Cermin

576 17 10
                                    

"Tengah malam nanti, cari cermin yang paling bersih dalam tandas perempuan blok E. Bila sudah jumpa, tatap cermin tu sambil baca  mentera yang makcik ajar tadi tiga kali." Suara makcik Som, tukang kebun sekolah yang baru dikenali siang tadi terngiang-ngiang di telinga Nita. Malam itu dia tidak dapat lelapkan mata.

Semuanya bermula di sekolah siang tadi. Nita yang sedang termenung murung di bangku taman ditegur Makcik Som. Setelah ditanya dengan lemah lembut, akhirnya Nita meluahkan perasaan menceritakan masalah yang membelenggu iaitu masalah nak jadi cantik. Terus makcik Som tawarkan diri untuk bantu.

"Boleh percaya ke apa yang makcik Som cakapkan tadi?" Perasaan Nita kini berbelah bahagi. Namun apabila membayangkan wajah makcik Som yang kelihatan awet muda, kulit putih gebu berseri seri mengalahkan anak dara, hatinya terdetik percaya.

Nita menatap jam dinding di dalam bilik asrama. Lagi 20 minit nak tengah malam. Kalau dia gerak sekarang, sampai di sana ngam-ngam pukul 12. Dia membuat anggaran di dalam otak.

"Ah, apa nak jadi... jadilah! Belum cuba belum tahu." Nita nekad turun dari katil. Dia sudah tiada masa.

Malam itu ketika orang lain sedang nyenyak tidur, Nita memberanikan diri menyusup keluar dari perkarangan asrama menuju ke kawasan sekolah umpama penyeludup yang cuba mengelak diri dari ditangkap oleh pihak berkuasa. Demi keinginan yang selama ini diidam-idamkan dia sanggup lakukan apa sahaja. Ya, keinginan untuk menjadi cantik. Bukan! Bukan cantik.  Tetapi yang paling cantik!

"Betul ke apa yang kau buat ni Nita? Ah... lantaklah!" Gadis itu melawan semua perasaan negatif yang boleh membuatkan dia berpatah balik ke asrama. Dia keraskan hati. Bangunan blok E semakin dihampiri.

TANDAS PEREMPUAN.

Nita berdiri di hadapan perkarangan pintu masuk tandas yang terbuka luas. Tulisan di dinding luar tandas yang menggunakan cat berwarna merah bagaikan ditulis dengan darah!

Walaupun keadaan di dalam tandas terang menderang dengan cahaya lampu, aura seram masih dapat dirasakan.

Kedua belah tangan digenggam erat seolah mengumpul kekuatan dan keberanian. 

Langkah kaki terus diatur masuk ke dalam tandas yang sunyi. Cermin paling bersih segera dicari. Satu persatu cermin yang melekap di dinding sinki diperhati dengan penuh teliti. Akhirnya apa yang dicari berjaya ditemui. Benar! cermin tersebut bagaikan sebuah cermin baru. Bersih dan tiada sedikit pun noda yang terpalit seolah dijaga sempurna dan dilap sentiasa.

"Baiklah... inilah masanya." Nita berdiri tegak dihadapan cermin yang dimaksudkan makcik Som. Matanya terus menatap wajahnya yang terbias di dalam cermin. Nafas ditarik sedalam-dalamnya menghilangkan rasa gugup lalu bibir bergerak melafazkan mentera.

"Ku datang dengan hajat, di hadapan cermin aku berniat. Ku ingin cantik, ku ingin menarik. Mata menatap pasti tertawan bagaikan melihat rembulan mengambang di atas awan."

Kreekkk.... tiba-tiba terdengar bunyi pintu dari salah satu kubikel tandas berbunyi seolah ada sesuatu yang menggerakkannya.

Nita tersentak. Bulu roma terus meremang dan darah terasa laju naik ke kepala. Namun dia tidak menoleh ke arah bunyi tersebut. Malah terus fokus pada cermin dihadapannya. Dia tidak akan berganjak selagi mentera tidak selesai dibaca sebanyak 3 kali.

Nita mengulang kembali membaca mentera buat kali ke 2.

"Ku datang dengan hajat, di hadapan cermin aku berniat. Ku ingin cantik, ku ingin menarik. Mata menatap pasti tertawan bagaikan melihat rembulan mengambang di atas awan."  

"Bau wangi!" Getus Nita dalam hati apabila bau haruman bunga seakan bunga mawar menerjah masuk ke rongga hidung. Bulu roma terus meremang tidak turun turun bagaikan tidak dapat dikawal. Lutut Nita mula terasa lemah.

"Tinggal sekali sahaja lagi, Nita." Gadis itu cuba memberi kata-kata semangat pada diri sendiri.

Mentera terus dibaca buat kali ke tiga dan setelah syarat dipenuhi, Nita menanti dengan penuh debar. Matanya terus menatap cermin dihadapannya menanti perubahan.

Tiba-tiba ekor mata Nita dapat menangkap ada susuk tubuh sedang berdiri tegak disebelah sambil memandang tepat ke arahnya dan entah kenapa kepalanya terus sahaja menoleh.

Berderau darah Nita apabila melihat makcik Som sedang tersenyum ke arahnya.

"Makcik tahu kau mesti datang. Ni ha, makcik ada jual produk kecantikan. Pil kolegen ekstra vitamin c. Makcik pun pakai, boleh nampak kan kulit makcik cantik gebu macam anak dara kan? Bila dah cantik, pakai sekali minyak wangi ni haa. Bau sebiji macam bunga betul. Barulah cantik tertarik kau memang kebabom! Boleh bayar ansur. Amacam, nak beli tak?"

Nita terjegil biji mata. "What the... bagi satu dulu lah makcik."


*Jangan lupa komen, vote dan share. Terima kasih :)  






Siapa Suruh BacaWhere stories live. Discover now