Bab 12

2K 71 4
                                    

RONTAAN Aisy dikekang dengan menggunakan tenaganya. Dia yakin bunyi derap tapak kaki yang memijak ranting itu milik orang-orang Razak yang mengekori mereka. Jantung Qartal mula mengepam darah dengan laju. Dia sudah bersiap siaga. Pistol di tangan dipegang kemas.

"Diam! Ada orang ikut kita!" bisik Qartal rapat di telinga Aisy.

Sebaik saja mendengar kata-kata Qartal, rontaan Aisy terus terhenti dengan sendiri. Dia hanya membiarkan saja lengan Qartal yang memeluk tengkuknya dari belakang. Dia tahu lelaki itu berniat untuk melindunginya. Jantungnya kini sudah mula bergendang sesama sendiri. Ada rasa takut mula menjalar dalam dirinya. Dia juga dapat mendengar dengan jelas derap tapak yang semakin mendekat.

Qartal siap melaraskan pistolnya. Perlahan-lahan, dia melepaskan rangkulan di leher Aisy. Sekarang, dia mengambil kedudukan di hadapan Aisy. Tubuh gadis itu disembunyikan di belakang tubuhnya.

Di sebalik pokok balak yang berakar banir, Qartal menjengukkan sedikit kepalanya. Anak matanya meliar mencari pemilik tapak kaki yang kedengaran semakin dekat. Pistol terus diacu. Kelihatan pokok-pokok kecil mula bergoyang.

"Come on, keluarlah..." desis Qartal sambil anak matanya terus fokus pada pokok-pokok yang bergoyang.

Semakin ditenung, semakin kuat pula pokok itu bergoncang. Jantung Qartal bagaikan tidak henti-henti berdetak. Dia menarik picu pistolnya. Bersedia untuk melepaskan tembakan. Namun, saat picu ingin dilepaskan, muncul satu lembaga kecil di hadapannya. Lembaga kecil berwarna hitam dan berbulu lebat itu terkedek-kedek berjalan memanjat pokok.

"Cis! Tak guna punya musang!" maki Qartal sambil menarik nafas lega. Dia menjatuhkan tangannya.

Dia berpaling ke belakang. Kelihatan Aisy sedang memejamkan mata dengan rapat. Bibir gadis itu terkumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu. Manakala kedua-dua belah tangan gadis itu menekup telinga. Tanpa sedar, Qartal tersenyum kecil melihat reaksi Aisy.

"Kau baca mantera apa tu?" soal Qartal sambil menjarakkan tubuhnya dari Aisy.

Kelopak mata Aisy terbuka luas. Anak matanya melingas ke kiri dan kanan mencari mayat yang berjaya ditembak oleh Qartal tetapi tiada satu pun mayat manusia yang dilihat. Apa dah jadi sebenarnya ni?

"Kau dah berjaya bunuh ke orang tu? Berapa ramai yang kau dah tembak?" soal Aisy tanpa mendengar penjelasan daripada Qartal.

"Ramai juga. Adalah dalam dua tiga dah jadi mayat..." jawab Qartal dengan riak wajah yang selamba.

Mata Aisy membuntang. Mak ai, dalam masa tak sampai seminit dia berjaya bunuh dua tiga orang sekali gus. Tapi kenapa aku tak bunyi tembakan pun?

"Mana mayatnya? Tak nampak pun." Aisy menyoal lagi sambil kepalanya cuba dijenguk ke belakang.

"Ni hah mayatnya..." ucap Qartal. Lantas, dia mengembangkan telapak tangannya. Kelihatan tiga ekor nyamuk yang sudah mati berada di atas telapak tangan Qartal.

Aisy terlopong. Dia mengecilkan matanya memandang Qartal. Dia menggigit bibir menahan geram kerana dipermainkan. Tak guna!

RAZAK mengepal penumbuk. Keadaan di dalam pondok yang berselerakan itu mengundang amarahnya. Tawanan yang begitu berharga turut menghilangkan diri. Hati Razak mendidih panas. Dia berpaling.

"Mana anak King? Kenapa dia boleh terlepas?!" soal Razak dengan suara yang meninggi.

Satu per satu wajah anak buahnya dipandang sebelum pandangannya tertancap pada Jamal dan Bob yang kelihatan pucat lesi. Malah, ada tompok darah membasahi baju kedua-dua pengikutnya itu.

"Qartal... Qartal.. Bos..." Bob cuba bersuara. Bibirnya pucat lesi menanggung kesakitan akibat ditembak di bahagian bahu.

"Kenapa dengan Qartal? Mana Qartal?" soal Razak lagi seperti orang kebingungan. Dia melilau mencari kelibat Qartal namun tiada. Hatinya dipagut rasa kurang enak. Jangan-jangan...

PEMUSNAH HATINơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ