Bab 11

2K 53 1
                                    

LANGKAH terus dipercepatkan tanpa menghiraukan apa pun rintangan yang bakal menunggunya di hadapan. Saat ini Aisy hanya fikirkan maruah dan keselamatan dirinya. Dia tidak sanggup lagi menjadi tawanan dan hampir-hampir menjadi alat pemuas nafsu kepada manusia yang tidak berakal seperti empat orang lelaki yang sedang mengejarnya kini.

"Jangan lari!" jerit suara itu dari arah belakang membuatkan Aisy meneruskan lariannya.

Habis ranting-ranting kayu dilanggarnya malah kakinya seakan-akan tidak jejak ke bumi kerana terlampau laju berlari. Keadaan hutan yang gelap pekat menyukarkan Aisy untuk mencari arah. Dia hanya mengikut langkah kakinya.

Nafas Aisy semakin semput. Dia tidak berdaya lagi untuk berlari lantas lariannya berhenti secara perlahan-lahan. Dia duduk bersandar di sepohon pokok yang berakar banir, bertujuan untuk melepaskan lelahnya buat sementara waktu. Air liur terus ditelan dengan dada yang naik turun mengawal nafas.

"Ya Allah, aku takut," desis hati Aisy sambil anak matanya melilau memandang ke sekeliling.

Tiada satu pun yang kelihatan di matanya, hanya daun-daun kayu yang terbuai lembut mengikut rentak angin yang bertiup. Dia cuba mencari jalan keluar namun hampa. Aisy memejamkan mata buat seketika.

"Kau ingat kau boleh lepas daripada aku dengan senang macam ni?" soal satu suara mengejutkan Aisy. Matanya terbuka luas.

Jelas di pandangannya empat orang lelaki sedang berdiri. Seorang daripada mereka mengacu muncung pistol ke dahi Aisy. Dadanya mula berdetak kencang. Saat ini hanya maut yang berada dalam fikiran Aisy.

"Kau orang nak apa? Lepaskan akulah!" jerit Aisy, geram.

"Bob, Jamal kau pegang perempuan ni. Dia nak tunjuk lagak pula dengan kita!" arah Jeff sambil anak matanya masih mengawal setiap pergerakan Aisy.

Aisy cuba mengelak. Wajah Bob dan Jamal yang cuba mendekat ditampar sekuat hati malah kaki lelaki itu turut dipijak. Namun, usaha Aisy sia-sia apabila dengan senang, Jamal merentap tangannya dan memulas kedua-dua belah tangannya ke belakang. Aisy menjerit kesakitan.

"Kau memang degil, kan? Kalau aku tak boleh jual kau hidup-hidup, aku rasa mayat kau pun berharga!" ujar Jeff.

Dia mengangkat pistol lalu diacukan tepat ke dahi Aisy. Kemarahannya sudah tidak mampu dikawal. Kedegilan Aisy membuatkan dia lupa seketika pada arahan Razak. Mungkin dengan melihat kematian Aisy itu merupakan satu kepuasan buat dirinya.

"Lebih baik kau ucap selamat tinggal. Aku benci dengan perempuan yang kuat melawan macam kau!" sambung Jeff lagi sambil menarik picu pistol. Bila-bila masa saja tembakan akan dilepaskan.

Aisy memejamkan mata. Mungkin inilah penamat hidupnya. Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosa aku, detik hati Aisy. Pasrah.

Jeff ketawa melihat reaksi Aisy. Dia sudah bersedia untuk melepaskan tembakan. Lalu...

Bang!

"Arghhh!!!" Aisy menjerit.

Ada darah terpercik di wajah Aisy. Dia membuka mata. Sungguh dia terkejut melihat batang tubuh Jeff yang jatuh melorot ke atas tanah sebelum menggelupur seperti ayam disembelih.

"Jeff!" jerit Jamal, Bob dan Abdul. Mereka tergamam melihat Jeff yang sudah bertukar menjadi mayat dengan sekelip mata. Mereka berpaling ke belakang.

Kelihatan seorang lelaki berpakaian hitam dan bertopeng merenung tajam ke arah mereka bertiga. Kecut juga perut mereka apabila melihat lelaki misteri itu memegang pistol yang masih berasap. Mereka cuak. Malah, pegangan di tangan Aisy turut terlerai.

"Tak guna! Siapa kau?" soal Jamal dengan suara yang terketar-ketar. Keadaan yang gelap menyukarkan mereka untuk mengecam wajah lelaki yang berbadan tegap itu. Sekali dilihat gerak gayanya seakan-akan Qartal tetapi tidak mungkin Qartal membunuh Jeff, telah hati mereka bertiga.

PEMUSNAH HATINơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ