Potongan rambut mangkuk serta pipi labuh sememangnya resipi mengundang buli. Selain diejek dengan gelaran-gelaran yang menyakitkan telinga, aku juga terpaksa berhadapan dengan kerenah lain murid-murid nakal. Antaranya, kena ludah, beg sekolah aku dimasukkan ke dalam bakul sampah, bangku tempat duduk aku dibubuh habuk kapur, dan kasut putih aku sengaja dipijak. Grrr! Perasaan geram yang membara dalam diri hanya Tuhan yang tahu.
Kuncinya, jangan menangis (aku pelajari sewaktu di Scotland dahulu). Itu matlamat pembuli. Mereka memang menantikan respons. Meskipun lembik, mujurlah diri ini tidak terlalu kememeh. Dalam masa yang sama, tindakan melapor kepada guru pula aku lihat sebagai sifat pondan. Anak jantan mestilah berani melawan. Masalahnya, aku tidak yakin untuk berdiri bersemuka ekoran mereka sering bergerak dalam kumpulan. Resam tipikal pembuli bacul. Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermakna aku membiarkan mereka terlepas begitu sahaja. Oh, tidak sama sekali. Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Paling kurang pun, aku calit tahi hidung pada beg-beg sekolah mereka sewaktu semua keluar rehat. Puaslah hati sedikit.
YOU ARE READING
(TEASER) Budak Meja Belakang - Shah Ibrahim
Non-Fiction"Catatan pengalaman penulis ini membawa kita mengimbau kembali zaman persekolahan yang pernah dilalui satu ketika dahulu. Mereka yang membesar dalam era 80-an dan 90-an pastinya akan sering kali tersenyum dan mengangguk sendirian sambil membaca buku...