22 - Hospital

1.4K 48 15
                                    

Seawal subuh lagi, Eleena sudah bersiap-siap untuk mereneh sup ayam bersama herba. Yang lain semua masih tidur. Ternyata Eleena tidak boleh tidur. Semalaman dia cuba tidur, tetapi dia masih tidak mampu kerana terlalu bimbangkan keadaan Nizam.

"Eleena?"

Kamelia masuk dapur. Dia melihat Eleena sedang mengelap air mata.

"Kam, selamat pagi," kata Eleena, dengan suaranya yang agak sebak.

"Kenapa awak menangis?"

"Oh, tak. Saya tak menangis, saya tengah potong bawang. Tak ada apa-apa."

"Awak ni tak pandai bohong la, Eleena. Awak dah masak sup tu, nak potong bawang buat apa lagi. Awak risau pasal Nizam ya?" tanya Kamelia.

"Mestilah saya risau. Teruk demam dia tu," Eleena mengelap air mata dengan baju.

Kamelia duduk di sebelah Eleena, kemudian dia belai rambut Eleena.

"Kam, maafkan saya sebab libatkan awak dalam misi pencarian harta karun ni. Awak betul. Pencarian kita ni sesuatu yang sia-sia," kata Eleena. Dia kemudiannya bangun dari kerusi, dan mengemas kulit bawang, kulit bawang putih dan halia serta sampah-sampah lain ke dalam plastik, lalu dibuang ke tong sampah.

"Kenapa awak cakap macam tu?" tanya Kamelia.

"Puas saya, Kak Merlina, dan Ail cari maklumat semalam. Kami tak jumpa apa-apa. Terlalu banyak sejarah yang dirahsiakan. Dan sekarang, Nizam pulak masuk hospital. Saya dan Kak Merlina ada bincang semalam, kalau susah sangat, kita batalkan je misi ni."

"Janganlah macam tu," Kamelia mahu merayu pada Eleena untuk membatalkan semula niatnya.

"Bukan ke ini yang awak nak semalam?" tanya Eleena.

"Saya tak maksudkan macam tu pun. Saya cakap macam tu sebab saya penat sangat masa tu," Kamelia cuba memujuk lagi.

"Saya fikirkan Nizam, dan saya tak boleh fikirkan yang lain," Eleena mula menahan sebak.

Kamelia faham. Kekuatan Eleena adalah kelemahannya juga. Bagi Eleena, Nizam adalah segalanya di hatinya, begitu juga dengan Nizam.

"Saya menyesal bila saya marah dia masa dia tak nak ikut itu hari," Eleena meluahkan perasaannya.

"Sabarlah, Eleena. Apa kata kita tunggu Nizam sembuh, baru kita cari balik semua ni, kalau tak, sia-sialah Kak Merlina ambil cuti untuk ini," Kamelia peluk bahu Eleena.

"Eleena, boleh tak saya minta tolong awak sesuatu?"

Kamelia kemudian berbisik pada Eleena.
"Boleh, awak cuba tengok dalam kabinet dapur tu, ada tak tepung, minyak sapi, dengan sardin? Garam dan gula ada kat tepi dapur tu. Telur ada dalam peti ais," kata Eleena.

Kamelia terkial-kial garu kepala, tak tahu nak buat apa.

"Awak buka tin sardin tu dulu, nanti kejap lagi saya ajar awak buat karipap sardin," Eleena bangun dari kerusi. Kamelia tersenyum.

--

"Weh, apa bau sedap ni weh?" Adli terbangun dari tidur, terbau sesuatu yang garing, lemak dan menyelerakan.

Dia celik-celik mata, dan terus menonong ke arah dapur. Dia nampak Kamelia tengah cedok karipap sardin terakhir ke pinggan. Dia tidak percaya yang Kamelia masak. Sedangkan goreng sayur yang basic tu pun dia fail, lupa letak garam, inikan lagi buat benda complicated macam karipap sardin pusing macam ni. Adli selaku peminat karipap sardin, dia tau la beza intan dan kaca, dalam bab karipap sardin ni.

"Eleena mana?" tanya Adli.

"Dia tengah mandi," kata Kamelia, sambil tutup dapur gas.

"Kau masak karipap ke? Karipap apa ni?"

Adli Margera: Tenggelamnya Harta Karun Van Der WijckWhere stories live. Discover now