Nenek

217 14 2
                                    

Zaim dan Mazli, dua sahabat baik. Detik perkenalan mereka adalah ketika mula-mula memasuki asrama ketika di tingkatan 1. Berkongsi katil yang sama cuma posisi yang berbeza. Zaim tidur di katil atas manakala Mazli tidur di katil bawah. Kini sudah lima tahun mereka bersahabat. Kira dah macam adik beradik.

"Li... cuti hujung minggu nanti ikut aku nak tak?" Zaim tiba-tiba bersuara ketika mereka berdua sedang makan malam di dewan makan.

"Ikut kau? Pergi mana?"

"Kita balik kampung. Lepak rumah nenek aku. Sekarang musim buah durian." Zaim memberi cadangan.

"Ok juga. Aku pun dah lama tak makan durian." Mazli ternyata tidak menolak perlawaan tersebut. 

"Cun! Nanti kita pergi kutip durian dekat dusun nenek aku. Kau makanlah puas-puas sampai pengsan."

"Nenek kau ada dusun durian? Perghh! Aku memang nak sangat rasa peluang kutip buah durian." Mazli dah bersinar biji mata seakan teruja. Pastinya ia akan jadi pengalaman yang menarik. Maklumlah budak bandar. Kampung pun tiada.

Tiba hari yang dinanti, dua sahabat itu berangkat ke kampung dengan menaiki bas. Hampir maghrib baru mereka sampai.

************************************

"Ha... inilah rumah nenek aku!" Zaim tersenyum lebar sebaik memasuki perkarangan rumah neneknya.

Mazli terpaku seketika melihat rumah papan yang kelihatan usang.  Reka bentuk binaan rumah melayu masih terpelihara seakan dia kini berada di zaman silam.Mungkin rumah pusaka turun temurun. Di kelilingi pokok pokok yang besar dan rendang menjadikan suasana seakan menakutkan. Tambah pula hari semakin gelap.

"Hoi, yang kau tercegat dekat situ buat apa? Takut tengok rumah nenek aku? Alah... takde apa-apalah. Biasalah, pertama kali sampai. Jom!" Zaim menegur Mazli yang berdiri tegak bagaikan pengawal istana. Dia segera memaut bahu rakannya itu. Mereka berdua melangkah mendekati rumah tersebut.

Belum sempat Zaim memberi salam, pintu rumah yang tadi tertutup rapat tiba-tiba terbuka luas. Kelihatan seorang wanita tua tercegat memerhati.

Mazli terpaku lagi. Terkejut kerana nenek Zaim seolah tahu akan kehadiran mereka di muka pintu.

"Hah! kenapa dengan kawan kamu tu Zaim? Dari waktu masuk ke laman rumah sampai depan pintu asyik tercegat sahaja. Nenek perhati dari tadi." Nenek Zaim bertanya sebaik bersalaman dengan cucunya.

Mazli tersentak. Nenek Zaim perhati dari tadi? Pintu, tingkap semuanya tertutup rapat. Kalau tingkap dan pintu kaca mungkinlah boleh intai tetapi kayu! Hairan, bagaimana nenek Zaim boleh nampak?

"Biasalah nek, budak bandar baru datang kampung. Eh, jomlah masuk." Zaim mengajak Mazli untuk masuk ke dalam rumah dan terus pergi ke bilik.

Saat melangkah meninggalkan nenek Zaim yang masih berdiri di muka pintu, Mazli sempat menoleh. Terus matanya bertentang mata dengan nenek Zaim yang rupanya sedang memerhati. Dari senyuman nenek Zaim, Mazli seolah dapat rasakan yang wanita itu tahu akan dirinya yang sedang dibelenggu tanda tanya.

**************

Malam itu seperti yang dirancang, Zaim membawa Mazli pergi ke dusun durian milik neneknya yang terletak di belakang rumah. 

Bagi Mazli pula, menunggu durian luruh waktu malam adalah sesuatu yang cukup mengujakan. Pantang bunyi durian jatuh, laju sahaja dia berlari pergi cari. Siap bersorak macam jumpa harta karun. Itu belum bab makan. Pendek kata memang puas hati dia malam itu.

"Amacam, nak lagi?" Zaim bertanya kepada Mazli yang sudah tersandar di perdu pokok.

Mazli menggeleng lemah. Kenyang sangat nampaknya.

"Kalau macam tu, jomlah kita balik. Dah dekat sejam kita di sini." Zaim yang mengangkung mula berdiri. Parang di tangannya segera disisip semula ke dalam sarung.

"Eh, kejap. Aku rasa nak kencing lah." Mazli mula berkira-kira hendak mencari lokasi sesuai untuk melepaskan hajat. Dia berjalan menuju ke sebatang pokok yang berdekatan.

"Kau jangan cari pasal Li. Kencing dekat rumah nantilah." Zaim lantas menegah. Dia seakan tidak senang dengan tindakan kawan baiknya itu.

"Alah... takde apalah!" Mazli seakan memperlekehkan tegahan Zaim.

"Masalahnya nenek aku tengah tengok dari atas pokok tu!" Zaim berkata dengan nada memberi amaran.

Nenek Zaim ada atas pokok? Mazli meremang bulu roma. Hampir sahaja dia mahu menoleh ke atas tetapi segera ditegah oleh Zaim dan terus mengajak pulang. Sepanjang perjalanan dia merasakan seolah ada mata yang memerhati. Menyesal pula dia ikut Zaim balik kampung.

*****************************

Setelah selesai membersihkan diri, Mazli dan Zaim mengambil keputusan untuk berehat di dalam bilik. Mengumpul kembali tenaga  untuk aktiviti pada esok hari.

"Aim, aku nak tanya sikit boleh?" Mazli tiba-tiba bersuara.

"Kau nak tanya apa?"

"Pasal nenek kau." Kata-kata Mazli terhenti di situ seakan dia teragak-agak mahu bertanya.

"Zaim..." Tiba-tiba nenek Zaim memanggil dari luar bilik.

Mazli terus terdiam. Jantungnya berdegup laju. Mazli mula tak sedap hati. Ah, sudah! Nenek Zaim macam tahu-tahu sahaja dia mahu buka topik tentang dirinya.

"Ada apa nek?" Zaim menyahut panggilan neneknya dari atas katil. Dia mula memasang telinga.

"Cakap dekat kawan kau tu..." Nenek Zaim berkata kemudian diam seketika. Mazli sudah telan air liur. "Tak baik potong kuku malam-malam."

Mazli terkedu. Dia memandang tangannya yang sedang memegang pengetip kuku. Apa lagi, terus dia menerpa ke arah Zaim. "Aim, baik kau terus terang dengan aku. Macam mana nenek kau boleh tahu sedangkan pintu bilik dah tutup rapat. Dari mula-mula jumpa nenek kau aku dah rasa lain macam. Semua benda dia tahu. Nenek kau ada pakai benda ke?" Tanpa berselindung dia terus bertanya kepada Zaim yang nampak tenang.

Muka Zaim mula berubah. Dia mengangguk perlahan. "Aku sebenarnya kalau boleh tak nak kau rasa tak selesa. Tapi kalau kau nak tahu sangat, aku boleh tunjuk. Benda tu ada dalam bilik kita. Dekat siling atas almari baju. Tapi jangan tengok terus. Buat-buat macam tengok tempat lain."

Badan Mazli menggeletar. Dadanya seakan mahu pecah. Dalam takut dia cuba memaksa dirinya untuk melihat benda yang dimaksudkan oleh Zaim. Perlahan-lahan dia menjeling dengan hujung mata. Ya, dapat dirasakan sesuatu sedang memerhatikan dengan sinar merah menyala. Mata Mazli terus membulat. "Kurang asam, CCTV rupanya!" 


*Jangan lupa komen, vote dan share. Terima kasih :)  

Siapa Suruh BacaWhere stories live. Discover now