SAMBIL bersiul kecil, Qartal memandang tangannya yang dipenuhi dengan makanan. Dia tersenyum nipis sambil melangkah kembali ke tempat Aisy ditinggalkan. Semakin hampir dengan tempat Aisy ditinggalkan, hati Qartal terasa semacam. Dia dapat mendengar seperti ada sesuatu memijak daun-daun dan ranting-ranting kering.
Hati Qartal berdetak. Perlahan-lahan dia meletakkan makanan yang berada dalam genggaman di atas tanah. Pistol berwarna hitam dikeluarkan daripada poket belakang. Dia memegang kemas pistol di tangan sebelum melutut untuk mengintai apa yang berlaku.
Dengan berhati-hati, Qartal menjengukkan kepala ke hadapan. Dia keluar daripada tempat persembunyian dengan mengacukan muncung pistol tepat pada Aisy yang sedang terlena. Mata Qartal membuntang melihat keadaan Aisy sekarang ini.
Aisy yang terasa seperti ada sesuatu bergerak di sekitar tubuhnya dengan pantas mencelikkan mata. Saat kelopak matanya terbuka luas, dia tersentak. Apa tidaknya, muncung pistol milik Qartal menghala tepat ke mukanya. Aisy cuak. Dah kenapa mamat ni nak tembak aku pula?
"Qartal, kau bukan nak bunuh aku, kan?" soal Aisy dengan suara yang tenggelam timbul. Anak matanya sudah berair menahan perasaan gerun melihat wajah Qartal yang bertukar bengis.
"Syhhh... Diam!" Qartal mengeraskan suaranya. Tangannya sedikit terketar-ketar apabila cuba memastikan sasaran yang ingin ditembaknya adalah tepat. Peluh yang jatuh berderaian di dahi dibiarkan tanpa sekaan.
Aisy terkedu. Tetapi tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu merayap di bahagian perutnya. Malah hidungnya dapat menghidu sesuatu yang busuk dan hanyir. Bau seperti lumpur!
Siiisss...
Bunyi itu seperti biasa didengari oleh Aisy. Jantungnya mula laju mengepam darah. Dalam fikirannya sudah terbayang semua perkara apatah lagi saat ini dia rasakan ada sesuatu yang melingkari pinggangnya. Aisy tidak mampu menahan perasaan. Dia mengalihkan bola matanya ke bawah dan...
"Ular!" Suara Aisy seperti tersekat. Hanya mulutnya saja yang bergerak. Dia menggenggam tangannya dengan erat cuba mengusir rasa takut yang semakin menjadi-jadi.
Saat ini, ular sawa batik sebesar lengan Qartal sedang menjalar di batang tubuh Aisy. Dia ingin menjerit namun tiada suara yang terkeluar. Hanya pandangan mata yang dihalakan kepada Qartal. Berharap lelaki itu menyelamatkannya. Sungguh, dia kegelian ditambah dengan bau hanyir ular itu cukup meloyakan tekak Aisy.
"Tahan nafas, Aisy! Jangan buat sebarang pergerakan kalau kau nak selamat!" Qartal bersuara sambil mengancingkan gigi. Dia tidak mahu suaranya mengejutkan ular sawa tersebut. Bimbang, jika tersalah cara ular itu akan terus membelit leher Aisy.
Memang ular sawa tidak mematuk dan mengeluarkan bisa tetapi jika ia sudah membelit, tiada siapa yang dapat terlepas. Bayangkan seekor lembu pun mampu ditelan apatah lagi gadis bertubuh genit seperti Aisy. Dengan sekelip mata saja mampu menjadi lauknya.
Aisy mengangguk perlahan. Dia memejamkan mata dan menahan nafas. Ketakutan menyelubungi dirinya saat ini. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya apabila berhadapan dengan spesies ular sawa yang sangat dia geruni. Badan ular itu yang lembik terasa sejuk apabila menyentuh lengan Aisy.
Qartal melangkah dengan berhati-hati. Dia cuba untuk tidak menghasilkan sebarang bunyi. Kalau ikutkan hati, berkecai kepala ular itu ditembak tetapi Qartal khuatir tembakannya akan tersasar pada Aisy.
Tidak dapat tidak, Qartal mencari kepala ular sawa yang mula merayap ke bahagian kepala Aisy. Kepala ular sawa sebesar penumbuk Aisy diamati betul-betul. Dia melepaskan nafas yang tidak teratur. Inilah kali pertama dia berada dalam situasi yang genting ini.
Qartal memandang wajah Aisy dan ular sawa itu silih berganti. Lantas, sepantas kilat Qartal mencekup kepala ular tersebut dan Sedaya upaya menarik ular itu jauh daripada Aisy.

BẠN ĐANG ĐỌC
PEMUSNAH HATI
General FictionTajuk: Pemusnah Hati Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-048-9 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 "Ada ke dalam dunia ni orang yang kena culik, boleh jatuh suka pada penculik? Men...