Hantu Basuh Kain

882 33 13
                                    

Buli adalah salah satu tragedi buruk di dalam kehidupan. Ia boleh berlaku di mana sahaja. Hezra, seorang pelajar kolej yang sering dibuli oleh kakak seniornya, Nabila. Macam-macam kerja yang dia kena buat. Salah satu darinya macam biasa, basuh pakaian. Dah macam pekerja kedai dobi yang tak bergaji pula gayanya. Sudahlah tak dibayar, sabun pun kena pakai dia punya. Kurang asam punya kakak senior.

Satu malam Hezra baru pulang dari ulangkaji bersama rakannya. Sampai di katil, terus dia merebahkan badan di atas katil. Biasalah, penat. Ingat belajar tak penat ke? Mata dipejam rapat dan perlahan-lahan dirinya mula terasa di awangan dan tidak lama kemudian Hezra terlelap.

Sedang Hezra hanyut di alam mimpi  tiba-tiba...

Pap! Segumpal kain dibaling ke muka Hezra sehingga menutupi wajah. Bukan setakat itu, bau hapak serta merta menerjah nasuk ke dalam rongga hidung menyebabkan Hezra terus terjaga. Aduhai... kacau daun betul lah!

Kain yang melekap diwajahnya segera ditarik. Sebaik dia membuka mata, perkara pertama yang dilihat adalah susuk tubuh Kak Nabila yang sedang merenungnya dengan wajah serius seperti pegawai penjara.

"Hoi, basuh kain aku tu!" Nabila berkata setelah membaling skirt labuh berwarna biru muda ke muka Hezra. Keningnya terjungkit sebelah ala-ala Ziana Zain. Lagaknya dah macam mak tiri.

"Cis! Patutlah bau busuk semacam." Hezra berkata dalam hati. Namun riak mukanya langsung tidak menunjukkan seperti apa yang difikirkan. Nak mampus? Kalau buat begitu, silap hari bulan kakak seniornya itu suruh dia sedut bau dalam-dalam. Boleh muntah dibuatnya. Nak tak nak, tahan nafas sahajalah.

"Kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?" Nabila bertanya dengan suara sedikit tinggi dan keras. Kini kedua belah keningnya terangkat. Gigi diketap untuk menambah rasa gerun kepada adik juniornya itu.

Nabila menjawab dengan anggukan kepala berulang kali seperti burung belatuk.

"Kalau dengar, pergilah basuh sekarang. Skirt tu dah kotor kena darah period aku tadi. Lambat-lambat nanti tak hilang pula. Pergi cepat!" Nabila memberi arahan sambil tangan kanannya terus diangkat menunjuk ke arah pintu keluar. Ini mesti jenis datang bulan tak menentu. Tahu-tahu dah bocor.

Hezra dengan wajah pasrah turun dari katil. Baldi merah bertangkai putih yang berada di bucu katil segera dicapai dan skirt yang hapak terus disumbat ke dalam baldi tersebut. Dia kemudian melangkah longlai menuju ke bilik air asrama. 

Nabila tersenyum meleret ala-ala watak jahat dalam drama tv yang seronok membuli watak utama yang lemah lagi naif.

"Kau ni Nabila, agak-agaklah kalau nak suruh budak tu basuh kain. Dah pukul 12 tengah malam ni." Tegur Sarah yang merupakan rakan baik Nabila.

"Alah... sehelai je pun!" Nabila ternyata langsung tidak rasa bersalah.

                                                                               ****************

Hezra berjalan pergi ke bilik air. Masuk sahaja ke dalam, dia terus menuju ke ruangan membasuh. Bunyi air paip yang tidak ditutup rapat memecah kesunyian bilik air yang tiada sesiapa pun kecuali dirinya. Fikiran segera dikosongkan agar tidak memikirkan perkara yang bukan-bukan. 

Air paip menderu turun seperti air terjun apabila Hezra memulas kepala pili untuk menadah air ke dalam baldi. Sabun serbuk segera dituang sehingga membentuk gumpalan buih putih. Setelah itu barulah aktiviti membasuh dimulakan.

Kedua belah tangan dicelup ke dalam baldi. Skirt yang terendam diangkat tinggi lantas menampakkan tompok darah yang menjadi corak  paling tidak diingini. Eww... Ia perlu dihapuskan.

Srap.. srap.. srap! Berus plastik terus menyental kain berulang kali. Dengan gigih Hezra menjalankan tugasan. Dalam hati dia membayangkan sedang menyental wajah Kak Nabila. Patutlah bersemangat.

Tiba-tiba bulu tengkuk Hezra meremang. ah, sudah! Kata orang kalau bulu roma tiba-tiba berdiri, tandanya ada makhluk halus a.k.a hantu sedang memerhati. Dia sudah tidak sedap hati. 

"Opocot!" Hezra tersentak apabila melihat seorang gadis sedang berdiri di sebelah kiri sambil memandang ke arahnya.

"Maaf kalau buat awak terkejut. Saya  nak membasuh sebelah awak, tiada masalah kan?" Gadis itu berkata dan terus mengangkat baldi biru lalu diletakkan di atas tempat basuhan  yang bersimen.

"Eh, boleh je." Hezra mengangguk dengan senyuman. Hatinya sedikit lega kerana sekurang-kurangnya dia ada teman ketika membasuh.

Gadis itu tersenyum.

Srap... srap... srap! Hezra kembali menyental laju. Basuhan harus disudahkan dengan segera. Cepat siap maka cepatlah dia boleh balik ke bilik dan sambung tidur.

"Saya selalu membasuh di sini lewat malam tetapi tidak pernah pula nampak awak." Gadis itu bersuara seolah mahu mengajak Hezra yang sedang fokus membasuh untuk berbual.

"Oh, saya selalu membasuh waktu siang.  Yang ini sebab kes kecemasan." Hezra menjawab namun matanya terus tertumpu pada kain yang sedang dibersihkan. Bak kata orang, mulut bercakap tetapi tangan buat kerja.

"Kain awak kena darah ya?" Mata gadis itu merenung tepat ke arah tompok darah yang sedang disental oleh Hezra.

"Ha'ah kena darah tetapi Ini bukan kain saya tetapi orang lain punya. Saya cuma basuh sahaja."

"Eh, samalah. Yang saya basuh ini pun bukan saya punya tetapi orang lain punya." 

"Iya?" Hezra menoleh ke arah gadis tersebut dengan penuh keterujaan. Namun tiba-tiba matanya membulat  apabila melihat gadis itu sudah berubah rupa dengan wajah yang amat menakutkan dan makhluk itu sedang membasuh kepala manusia!

Kepala itu dicelup kemudian diangkat berulang kali seperti uncang teh. Kemudian diletakkan di atas lantai basuhan. Bau hamis mula menusuk hidung. Sungguh meloyakan. Darah pekat dari leher yang sudah bercerai dari badan itu terus mengalir sehingga membanjiri tempat basuhan dengan warna merah. Makhluk berwajah ngeri itu menyeringai ke arahnya. 

Badan Hezra terus menggigil, jantungnya berdegup laju bagaikan rasa mahu pecah. Dia menarik nafas sedalam mungkin lalu meluru dan menyekak rambut hantu tersebut.

"Kau kalau tak menyusahkan aku boleh tak? Habis kotor skirt Kak Nabila. Nanti aku yang kena marah tahu tak?" Rupanya reaksinya tadi bukan kerana takut tetapi terlalu marah.

Kepala mahkluk itu dibenam ke dalam baldi berulang kali.

"Ampun... ampun.." Hantu itu merayu dengan wajah yang tercungap-cungap tidak cukup nafas.

"Kau basuh bagi clear semua. Cepat!" Hezra memberi arahan bagaikan ketua komando sambil jarinya menunding ke arah skirt yang sudah dipenuhi dengan darah. Matanya dijegil garang.

Maka terkial-kial lah hantu itu memberus. Srap... srap.. srap...sambil hidung kembang kempis menahan sedih. Sekali salah orang mahu usik daa...

Begitulah kisah hantu basuh kain.


*Jangan lupa komen, vote dan share. Terima kasih :)  

Siapa Suruh BacaWhere stories live. Discover now