Tok! Tok! Tok! ToK! Kedengaran bunyi pintu rumah diketuk berulang kali tanpa henti.
"Sekejap! Sekejap!" Mizi yang sedang menonton tv segera bingkas dari sofa. Siapa pula yang datang tengah-tengah malam ni? Jiran sebelah agaknya. Bunyi ketukan tadi terus berhenti sebaik Mizi menyahut.
Selak ditarik dan kemudiannya tombol dipulas. Perlahan-lahan pintu dibuka. Angin malam yang dingin lantas menerpa tubuh Mizi yang tidak berbaju. Kini dia hanya dibatasi dengan pintu gril yang masih berkunci.
"Aik, tiada orang pun? Siapa yang ketuk pintu tadi?" Mizi tertanya-tanya sambil mencari siapakah gerangan yang mengetuk pintu rumahnya tadi. Matanya melilau memerhati.
Ah, mungkin orang itu sudah pergi. Mizi akhirnya mengambil keputusan untuk menutup kembali pintu. Namun tiba-tiba matanya terpandang sebungkus beg plastik yang berikat kemas, berada di atas lantai depan pintu rumahnya
"Siapa pula yang hantar barang ni? Hmm... lauk lebih kenduri agaknya." Mizi yang tidak bersangka buruk terus membuka pintu gril. Bungkusan plastik putih segera diambil dan dibawa masuk ke dalam rumah. Kemudian diletakkan di atas meja kopi yang berada di hadapan sofa. Masa untuk mengetahui apa isi di dalam beg plastik tersebut.
Simpulan beg plastik yang diikat seperti riben mula dirungkai. Setelah terbuka luas, Mizi segera melihat, "ya Allah, barang apa yang aku dah bawa masuk ni?" Dia terkejut sebaik melihat bungkusan kain berwarna hitam seperti bunjut, diikat kemas berada di dalam beg plastik tersebut.
Bau harum bunga melur serta merta menyelubungi ruang tamu. Pasti ia datang dari bungkusan hitam tersebut. Jantung Mizi mula berdegup laju. Tanpa berlengah beg plastik tadi segera diikat semula. Esok dia akan minta pertolongan kawan baiknya yang tahu hal-hal mistik ini untuk melihat apakah barang tersebut.
***********************
Esoknya Mizi segera memanggil Rizal untuk datang ke rumahnya dan melihat bungkusan yang baru diterimanya semalam.
Sebaik bungkusan hitam dikeluarkan dari beg plastik, Rizal beristigfar panjang. Setelah dibuka terlihatlah segumpal bunga melur yang masih segar dan di dalam gumpalan tersebut terselit sekeping kertas yang dilipat. Bila dibuka lipatan tersebut, tertera satu tulisan seakan bahasa arab.
"Nampaknya ada orang buang saka dan kau adalah pemilik baru." Penjelasan Rizal ternyata memeranjatkan Mizi.
"Tapi... tapi aku tak setuju untuk terima benda tu." Mizi seakan cuba menolak.
"Bila kau buka pintu semalam, itu bermakna secara zahirnya kau bersedia untuk terima benda itu."
Tubuh Mizi terasa begitu lemah sekali. Menyesal dia buka pintu semalam. "Tak boleh ke buang benda ni?"
"Kau tak boleh buang benda ni. Sejauh mana kau buang, dia akan datang balik pada tuannya sebab perjanjian sudah dimeterai. Melainkan kau kena buat seperti tuannya sebelum ini iaitu mencari tuan baru."
Aduhai, inilah yang dikatakan tiada penyakit cari penyakit. Nak kena cari tuan baru la pula. "Bagaimana caranya?"
"Caranya kau kena letak bungkusan ini di hadapan rumah seseorang. Syaratnya waktu kau letak benda ini nanti, tiada orang lain nampak dan setelah itu pastikan tuan rumah buka pintu. Kalau tidak, benda ini akan muncul semula di depan pintu rumah kau." Rizal menerangkan syarat yang perlu Mizi patuhi.
"Bila aku boleh buat?"
"Secepat mungkin sebelum bunga di dalam bungkusan ini layu. Kalau layu, bermakna benda ini akan bersama kau buat selama-lamanya."
Mizi menelan air liur.
******************
Malam itu dalam kegelapan, Mizi menunggang motorsikal pergi ke kampung sebelah. Sepanjang perjalanan otaknya berfikir ligat. Adakah tindakannya ini betul? Demi melepaskan diri, orang lain pula akan menjadi mangsa. Tetapi dia pun mangsa keadaan juga. Ah, pedulikanlah! Mizi nekad.
Sesampai di tempat yang dituju, Mizi memperlahankan motorsikal dan akhirnya berhenti di tepi jalan yang agak gelap. Matanya mula memerhati keadaan sekeliling. Dia harus pastikan tiada orang yang nampak perbuatannya. Langkah diatur menuju ke sebuah rumah yang bakal menjadi sasarannya.
Langkah diatur penuh berhati-hati. Rumah yang ingin dituju semakin dihampiri. Namun gerak tubuh harus dikawal agar tidak kelihatan mencurigakan jika ada mata yang memerhati. Namun dalam hati tidak putus berdoa biarlah semuanya berjalan lancar tanpa berlaku perkara yang tidak diingini.
Mizi kini sudah berdiri di hadapan pintu rumah di mana tuannya langsung tidak menyedari akan kehadirannya. Beg plastik putih yang berisi bungkusan kain hitam segera diletak di atas lantai betul-betul depan pintu. Kini apa yang perlu dia lakukan adalah memaksa tuan rumah membuka pintu sebagai tanda menerima saka buangan yang mencari tuan baru. Jantung Mizi semakin laju.
Dalam kira 3, pintu rumah diketuk sekuat hati berulang kali. Setelah berpuas hati dia segera lari sekuat hati mendapatkan motor dan kemudian terus memecut pergi. Selepas ini jika ada yang mengetuk pintu rumahnya tengah malam, pasti dia tidak akan membukanya. Cukuplah sekali perkara ini berlaku kepada dirinya.
***********
Manakala di rumah yang baru ditinggalkan Mizi kelihatan tuan rumah tersebut sedang terpaku melihat bungkusan yang berada di hadapan pintu yang baru dibuka.
"Kurang asam punya Mizi. Yang dia hantar benda ni dekat rumah aku buat apa?! Aghhh!" Rizal menggigit daun pintu rumah lalu mengunyah dengan penuh geram. Namun kemudian wajahnya yang berkerut marah serta merta berubah terkejut. " Hmm.. sedap jugak pintu rumah aku ni. Makanlah lagi sikit lagi. Om nom nom nom."
*Jangan lupa komen, vote dan share. Terima kasih :)
YOU ARE READING
Siapa Suruh Baca
RandomKoleksi cerita khayalan tahyul mahyul pendek yang tak terjangkau dek akal dan tak diduga pengakhirannya. Kadang-kadang ketakutan itu hanyalah ilusi dan mainan perasaan. Kalau berani baca waktu malam. Kalau tak berani jangan baca waktu siang. Janga...