TUAN ZABIR merenung langit yang mendung. Langit yang mendung seolah-olah memahami hatinya yang galau dengan apa yang berlaku. Sejak dua menjak ini, Tuan Zabir dapat merasakan hidupnya semakin kucar-kacir sebaik saja berlian red diamond berjaya dirampas daripada tangan Razak.
Paling memeritkan kini, dia menjadi buruan polis kerana menjadi suspek untuk kes pembunuhan Nek Hajar. Tuan Zabir meraup wajahnya. Belum lagi kes itu selesai, anak kesayangannya diculik oleh Razak Hitam sebagai cagaran untuk dia mengembalikan semula berlian yang dicuri.
"Bukan ini yang aku nak, Tuhan. Kenapa anak aku yang jadi mangsa?" keluh Tuan Zabir sendirian.
Dia memandang kedua-dua belah tapak tangannya. Tangan ini yang menyebabkan keluarga mereka berpecah-belah. Tangan ini yang terlalu tamakkan harta hingga mengorbankan semua orang yang disayanginya. Lantas, Tuan Zabir meramas rambutnya dengan kemas.
Menjelma seraut wajah lembut dengan wajah yang sendu ke ruang matanya. Mana mungkin Tuan Zabir melupakan air mata yang mengalir daripada anak mata bundar itu dan malangnya dia adalah penyebab air mata itu tumpah.
Imbas kembali...
"ABANG, apa semua ni?" soal Puan Hayati dengan linangan air mata.
Tuan Zabir menundukkan wajah. Semua rahsia yang selama ini dia simpan daripada pengetahuan Puan Hayati akhirnya terbongkar. Paling memedihkan apabila dia melihat wanita yang amat dicintainya itu menitiskan air mata padahal dia sudah berjanji, tidak akan sesekali menyakiti hati wanita itu.
"Kau yang cari pasal dengan aku, Zabir. Berapa kali aku suruh kau bayar hutang kau tapi kau degil. Kau ingat aku main-main? Sekarang biar bini kau tahu siapa kau yang sebenarnya!" Jefry bersuara.
Dia berjalan mengelilingi Tuan Zabir yang kelihatan tidak keruan. Berapa kali dia memberi peringatan kepada Tuan Zabir agar menjelaskan hutang sebanyak seratus ribu tetapi lelaki itu berdegil. Jadi inilah jalan yang harus dia gunakan agar lelaki itu bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya.
"Tapi aku dah cakap, jangan babitkan isteri aku dalam hal ni!" Keras suara Tuan Zabir kedengaran. Peluh yang memercik di dahi, diseka perlahan.
"Abang, lebih baik abang cakap apa yang jadi? Siapa lelaki-lelaki ni? Apa yang abang dah buat?" Bertubi-tubi soalan dimuntahkan oleh Puan Hayati. Dia meronta-ronta minta dilepaskan daripada cengkaman tangan orang-orang Jefry yang mengekang pergerakannya.
"Diam, Yati!" jerkah Tuan Zabir. Otaknya mula kusut. Mindanya terbejat.
Puan Hayati menangis. Dia merenung wajah Tuan Zabir yang kegelisahan. Kecewa. Itulah yang dirasakan saat ini. Dia tidak tahu apa hubungan Tuan Zabir dengan lelaki-lelaki yang menceroboh masuk ke rumahnya ini. Nasib baik anaknya dihantar ke rumah ibu dan ayahnya di kampung, kalau tidak entah apalah nasib yang bakal menimpa anak kecilnya itu.
"Abang suruh Yati diam? Yati takkan diam selagi abang tak cakap hal yang sebenar!" Suara Puan Hayati meninggi. Air mata dibiarkan mengalir tanpa sekaan.
"Abang lakukan semua ini untuk kesenangan kita!" Suara Tuan Zabir turut meninggi. Dia cuba memberanikan diri untuk bertentang mata dengan si isteri namun Tuan Zabir tewas. Renungan penuh rasa kecewa yang terbias di sebalik anak mata hitam milik Puan Hayati membuatkan hati Tuan Zabir tersiat.
"Untuk kesenangan? Ini abang panggil kesenangan? Yati sanggup hidup susah dengan abang asalkan dengan duit yang halal tapi sekarang..." Puan Hayati tidak mampu meneruskan ucapan. Hatinya bagai dirobek-robek dengan perbuatan Tuan Zabir.
"Diam! Meluat aku tengok drama air mata kau orang berdua ni!" jerkah Jefry mematikan bicara Puan Hayati dan Tuan Zabir.
"Aku nak duit aku, Zabir. Bila kau boleh langsaikan?" Jefry kembali kepada topik asal perbicaraan mereka. Dia berdiri tegak di hadapan Tuan Zabir.

BẠN ĐANG ĐỌC
PEMUSNAH HATI
General FictionTajuk: Pemusnah Hati Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-048-9 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 "Ada ke dalam dunia ni orang yang kena culik, boleh jatuh suka pada penculik? Men...