Tuan Zabir tertunduk. Dia mengetap bibir. Pautan di bahu Nek Hajar terlepas. Dadanya mula berombak menahan rasa marah. Selama ini bukan main dia menjaga rahsia tentang keluarganya dan sengaja dia hantar Aisy jauh ke kampung arwah isterinya di Hulu Terengganu semata-mata tidak mahu musuhnya mengesan keberadaan satu-satunya waris yang dia ada. Kini semuanya hancur. Dia yakin pasti ada seseorang dalam kumpulan AK47 yang membelot padanya.
BẠN ĐANG ĐỌC
PEMUSNAH HATI
General FictionTajuk: Pemusnah Hati Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-048-9 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 "Ada ke dalam dunia ni orang yang kena culik, boleh jatuh suka pada penculik? Men...